Diberdayakan oleh Blogger.

Popular Posts Today

Taliban bebas 237 banduan

Written By Unknown on Rabu, 31 Juli 2013 | 16.40

Peshawar: Pemberontak Taliban melancarkan mortar dan bom roket dalam satu serangan ke atas sebuah penjara di barat laut Pakistan membolehkan lebih 243 tahanan lari termasuk sekumpulan rakan mereka.

Sekurang-kurangnya 13 orang termasuk enam anggota polis, empat banduan dan dua penyerang terbunuh dalam serangan itu, semalam.

Ia mencetuskan pertempuran tiga jam antara pasukan keselamatan dan militan yang menyamar memakai seragam polis, kata pihak berkuasa.

"Seramai 243 tahanan melarikan diri, enam daripada mereka kemudian ditahan polis. Seramai 30 adalah militan tegar," kata pegawai kanan kerajaan Mushtaq Jadoon kepada stesen televisyen swasta ARY News.

Serangan berkenaan menyasarkan Penjara Pusat di Dera Ismail Khan, bandar wilayah Khyber Pakhtunkhwa, dekat sempadan Afghanistan tempat militan Taliban dan kumpulan dikaitkan al-Qaeda aktif.

"Kira-kira 150 anggota Taliban termasuk 60 pengebom bunuh diri menyerang Penjara Pusat dan membebaskan tahanan," kata jurucakap Taliban, Shahidullah Shahid.
Pasang bahan letupan

Pegawai keselamatan berkata, penjara berkenaan menempatkan 5,000 banduan termasuk kira-kira 300 militan terbabit dalam serangan ke atas pasukan keselamatan.

Jadoon berkata, militan memasang puluhan letupan dalam penjara yang kemudian dimatikan pakar bom.

"Anggota polis dan agensi penguat kuasa lain undang-undang sudah memastikan tiada letupan dalam penjara itu," katanya.

Pihak berkuasa turut mengenakan satu perintah berkurung di bandar itu dan meminta penduduk tinggal dalam rumah.

"Dengan bantuan media, kami merayu penduduk tinggal dalam rumah.

"Ia bagi mengelak sebarang kematian jika tentera, polis dan tentera separa mengambil sebarang tindakan," katanya.

Jadoon berkata, kira-kira 50 hingga 60 militan berupaya memasuki penjara serentak dengan serangan roket dari luar.

"Pertama, mereka memusnahkan sebuah kenderaan perisai polis yang diletakkan di pagar hadapan," katanya menambah bahawa dua anggota polis terbunuh dalam serangan awal roket.

Jadoon berkata, seorang penyerang berjaya ditembak ketika dia cuba melarikan diri.

"Polis membunuh seorang militan yang cuba lari kerana melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan," katanya.

Pilih presiden baru

Dalam satu peringatan terhadap cabaran besar keselamatan dihadapi Pakistan, keganasan meletus hanya beberapa jam sebelum pembuat dasar negara itu mula mengundi untuk memilih presiden baru negara itu.

Penyandangnya akan menggantikan Presiden Asif Ali Zardari yang bakal melepaskan jawatan, menamatkan penggal lima tahun pemerintahan.

Ini berikutan kekalahan Parti Rakyat Pakistan (PPP) dalam pilihan raya umum Mei lalu dan penggantinya kemungkinan Mamnoon Hussain, sekutu rapat Perdana Menteri Nawaz Sharif.

Taliban mengaku bertanggungjawab atas serangan penjara berkenaan. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

67 kebakaran dalam masa 48 jam di Makkah

Riyadh: Sebanyak 67 kebakaran di beberapa kawasan di Makkah dalam tempoh 48 jam menyebabkan puluhan orang cedera.

Pengarah Pertahanan Sivil, Brigadier Jen Khalaf Al-Matrafi, berkata pasukan pertahanan sivil berjaya memadamkan semua kebakaran berkenaan.

Beliau berkata, hampir 190 kes rawatan perubatan dilaporkan termasuk membabitkan jemaah umrah.

"Ada yang cedera agak serius dan perhatian utama diberi kepada jemaah Umrah dalam Masjidilharam selain kawasan sekitar. Majoriti kes membabitkan rawatan di Pusat Pertahanan Sivil.

Mangsa dipindahkan ke hospital

"Kes yang memerlukan perhatian anggota perubatan, dipindahkan ke hospital di pusat bandar," katanya.
Al-Matrafi berkata, jabatannya melakukan lebih 287 pemeriksaan di seluruh bandar bagi memantau dan mengesan sebarang masalah keselamatan di bangunan dan kediaman.

Pasukan pertahanan sivil juga memantau tahap pencemaran udara, pelepasan gas karbon di terowong dan tempat jemaah berhimpun.

"Ada pemilik bangunan dan kediaman yang melakukan pencabulan syarat keselamatan tetapi semua sudah diselesaikan," katanya. - AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Adik Morsi sokong askar

Written By Unknown on Sabtu, 27 Juli 2013 | 16.40

Al-adwa: Adik bekas Presiden Mesir tidak marah malah menyokong tentera meskipun bertindak menggulingkan Mohammed Morsi pada 3 Julai lalu.

"Saya ada keyakinan penuh kepada tentera," kata Sayed Morsi ketika ditemui di rumahnya dengan gambar abangnya digantung di sebelah ayat suci al-Quran.

"Saya bersabar. Dia juga begitu," kata Sayed, merujuk kepada abangnya.

"Dia ajar saya supaya jangan buat orang marah meskipun anda sendiri berang. Jangan beri reaksi marah bila orang lain marah."

Tinggal di kampung

Dua adik Morsi, Saeed dan Sayed masih tinggal di kampung halaman mereka di al-Adwa.

Ketika Saeed pergi ke Kherah untuk turut membantah penggulingan Morsi, Sayed terus berada di sini.
"Perkara terpenting di negara ini ialah tentera. Jika pemimpin tentera melakukan kesilapan, itu beri masalah. Tetapi, kita manusia, biasa bagi kita buat kesilapan," katanya.

Jeneral Abdel Fattah al-Sisi yang mengarahkan Morsi digulingkan turut menggesa penyokong melakukan perarakan semalam bagi mencabar pergerakan Ikhwanul Muslimin.

Sementara itu, Morsi diarah supaya ditahan 15 hari lagi sehingga siasatan ke atasnya selesai.

Ditanya sama ada dia khuatir dengan keselamatan abangnya, Sayed berkata: "Saya tidak pernah takut. Saya hanya takut Tuhan."

Kritik Ikhwanul Muslimin

Meskipun ramai yang terus menyokong Morsi, ada juga yang mengkritik Ikhwanul Muslimin.

"Morsi orang kami. Kami tahu dia seorang yang baik," kata Ismail Mohamed al-Saddiq, 43, petani dan kontraktor.

