Sekurang-kurangnya 13 orang termasuk enam anggota polis, empat banduan dan dua penyerang terbunuh dalam serangan itu, semalam.
"Seramai 243 tahanan melarikan diri, enam daripada mereka kemudian ditahan polis. Seramai 30 adalah militan tegar," kata pegawai kanan kerajaan Mushtaq Jadoon kepada stesen televisyen swasta ARY News.
Serangan berkenaan menyasarkan Penjara Pusat di Dera Ismail Khan, bandar wilayah Khyber Pakhtunkhwa, dekat sempadan Afghanistan tempat militan Taliban dan kumpulan dikaitkan al-Qaeda aktif.
"Kira-kira 150 anggota Taliban termasuk 60 pengebom bunuh diri menyerang Penjara Pusat dan membebaskan tahanan," kata jurucakap Taliban, Shahidullah Shahid.
Pasang bahan letupan
Pegawai keselamatan berkata, penjara berkenaan menempatkan 5,000 banduan termasuk kira-kira 300 militan terbabit dalam serangan ke atas pasukan keselamatan.
Jadoon berkata, militan memasang puluhan letupan dalam penjara yang kemudian dimatikan pakar bom.
"Anggota polis dan agensi penguat kuasa lain undang-undang sudah memastikan tiada letupan dalam penjara itu," katanya.
Pihak berkuasa turut mengenakan satu perintah berkurung di bandar itu dan meminta penduduk tinggal dalam rumah.
"Dengan bantuan media, kami merayu penduduk tinggal dalam rumah.
"Ia bagi mengelak sebarang kematian jika tentera, polis dan tentera separa mengambil sebarang tindakan," katanya.
Jadoon berkata, kira-kira 50 hingga 60 militan berupaya memasuki penjara serentak dengan serangan roket dari luar.
"Pertama, mereka memusnahkan sebuah kenderaan perisai polis yang diletakkan di pagar hadapan," katanya menambah bahawa dua anggota polis terbunuh dalam serangan awal roket.
Jadoon berkata, seorang penyerang berjaya ditembak ketika dia cuba melarikan diri.
"Polis membunuh seorang militan yang cuba lari kerana melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan," katanya.
Pilih presiden baru
Dalam satu peringatan terhadap cabaran besar keselamatan dihadapi Pakistan, keganasan meletus hanya beberapa jam sebelum pembuat dasar negara itu mula mengundi untuk memilih presiden baru negara itu.
Penyandangnya akan menggantikan Presiden Asif Ali Zardari yang bakal melepaskan jawatan, menamatkan penggal lima tahun pemerintahan.
Ini berikutan kekalahan Parti Rakyat Pakistan (PPP) dalam pilihan raya umum Mei lalu dan penggantinya kemungkinan Mamnoon Hussain, sekutu rapat Perdana Menteri Nawaz Sharif.
Taliban mengaku bertanggungjawab atas serangan penjara berkenaan. - AFP
Anda sedang membaca artikel tentang
Taliban bebas 237 banduan
Dengan url
http://duniadidunia.blogspot.com/2013/07/taliban-bebas-237-banduan.html
Anda boleh menyebar luaskannya atau mengcopy paste-nya
Taliban bebas 237 banduan
namun jangan lupa untuk meletakkan link
sebagai sumbernya
0 komentar:
Posting Komentar