"Masalahnya, dia beri banyak kuasa kepada Ikhwanul Muslimin. Itu buat penduduk marah," kata Saddiq.

"Sama ada Morsi yang berkuasa atau tidak, kami mahu orang yang dapat memajukan negara ke arah lebih baik, bukan lebih teruk," katanya lagi, merujuk kepada tuntutan asal pada 2011 selepas menjatuhkan Hosni Mubarak. - REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

Jemaah perlu jumpa doktor

WHO beri panduan musim Haji hadapi MERS-CoV

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam menyarankan jemaah Haji tahun ini mendapatkan nasihat doktor mengenai risiko jangkitan Sindrom Pernafasan Asia Barat-Coronavirus (MERS-CoV) kerana Arab Saudi mencatat kadar tertinggi kes itu.

Meskipun risiko jangkitan 'rendah,' WHO memberi nasihat itu terutama kepada jemaah yang ada masalah perubatan kronik sebelum berlepas ke Arab Saudi.

Pada masa sama, garis panduan WHO itu tidak mencadangkan sebarang sekatan perjalanan atau pemeriksaan di sempadan terhadap jemaah.

Sebaliknya, ia menyarankan supaya jemaah meningkatkan kesedaran mengenai jangkitan itu selain mengambil langkah keselamatan mengelak daripada dijangkiti.

Panduan jemaah

"Negara mesti nasihatkan jemaah supaya menemui doktor jika ada masalah kesihatan termasuk kencing manis, penyakit kronik paru-paru dan sebarang kemungkinan lain termasuk jangkitan MERS-CoV."

WHO juga meminta kerajaan memberi panduan kepada jemaah mengenai cara membasuh tangan, memastikan makanan selamat dan kebersihan diri selain mengelak menyentuh haiwan.
Arab Saudi juga mengumumkan satu lagi kes MERS-CoV dan kematian seorang pesakit kerana jangkitan berkenaan, menurut papan notis penyakit berjangkit di agensi kerajaan.

Kes baru membabitkan seorang lelaki berusia 83 tahun dari wilayah Asir, barat daya Arab Saudi.

Jika disahkan, kes dan kematian terbaru menjadikan 71 kes di Arab Saudi dengan 39 kematian.

Musim Umrah tahun ini dijadualkan pada 9 Julai hingga 7 Ogos manakala Haji pada 13 hingga 18 Oktober. - AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Caroline Kennedy duta AS ke Jepun

Written By Unknown on Jumat, 26 Juli 2013 | 16.40

Washington: Presiden Barack Obama akan menamakan Caroline Kennedy, anak perempuan mendiang Presiden John F Kennedy sebagai duta Amerika Syarikat ke Jepun.

Caroline yang memiliki ijazah perundangan, adalah presiden kepada Yayasan Perpustakaan John F Kennedy dan mempengerusikan jawatankuasa penasihat di Institut Politik Universiti Harvard.

Penyokong Obama

Aktif dalam politik Demokratik, wanita berusia 55 tahun itu adalah seorang penyokong paling awal Obama dalam usaha awalnya menjadi presiden pada 2008. Pelantikannya, bagaimanapun, tertakluk kepada pengesahan Senat.

Sokongan Caroline, bersama bapa saudaranya, mendiang Senator Edward Kennedy, memberi Obama lesen besar mengaitkannya dengan nama paling penting politik dalam parti Demokratik dan menyediakan rangsangan besar kepada pencalonannya.

Bapa Caroline dan seorang lagi bapa saudaranya, Robert Kennedy, tumbang selepas kena tembakan pembunuh ketika di kemuncak kerjaya politik mereka.

Kembang kerjaya politik
Anggota keluarga lain dalam keturunan Kennedy juga mengembangkan kerjaya politik mereka.

Jepun adalah sekutu paling rapat dan penting Amerika dengan duta sebelumnya adalah individu politik terkenal termasuk bekas Naib Presiden, Walter Mondale.

Tokyo semalam mengalu-alukan berita itu, dengan Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga mengatakan bahawa keku-rangan pengalaman Kennedy dalam diplomasi dan berurusan dengan Jepun tidak akan menjadi satu liabiliti.

"Saya dengar beliau rapat dengan Presiden Obama," katanya dalam sidang media. - REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

80 terbunuh nahas kereta api Sepanyol

Gerabak tergelincir ketika melalui selekoh landasan

Santiago de Compostela: Sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh dan 140 lagi cedera selepas sebuah kereta api tergelincir di luar bandar lama barat laut Sepanyol di sini, petang kelmarin.

Mayat ditutupi selimut dilihat bersebelahan gerabak terbalik dengan asap keluar berkepul-kepul dari bangkai gerabak dengan kejadian dianggap antara nahas kereta api terburuk Eropah.

Kami cuba keluar dari bahagian bawah gerabak untuk menyelamatkan diri dan sedar kereta api sedang terbakar" Ricardo Montesco, Penumpang


Anggota bomba cuba mencari mangsa yang terselamat sementara anggota perubatan dalam ambulans dan bomba mengelilingi tempat kejadian.

Kerajaan mengandaikan punca kejadian itu, yang berlaku ketika kemuncak festival keagamaan penting bandar itu, sebagai kemalangan.

Sabotaj atau serangan agak mustahil, kata sumber rasmi, walaupun kemusnahan itu mengembalikan ingatan kepada pengeboman kereta api di Madrid pada 2004 yang mengorbankan 191 orang.

Kereta api Santiago de Compostela dikendalikan syarikat Renfe membawa 247 penumpang ketika ia tergelincir di saat bandar itu bersiap sedia menyambut festival Saint James, apabila ribuan penganut Kristian dari seluruh dunia memenuhi jalanan.

Batal sambut keraian

Lembaga pelancongan bandar berkata, semua keraian termasuk 'High Mass' di gereja dibatalkan kerana seluruh bandar berkabung akibat nahas.

"Kejadian berlaku amat pantas. Kereta api mula tergelincir di selekoh dan gerabak menimpa antara satu sama lain," kata penumpang, Ricardo Montesco kepada stesen radio, Cadena Ser.

"Ramai penumpang terperosok. Kami cuba keluar dari bahagian bawah gerabak untuk menyelamatkan diri dan sedar kereta api sedang terbakar. Saya berada dalam gerabak kedua dan kebakaran berlaku. Saya lihat mayat," tambahnya.

Perdana Menteri, Mariano Rajoy, yang dilahirkan di bandar ini melawat tempat kejadian pagi semalam, kata jurucakapnya.

"Oleh kerana satu tragedi baru saja berlaku di Santiago de Compostela pada kemuncak hari besar, saya hanya dapat menyampaikan simpati mendalam sebagai rakyat Sepanyol dan penduduk Galicia," kata Rajoy dalam satu kenyataan.

Bergerak laju

Akhbar El Pais memetik sumber kepada siasatan sebagai berkata kereta api itu bergerak dua kali ganda had laju dibenarkan ketika melalui selekoh tajam.

Kedua-dua Renfe dan syarikat kerajaan Adif, yang bertanggungjawab menyelenggara landasan, membuka satu siasatan terhadap punca kejadian gelincir itu, kata Renfe.

Satu sumber rasmi berkata, tiada kenyataan dibuat berkaitan punca nahas sehingga kotak hitam kereta api diteliti namun berkata ia kemungkinan besar satu kemalangan.

"Kami akan melupakan teori ia disebabkan sabotaj atau serangan pengganas," katanya. - REUTERS/AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Kate selamat lahirkan putera

Written By Unknown on Rabu, 24 Juli 2013 | 16.40

London: Masyarakat dunia dan seluruh rakyat Britain, semalam berkongsi kegembiraan dengan berita kelahiran anak pertama pewaris takhta England Putera William dan isterinya Kate Middleton.

Ungkapan 'Its a boy!' (anak lelaki!) terpampang hampir di semua muka depan akhbar di Britain, laman Twitter, Facebook hingga ke puncak Menara British Telecom (BT Tower) di Fitzrovia di London, menggambarkan rasa gembira dengan kelahiran pewaris ketiga takhta England dan cucu sulung pewaris takhta pertama, Putera Charles.

Kota London terang benderang dengan lampu berkelipan di hampir semua tempat, manakala lampu di London Eye bertukar merah, putih dan biru sejurus berita kelahiran putera itu diumumkan.

Bayi berkenaan dilahirkan pada jam 4.24 petang kelmarin di sayap persendirian Lindo Wing, Hospital St Mary di Paddington dengan berat 3.79 kilogram. Putera William berada di sisi isterinya ketika anak mereka dilahirkan.

Beratus-ratus orang orang berhimpun di dalam cuaca panas terik dengan suhu mencecah 33 darjah Celsius untuk berkongsi saat gembira di luar hospital di Paddington dan di luar Istana Buckingham bagi menunggu pengumuman dibuat.

Bayi yang belum diberi nama itu akan menerima gelaran His Royal Highness dan dikenali Prince of Cambridge, selepas dekri oleh Ratu Elizabeth awal tahun ini.


16.40 | 0 komentar | Read More

6 terbunuh keganasan baru di Mesir

Penyokong, penentang Presiden Morsi terus bertempur

Cairo: Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dalam keganasan antara penyokong dan penentang Presiden Mohamed Morsi yang digulingkan di ibu negara Mesir semalam, lapor media.

Keganasan berlaku sebelum subuh berhampiran lokasi tunjuk perasaan Ikhwanul Muslimin Universiti Kaherah, tempat mereka berhimpun sejak pemimpin itu disingkirkan tentera 3 Julai lalu. Ikhwanul Muslimin menyifatkan tindakan itu sebagai serangan ke atas penunjuk perasaan yang berhimpun secara aman.

Sumber polis menyatakan beratus-ratus penyokong Morsi bertempur dengan penduduk tempatan, peniaga jalanan berhampiran kawasan itu. Penunjuk perasaan juga membaling batu ke arah polis manakala tembakan turut kedengaran.

Enam terbunuh

Akhbar milik kerajaan Al-Ahram melaporkan, kementerian kesihatan memaklumkan bahawa enam orang terbunuh, manakala 33 orang cedera dalam pertempuran itu.
Setakat ini sembilan orang terbunuh dalam keganasan politik di Mesir sejak dua hari lalu.

Kira-kira 100 orang terbunuh dalam keganasan di Mesir, sejak tentera menggulingkan Morsi dan menggantikan beliau dengan pentadbiran sementara yang dipimpin Ketua Mahkamah Perlembagaan, Adli Mansour.
Ikhwanul Muslimin menuduh tentera mendalangi rampasan kuasa itu.

Ikhwanul Muslimin, di dalam laman webnya menyatakan, sembilan orang 'syuhada' terbunuh di dalam dua serangan berasingan ke atas penyokong Mursi, seorang di Universiti Kaherah, manakala yang lain terbunuh ketika berarak menuju ke satu lagi lokasi perhimpunan di utara Kaherah.

Ikhwanul Muslimin berkata, ia akan meneruskan perhimpunan sehingga Morsi yang ditahan tentera di satu lokasi tidak diketahui, dilantik semula menyandang jawatan asalnya.

Diarah pindah

"Pemimpin tentera yang meampas kuasa terus melakukan keganasan ke atas penunjuk perasaan yang berhimpun secara aman," kata Parti Kebebasan dan Keadilan dalam satu kenyataan.

Sebilangan penduduk yang tinggal berhampiran dengan lokasi perhimpunan di Bandar Nasr membuat aduan meminta mereka berpindah.

Sumber keselamatan berkata kes itu dijangka dibawa ke mahkamah 'bagi membolehkan tentera diberi kuasa undang-undang' untuk menamatkan tunjuk perasaan. - REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

41 maut dua penjara diserang

Written By Unknown on Selasa, 23 Juli 2013 | 16.40

Baghdad: Militan Iraq menyerbu dua penjara, termasuk Abu Ghraib, mencetuskan pertempuran yang mengorbankan 41 orang dan menyebabkan sekurang-kurangnya 500 banduan lolos, kata pegawai.

Serangan serentak ke atas penjara Taji, di utara Baghdad dan Abu Ghraib, di barat ibu negara itu, dilancarkan malam kelmarin dan berlanjutan kira-kira 10 jam.

Penjara Abu Ghraib, yang terkenal sebagai pusat penderaan penentang bekas Presiden Saddam Hussein, memperoleh populariti baru ketika pencerobohan diketuai Amerika Syarikat apabila gambar grafik mengenai penderaan banduan tersebar.

40 dipercayai cedera

"Kira-kira 500 banduan terlepas daripada penjara Abu Ghraib," kata anggota jawatankuasa Parlimen mengenai keselamatan dan pertahanan, Hakem al-Zamili.

Zamili berkata, sepanjang pengetahuannya, tiada banduan terlepas daripada penjara di Taji.

Namun ahli Parlimen, Shwan Taha, yang juga ahli jawatankuasa itu, berkata dalam kenyataan online antara 500 dan 1,000 banduan lolos daripada kedua-dua penjara. Pegawai berkata, sekurang-kurangnya 20 anggota pasukan keselamatan maut dan 40 lagi cedera dalam serangan itu. Jurucakap Kementerian Kehakiman pula berkata, 21 banduan terbunuh dan 25 cedera dalam rusuhan di penjara itu.

Tidak diketahui dengan jelas jumlah militan yang menyerang penjara itu yang terbunuh, cedera atau ditangkap.

Serangan dilancarkan pada jam 9.30 malam waktu tempatan semalam apabila militan menembak mortar ke arah penjara itu.

Empat bom kereta

Empat bom kereta diletupkan berhampiran pintu masuk ke penjara, manakala tiga pengebom bunuh diri menyerang penjara Taji, kata seorang kolonel polis. Lima bom tepi jalan juga meletup berhampiran penjara di Taji.

Pertempuran berlanjutan sepanjang malam ketika tentera mengerah pesawat ke tempat kejadian dan mengukuhkan kawalan di sekitar dua penjara itu.
Keadaan dapat dikawal menjelang pagi semalam, kata polis. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

75 maut gempa bumi di China

Ribuan bangunan musnah, 371 gegaran susulan

Beijing: Sekurang-kurangnya 75 terbunuh dan lebih 400 cedera parah apabila dua gempa bumi kuat melanda barat laut China awal pagi semalam, kata pihak berkuasa ketika pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari dan membantu mangsa.

Kerajaan tempatan di Dingxi, wilayah Gansu, di mana gempa berukuran 5.9 dan 5.6 melanda, memberikan angka berkenaan melalui media sosial yang disahkan.

"Lebih 21,000 bangunan musnah teruk dan lebih 1,200 runtuh," kata seorang pegawai di biro gempa bumi wilayah sambil menambah bahawa sebanyak 371 gegaran susulan dicatatkan.

Kajian Geologikal Amerika Syarikat berkata gempa bumi awal berukuran 5.9 berlaku pada 7.45 pagi dengan pusat gegaran 151 kilometer ke barat Beidao di Gansu dengan kedalaman kira-kira 9.8 kilometer.

Gempa kedua berukuran 5.6 berlaku di wilayah yang sama jam 9.12 pagi dengan kedalaman 10.1 kilometer, kata USGS.

Menara blok bergoyang

Seorang penduduk di wilayah Min memberitahu AFP bahawa beliau bekerja di sebuah loji pengeluaran ubat apabila gempa melanda dan menyaksikan menara blok bergoyang.
"Saya di dalam bengkel. Saya dapat rasa gegaran teruk dan saya berlari keluar dengan segera," katanya.

"Kilang kami hanya satu tingkat. Saya keluar ke halaman dan lihat sebuah bangunan 18 tingkat yang paling tinggi di wilayah ini bergegar teruk sekali terutama tingkat ke 18."

Seorang pegawai yang dikenali sebagai He dari jawatankuasa Parti Komunis Wilayah Min berkata lebih 200 orang cedera di tujuh kawasan bandar berhampiran di kawasan itu.

Gansu menjadi antara wilayah paling ramai penduduknya di China, Bandaraya Dingxi yang disifatkan sebagai wilayah paling teruk terjejas mempunyai kira-kira 2.7 juta penduduk.

Satu laporan halaman berita internet berkata seramai 500 tentera termasuk 120 pakar penyelamat dalam perjalanan ke zon bencana.

Dipenuhi runtuhan

Gambar yang disiarkan televisyen tempatan menunjukkan kawasan kampung luar bandar itu dipenuhi dengan runtuhan di jalanan.

Sejumlah 380 bangunan runtuh dan beribu-ribu rosak di wilayah Zhang, kata halaman yang dikirimkan kerajaan tempatan Dingxi.

Komunikasi di 13 bandar di wilayah terbabit juga terputus, lapor agensi berita Xinhua dan bekalan kuasa juga terputus di beberapa kawasan.

Gempa turut dirasakan di wilayah Lanzhou dan sejauh hingga ke Xian, ibu kota wilayah berjiran Shaanxi, lapor Xinhua. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Australia tawar wang ganjaran RM587,000

Written By Unknown on Senin, 22 Juli 2013 | 16.40

Sydney: Australia semalam mengumumkan membayar ganjaran sehingga lebih A$200,000 (RM587,000) bagi sebarang maklumat yang membawa kepada sabit kesalahan penyeludup manusia, ketika negara itu mempertahankan pendekatan tegas mereka terhadap pendatang.

Tiada peluang di Australia

Perdana menteri, Kevin Rudd, kelmarin mengumumkan bahawa pelarian yang tiba dengan bot haram tidak mempunyai peluang untuk tinggal di Australia dalam usaha menghentikan pendatang terbabit ke negara itu melalui jalan laut.

Sebaliknya mereka akan dihantar ke wilayah miskin Papua New Guinea untuk tujuan pemprosesan.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Jason Clare, semalam berkata Polis Persekutuan Australia akan membayar ganjaran bagi penangkapan mana-mana dalang penyeludup pelarian atau rakan mereka.

"Mereka ini memperniagakan kesengsaraan dan kematian. Kita perlu menutup pasaran ini. Sebab itu kami meletakkan ganjaran terhadap mereka.

"Kami membawa produk yang dijual mereka keluar dan kita juga perlu memenjarakan orang seperti ini.
"Jika anda beri maklumat kepada polis, kita perlu menangkap penyeludup terbabit dan anda akan terima lebih A$200,000," kata Clare.

15,600 pendatang asing

Lebih 15,600 pendatang tiba di Australia menaiki bot pada 2013, walaupun ramai yang lemas ketika dalam perjalanan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan isu berkenaan dijangka menjadi penting menjelang pilihan raya kebangsaan akan datang.

Menteri luar, Bob Carr, berkata kedatangan bot boleh mencecah 50,000 tahun ini sambil mempertahankan tindakan tegas kerajaannya untuk menghantar pendatang terbabit ke Papua New Guinea.

"Anda menghadapi 3,000 orang tiba setiap bulan. Kadar tahunan adalah antara 40 hingga 50,000 setahun jika ia berterusan di peringkat ini.

"Jika ia berterusan pada peringkat ini, perdana menteri yakin bahawa ia boleh meningkatkan lebih banyak kerana penyeludupan orang benar-benar hampir kepada kewangan membunuh."

Carr berkata, pendekatan berkenaan membawa mesej kepada pendatang yang membayar beribu dolar kepada penyeludup terbabit untuk membawa mereka ke Australia, di mana mereka bukan saja berhadapan dengan risiko nyawa di laut, tetapi juga tidak akan dapat tinggal di Australia. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

65 maut 12 letupan bom kereta di Iraq

Serangan berlaku selepas berbuka puasa

Baghdad: Sekurang-kurangnya 65 penduduk di Baghdad terbunuh malam kelmarin selepas satu siri letupan bom di wilayah itu, kata pihak berkuasa ketika Iraq bertungkus-lumus mengurangkan keganasan sejak 2008, menyaksikan lebih 520 kematian bulan ini.

"Sebanyak 12 butir bom kereta dan sebutir bom tepi jalan meletup di kota Baghdad, manakala bom lain meletup di Madain di selatan ibu negara," kata seorang kolonel polis dan seorang pegawai perubatan.

Letupan turut mencederakan 190 penduduk lain.

Letupan berlaku ketika penduduk Baghdad keluar ke kedai dan berehat di kafe selepas berbuka puasa.

Dua butir bom kereta yang meletup membunuh 12 penduduk di Karrada, manakala dua butir bom serupa dan sebutir bom tepi jalan meletup di Zafraniyah, kedua-duanya di tengah Baghdad.

Serang polis peronda

Keganasan turut melanda utara Iraq.
Satu serangan bom ke atas sekkumpulan polis peronda membunuh seorang anggota dan mencederakan yang lain dalam kejadian di Mosul. Serangan bom berkereta di tenggara bandaraya itu membunuh seorang wanita dan mencederakan 22 penduduk lain, termasuk tujuh anggota polis. Letupan sebutir bom di barat pula mencederakan tiga lagi penduduk.

Kejadian kelmarin memberikan jumlah kematian paling banyak dalam tempoh sehari di Iraq sejak 10 Jun apabila serangan menyebabkan 78 kematian.

Pengeboman kelmarin berlaku sehari selepas satu serangan bom bunuh diri yang mengorbankan 20 penduduk di sebuah masjid puak Sunnah yang penuh sesak di utara ibu negara.

Militan dilaporkan menyerang kedua-dua masjid Sunnah dan Syiah sejak beberapa bulan lalu, meningkatkan kebimbangan konflik perkauman yang menyebabkan kematian berpuluh ribu penduduk sejak beberapa tahun lalu.

Lebih 2,700 penduduk terbunuh di Iraq sejak 2013, kata satu perangkaan berdasarkan sumber keselamatan dan perubatan.

Kebanyakan pegawai kanan dan pemimpin agama masih berdiam diri terhadap kejadian itu. - AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Israel setuju bebas tahanan Palestin, terus rundingan damai

Written By Unknown on Minggu, 21 Juli 2013 | 16.41

Baitulmaqdis: Israel bersetuju terhadap tuntutan sekian lama Palestin untuk membebaskan tahanan bagi menyambung semula rundingan damai, tetapi tidak akan membabitkan isu utama lain, kata menteri kewangan, Yuval Steinitz semalam.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry semalam berkata, bahawa Israel dan Palestin akan meletakkan asas bagi menyambung rundingan damai selepas hampir tiga tahun tertangguh, tetapi memberi amaran bahawa rundingan itu bukanlah terakhir dan perlukan lebih banyak diplomasi.

"Akan ada pembebasan tahanan," kata Steinitz kepada Israel Radio.

Bebas ramai tahanan

"Saya tidak mahu memberikan bilangannya tetapi akan membabitkan jumlah besar tahanan yang dipenjarakan selama berpuluh tahun," katanya.

Pembebasan akan dilakukan dalam beberapa peringkat, katanya.

Palestin sejak sekian lama menuntut Israel membebaskan banduan yang ditahan di penjara Israel sejak sebelum 1993, tahun kedua pihak menandatangani Perjanjian Oslo, satu perjanjian sementara yang bertujuan membawa kepada pembebasan negeri yang dimahukan Palestin di Timur Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
Tetapi apabila ia membabitkan perkara lain, Steinitz berkata, Israel tidak akan bersetuju.

Dapat sokongan antarabangsa

Palestin dengan mendapat sokongan antarabangsa berkata, rundingan membabitkan masa depan negara mereka perlu mempunyai sempadan membabitkan sempadan wilayah terbabit sebelum Israel mengambilnya dalam Perang Asia Barat 1967.

Israel menolak keras tuntutan ini, mengatakan sempadan terbabit akan dipertahankan untuk negara Yahudi itu. Steinits berkata, tiada konsesi Israel pada masa ini dan membabitkan tuntutan Palestin bahawa Israel perlu menangguhkan semua pembinaan penempatan di kawasan Tebing Barat dan Timur Baitulmaqdis.

"Tiada peluang bahawa kami akan bersetuju memasuki sebarang rundingan yang bermula dengan sempadan wilayah atau konsesi oleh Israel, atau pembekuan pembinaan." - REUTERS


16.41 | 0 komentar | Read More

Ratusan pelarian merusuh, lolos

Pengumuman Australia cetus ketegangan, dakwa langgar hak asasi manusia

Sydney: Beratus-ratus pela-rian meloloskan diri dari pusat tahanan ketika rusuhan di sebuah kemudahan pelarian Australia di Nauru, kejadian yang turut mengakibatkan kebakaran bangunan, kata saksi selepas pelancaran operasi imigresen besar-besaran.

Kerajaan Australia kelmarin mengumumkan orang hanyut tidak lagi akan ditempatkan di negara itu dan semua kedatangan tidak sah pada masa depan akan dihantar ke Papua New Guinea bagi penempatan kekal.

Pengumuman itu mencetuskan tunjuk perasaan orang ramai di Sydney yang menyifatkan langkah itu sebagai melanggar hak asasi manusia.

Rusuhan menyaksikan tahanan mengawal pusat pemprosesan imigresen terbabit di pulau pedalaman Nauru dengan bersenjatakan pisau dan batang besi.

Hampir separuh daripada 500 pendatang di kemudahan terbabit melarikan diri dan sebilangan bangunan dibakar, kata jurugambar tempatan, Clint Deidenang.

Membuat bantahan

Mereka membuat bantahan selama empat jam selepas sekumpulan besar penduduk tempatan di pusat terbabit bersenjatakan paip dan parang membantu pihak berkuasa mengawal keganasan selepas gesaan kerajaan untuk bantuan.
Pemangku Presiden Micronesia, David Adeang mengeluarkan satu perintah darurat bagi memberikan kuasa kepada pasukan keselamatan dan polis untuk bertindak terhadap rusuhan terbabit. Hingga tengah malam Jumaat, jabatan imigresen Australia berkata, semua tahanan dikira.

"Tangki air plastik berhampiran bangunan terbakar cair seperti mentega. Saya boleh lihat sebuah bangunan dengan keseluruhan bumbungnya runtuh," kata Deidenang, yang menganggarkan 90 peratus bangunan pusat terbabit hangus.

"Saya boleh lihat pekerja baju oren memasuki kawasan zon seperti perang yang terbakar itu. Kawasan terbabit musnah," katanya dalam Twitter.

Menilai kemusnahan

Seorang jurucakap jabatan imigresen Australia mengesahkan keadaan kekacauan di kemudahan Nauru itu membabitkan 150 tahanan.

"Kontraktor persendirian Wilson Security dan polis Nauru dipanggil dan mereka membantu dalam insiden terbabit," katanya kepada AFP.

"Pusat itu kini tenang. Kami masih menilai kemusnahan, apa yang kami tahu ia membabitkan kerosakan harta benda," katanya.

Beliau tidak dapat mengesahkan bilangan sebenar tahanan yang melarikan diri dari kemudahan itu tetapi berkata semua kakitangan dan mereka yang dipindahkan sudah dikira. - AFP


16.41 | 0 komentar | Read More

Pelajar enggan terima sajian percuma risau tercemar racun

Written By Unknown on Jumat, 19 Juli 2013 | 16.41

Patna: Beribu-ribu pelajar sekolah enggan menerima hidangan percuma di wilayah timur India yang miskin, berikutan bimbang ia beracun selepas 22 kanak-kanak maut selepas menikmati hidangan tengah hari yang tercemar dengan racun serangga, kata pegawai semalam.

Kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun mati selepas makan kekacang, sayuran dan nasi dimasak di sebuah sekolah kampung di Bihar Selasa lalu, mencetuskan bantahan dan siasatan terhadap punca kejadian.

Kira-kira 30 kanak-kanak lain masih di hospital di ibu kota Patna dan bandar raya Chhapra selepas memakan makanan terbabit yang ujian awalnya menunjukkan mungkin dicemari racun serangga.

"Ibu bapa memberi amaran kepada anak supaya tak makan makanan dihidangkan di sekolah," kata Lakshmanan.

Buang makanan

"Sebilangan pelajar membuang hidangan tengah hari dalam tong sampah di sekolah dan kami cuba yakinkan semua orang bahawa tragedi itu tidak berulang," kata pengarah skim hidangan tengah hari di Bihar, Lakshmanan.

Kerajaan India mengendalikan program pemakanan sekolah terbesar di dunia membabitkan 120 juta kanak-kanak. Guru melihat ia sebagai satu cara menggalakkan kehadiran pelajar ke sekolah di sebuah negara di mana hampir separuh daripada kanak-kanaknya kekurangan khasiat.
Bihar, negeri paling ramai penduduk dan paling miskin di India.

Polis menyerbu rumah guru besar sekolah terbabit, Meena Kumari yang melarikan diri selepas kanak-kanak terbabit meninggal dunia, kata seorang pegawai kanan yang enggan dikenali.

"Kami temui dua bekas racun serangga di rumah guru besar terbabit bersama sayur-sayuran dan beras untuk hidangan tengah hari," kata pegawai yang menyiasat kematian terbabit. - AFP


16.41 | 0 komentar | Read More

Palestin, Israel kaji sambung rundingan

Abbas bincang dengan pemimpin negara selepas proses terhenti tiga tahun

Ramallah: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, akan berbincang dengan pemimpin Palestin mengenai kemungkinan untuk menyambung semula rundingan dengan Israel selepas hampir tiga tahun ia terhenti, kata pihak berkuasa.

Mereka tidak memberikan perincian mengenai sekiranya ada kejayaan yang bakal diumumkan Abbas selepas mesyuarat di Jordan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry.

Akan ada perbincangan mengenai idea ini dan setiap orang bakal memberi pandangan mereka" Wasel Abu Yousef, Anggota tertinggi PLO


Kerry kelmarin berkata, jurang antara kedua pihak sangat ketara kecil. Cadangan beliau untuk meneruskan rundingan mendapat sokongan jawatankuasa Liga Arab, yang mengatakan mereka menyediakan asas dan persekitaran yang bersesuaian untuk memulakan rundingan.

Abbas akan berbincang dengan anggota kanan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan partinya Fatah pada 3 petang di Ramallah, bandaraya yang diduduki Israel di Tebing Barat dan tempat bagi pentadbiran pemerintahan sendiri beliau yang disokong Amerika Syarikat.

Sokongan Liga Arab

Abbas yang strategi damainya sering kali mendapat tentangan pesaing Islamis Palestin yang memerintah Semenanjung Gaza sebelum ini cuba mendapatkan sokongan Liga Arab untuk membabitkan negara Yahudi itu.
Tidak dapat dipastikan sama ada pengesahan itu akan memberikan perlindungan politik secukupnya untuk beliau meneruskan rundingan damai.

"Kami menjangka untuk mendengar daripada presiden idea dibentangkan Kerry.

"Akan ada perbincangan mengenai idea ini dan setiap orang bakal memberi pandangan mereka mengenainya. Rumusannya akan dibuat oleh satu persetujuan umum," kata anggota tertinggi PLO, Wasel Abu Yousef, kepada Reuters.

Rundingan yang berlaku selama dua dekad kali terakhir terjejas pada akhir 2010 membabitkan penempatan Israel di Tebing Barat dan beberapa perkara lain.

Sejak itu, Abbas menegaskan bahawa Israel memperbaharui dan menambahkan pembinaan penempatan bagi rundingan baru diadakan.

Penduduk Palestin yang biasa dengan pemikiran Abbas membuat spekulasi beliau tidak akan meneruskan permintaan bagi menghentikan pembinaan perumahan yang dikeluarkan kerajaan Israel walaupun ia sukar untuk meneruskan permintaan sebelum ini.

Sekiranya Abbas berjaya dalam isu ini, ia mungkin dalam pertukaran bagi isyarat muhibah dari Israel seperti pengampunan pejuang veteran PLO yang sekian lama ditahan di penjara.

Israel tidak memberi sebarang tanda pembebasan banduan terbabit tetapi penyiar utama Israel Army Radio berkata, beberapa sekatan jalan raya Tebing Barat akan dihapuskan untuk memudahkan perjalanan Palestin. - REUTERS


16.41 | 0 komentar | Read More

12 tahanan larikan diri

Written By Unknown on Kamis, 18 Juli 2013 | 16.41

Banduan pukul pengawal, pecahkan tingkap pejabat warden

Batam: Sekurang-kurangnya 12 tahanan meloloskan diri dari sebuah penjara di Indonesia semalam, kata polis, kurang seminggu selepas 200 banduan memecah keluar dari penjara lain dengan separuh daripada mereka masih dalam buruan.

Semua 12 tahanan terbabit menjalani hukuman atas kesalahan dadah, melarikan diri dari sebuah tingkap selepas memecah pejabat warden di penjara Baloi, Batam sebahagian daripada Pulau Riau di selatan Singapura.

Pukul pengawal penjara

"Seorang daripada pengawal dipukul. Tahanan terbabit melarikan diri dengan bersenjatakan batang besi besar memecah tingkap sebelum melarikan diri," kata ketua polis wilayah Pulau Riau, Endjang Sudrajat kepada pemberita.

Penduduk tempatan, Elvina Manulang berkata, beliau melihat sekumpulan banduan yang melarikan diri itu menaiki sebuah van mini awam.

"Van mini terbabit kerap melalui kawasan penjara. Tahanan memaksa pemandu membawa mereka," katanya.

Seperti kebanyakan penjara lain di Indonesia, penjara berkenaan turut mengalami kesesakan. Ia dibina dengan untuk menampung 250 banduan tetapi kini menahan 468 orang pesalah.
Kejadian melarikan diri dari penjara itu berlaku kira-kira enam hari selepas kira-kira 200 tahanan melarikan diri dari Penjara Tanjung Gusta di Medan, di mana kebanyakan mereka marah akibat masalah bekalan elektrik dan air yang sering terputus sehingga mencetuskan rusuhan dan kebakaran.

Lima orang terbunuh dalam rusuhan terbabit manakala polis dan tentera masih menjejaki kira-kira 100 banduan termasuk empat yang didapati bersalah kerana terbabit dalam keganasan, kata jurucakap polis wilayah Sumatera Utara, Heru Prakoso. - AFP


16.41 | 0 komentar | Read More

22 budak maut makan hidangan beracun

Makanan percuma dipercayai dicemari fosfat racun serangga

Patna: Sekurang-kurangnya 22 kanak-kanak maut selepas menikmati hidangan tengah hari percuma di sebuah sekolah rendah di timur India, di mana ujian awal menunjukkan makanan terbabit dicemari bahan kimia beracun, kata pihak berkuasa.

Kira-kira 30 kanak-kanak yang lain dirawat di hospital selepas mengambil hidangan tengah hari yang dimasak di sekolah kampung terbabit, kata menteri pendidikan negeri Bihar, P K Shahi.

Hidangan tengah hari

"Sungguh menyedihkan tetapi memang benar bahawa 22 kanak-kanak mati selepas makan hidangan tengah hari mereka, yang didapati beracun," kata Shahi kepada AFP.

Semua 22 kanak-kanak terbabit berusia di bawah 10 tahun dikebumikan berhampiran sekolah pagi semalam dengan beratus-ratus penduduk kampung membantah kematian terbabit.

"Beratus-ratus penduduk yang marah membuat bantahan di daerah Saran lewat malam semalam, menuntut tindakan tegas terhadap pegawai kerajaan yang bertanggungjawab dalam insiden yang mengejutkan ini," kata pegawai daerah, S K Mall.

Satu siasatan awal menunjukkan bahawa hidangan kekacang dan nasi yang diberikan kepada kanak-kanak terbabit mungkin dicemari dengan fosfat daripada racun serangga, kata pegawai kerajaan tempatan, Amarjeet Sinha.

Racun serangga

"Punca kematian mungkin keracunan organophosphorous akibat racun serangga dalam sayur," katanya kepada AFP sambil menambah bahawa doktor merawat mangsa dengan atropine.

Laporan media memetik penduduk kampung berkata penggunaan minyak masak tercemar mungkin menjadi punca kematian.

"Penyiasat melakukan siasatan terhadap sampel hidangan tengahari berkenaan dan sampel muntah mangsa. Hanya laporan akhir mendedahkan punca sebenar," katanya.

Ketua menteri, Nitish Kumar mengumumkan pampasan sebanyak 200,000 rupee (RM10,745) kepada keluarga mangsa. - AFP


16.41 | 0 komentar | Read More

14 bulan kelilingi planet Neptune

Written By Unknown on Rabu, 17 Juli 2013 | 16.41

CAPE CANAVERAL: Seorang pakar astronomi mengkaji imej arkib Neptune yang diambil Teleskop Angkasa Lepas Hubble mengesan bulan ke-14 yang mengorbit planet berkenaan.

Dianggarkan dalam bergaris pusat 20 kilometer, bulan terbabit berada kira-kira 105,251 kilometer dari Neptune.

Pakar astronomi terbabit, Mark Showalter dari Institut SETI di Mountain View, California membuat penyelidikan imej Hubble bagi bulan di dalam serpihan berbentuk cincin di sekeliling Neptune.

Apabila kembali semula, saya lihat imej dan ada titik tambahan sedangkan ia tidak sepatutnya ada di situ" Mark Showalter, Pakar astronomi dari Institut SETI


Perluas analisis

Beliau menemui bulan ke-14 itu selepas memutuskan untuk memperluas analisisnya ke kawasan lebih luas.

"Kami memproses data untuk beberapa lama dan saya mengatakan bahawa, baiklah, mari kita tengok lebih jauh," kata Showalter.

"Saya ubah program yang tidak hanya berhenti di luar serpihan itu. Sementara ia memproses data, saya keluar dari bilik komputer dan menunggu sejam sementara ia memproses semuanya untuk saya.
"Apabila kembali semula, saya lihat imej dan ada titik tambahan sedangkan ia tidak sepatutnya ada di situ," kata Showalter.

Analisis susulan imej arkib lain Hubble mengesahkan bahawa objek terbabit adalah bulan.

Showalter dan rakannya kini memikirkan satu nama untuk dicadangkan kepada Kesatuan Astronomi Antarabangsa, yang membuat keputusan muktamad mengenai perkara berkenaan.

"Kita tidak benar-benar jauh daripadanya. Apa yang boleh saya katakan bahawa nama itu akan keluar dalam mitologi Roman dan Greek dan ia membabitkan karektor berkaitan dengan Neptune, dewa lautan," kata Showalter.

Bulan terbesar Neptune, Triton dikesan pada 1846 beberapa hari selepas planet itu sendiri ditemui. Nereid, bulan ketiga terbesar Neptune ditemui pada 1949. - REUTERS


16.41 | 0 komentar | Read More

Boikot penempatan Yahudi

EU beri arahan wajib dipatuhi kepada semua anggota

Baitulmaqdis: Kesatuan Eropah (EU) mengeluarkan arahan wajib dipatuhi 28 negara anggotanya melarang pembiayaan, kerjasama, biasiswa, dana penyelidikan atau hadiah kepada semua penempatan Yahudi di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis.

Peraturan yang berkuatkuasa Jumaat minggu ini menetapkan sebarang perjanjian atau kontrak anggota EU dengan Israel akan menyebut bahawa penempatan berkenaan bukan sebahagian Israel sekali gus bukan sebahagian daripada perjanjian.

Sehingga hari ini ada persefahaman dan perjanjian senyap bahawa ia tidak terpakai di luar Garisan Hijau (sempadan pra-perang 1967). Kini, ia menjadi dasar rasmi" Kenyataan pegawai kanan Israel


Pegawai kanan Israel yang enggan dikenali menerangkan perintah terbaru itu yang diterbitkan 30 Jun lalu sebagai satu 'gempa bumi'.

"Ini adalah pertama kali satu arahan rasmi jelas dikeluarkan oleh EU," kata pegawai berkenaan.

"Sehingga hari ini ada persefahaman dan perjanjian senyap bahawa ia tidak terpakai di luar Garisan Hijau (sempadan pra-perang 1967). Kini, ia menjadi dasar rasmi."

Adakan rundingan
Mulai sekarang, jika kerajaan Israel mahu menandatangani perjanjian dengan EU atau satu daripada ahlinya, ia perlu menyatakan secara bertulis bahawa penempatan Tebing Barat bukan sebahagian Israel.

Ketegangan dirasai di Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar kerana bimbang peraturan baru itu dan kesannya kepada hubungan Israel-EU.

Usaha Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan Timbalan Menteri Luar, Ze'ev Elkin untuk menghentikan langkah berkenaan semuanya gagal.

Pegawai kanan EU mahu mengadakan rundingan dengan Israel membabitkan arahan terbaru itu tetapi disebabkan ia berkuatkuasa akhir minggu ini peluang untuk memindanya amat tipis.

"Kita perlu putuskan apa perlu dilakukan mulai hari ini dan seterusnya," kata seorang pegawai kanan Israel.

"Kita belum sedia untuk menandatangani perkara ini dalam perjanjian kita dengan EU.

Jejas kerjasama

"Kita boleh katakan kepada penduduk Eropah tetapi keputusannya akan menjejaskan semua kerjasama dalam ekonomi, sains, budaya, sukan dan akademik.

"Ini akan menyebabkan kesan buruk kepada Israel."

Arahan terbaru itu diterbitkan oleh Suruhanjaya Eropah yang menjadi cawangan eksekutif EU.

Perintah berkenaan menentukan ruang lingkup kerjasama di antara kesatuan terbabit dengan negara anggotanya dan entiti kerajaan dengan Israel mulai 2014 dan 2020.

Bahagian paling penting dalam arahan terbabit adalah perkara wilayah, yang buat pertama kalinya akan tertulis dalam satu peraturan wajib untuk semua perjanjian antara EU dan Israel. - AGENSI


16.41 | 0 komentar | Read More

Snowden miliki dokumen sensitif

Written By Unknown on Selasa, 16 Juli 2013 | 16.40

RIO DE JANEIRO: Edward Snowden mendakwa memiliki dokumen paling sensitif mengenai bagaimana Agensi Keselamatan Kebangsaan disusun dan beroperasi yang boleh menjejaskan kerajaan Amerika Syarikat, tetapi beliau menegaskan tidak akan mendedahkannya kepada umum, kata seorang wartawan yang rapat dengannya.

Glenn Greenwald, seorang penulis kolum akhbar The Guardian yang pertama kali melaporkan kebocoran risikan Amerika Syarikat itu memberitahu bahawa pendedahan maklumat dalam dokumen terbabit akan membolehkan seseorang yang membacanya mengetahui bagaimana NSA sebenar.

Katanya, dokumen yang dimiliki Snowden pada asasnya adalah arahan manual mengenai bagaimana NSA dibina.

"Dalam usaha untuk mendapatkan dokumen terbabit yang mengesahkan bahawa beliau bercakap benar, beliau membawanya satu yang amat sensitif, maklumat terperinci mengenai bagaimana NSA lakukan," kata wartawan berkenaan kelmarin di sebuah bilik hotel di Rio de Janeiro.

Sedia bertemu Putin

Beliau berkata temubual tberlangsung selama empat jam selepas kali terakhir beliau bersama Snowden.
Greenwald berkata, beliau percaya pendedahan maklumat dalam dokumen itu tidak terbukti akan menjejaskan rakyat Amerika Syarikat dan keselamatan mereka tetapi Snowden mendedahkan bahawa beliau tidak akan mendedahkannya kepada umum.

"Saya rasa ia akan menjejaskan kerajaan Amerika Syarikat kerana ia adalah membabitkan kepentingan mereka, jika perincian program terbabit didedahkan," katanya.

Beliau sebelum ini berkata, dokumen terbabit diklasifikasikan sebagai sulit untuk memastikan keselamatannya.

Snowden muncul daripada persembunyiannya di sebuah lapangan terbang Moscow Jumaat lalu dan berkata beliau bersedia bertemu Presiden Vladimir Putin dengan syarat akan menghentikan kebocoran rahsia Amerika Syarikat untuk membolehkan Russia memberi perlindungan kepadanya sehingga berjaya berpindah ke Amerika Latin.

Greenwald memberitahu AP bahawa beliau mengelak bercakap dengan Snowden mengenai isu berkaitan dalam usaha untuk mengelak sebarang masalah perundangan terhadap dirinya sendiri. - AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Polis contoh didakwa bunuh

Mangsa diseret satu kilometer dengan kereta

Singapura: Seorang anggota polis Singapura yang pernah dinobatkan sebagai pegawai contoh semalam didakwa atas kesalahan membunuh seorang ahli perniagaan bersama anak lelakinya dalam satu kes yang menggemparkan di bandar raya itu.

Staff Sarjan Kanan Iskandar Rahmat, 34 didakwa membunuh pemilik bengkel kereta, Tan Boon Sing, 67 dan anak lelakinya, Tan Chee Heong, 42, Rabu lalu.

Pasukan polis dan setiap anggota tercemar dengan tindakan anggota ini" Ng Joo He, Pesuruhjaya Polis


Lelaki berkenaan dibunuh di kediamannya manakala mayat anak lelakinya ditemui kira-kira satu kilometer selepas diseret di bawah sebuah daripada kereta milik keluarga berkenaan, sehingga meninggalkan jejak berdarah di sebuah jalan yang sibuk.

Segera ditahan

Iskandar, yang pernah dinobatkan sebagai pegawai polis contoh melalui laman web Polis Singapura, dikatakan meninggalkan kereta terbabit dan melarikan diri ke Malaysia menaiki sebuah skuter tetapi segera ditahan dan dibawa ke Singapura.

Media Singapura berkata suspek, yang sudah berkahwin dan berkhidmat dalam pasukan selama 14 tahun diisytiharkan muflis dan sedang disiasat kerana gagal melaporkan masalah kewangannya kepada pegawai atas beliau.
Dia dilarang membawa senjata api ketika siasatan dijalankan.

Aduan kecurian

Tiada sebarang motif yang diketahui membabitkan pembunuhan itu tetapi seorang jurucakap polis mengesahkan laporan bahawa Iskandar pernah menerima satu aduan kecurian oleh pemilik bengkel itu November tahun lalu, dan selepas itu dia ditukarkan ke tempat lain.

Kes berkenaan mengejutkan Singapura yang mempunyai kadar jenayah rendah.
Berdasarkan statistik rasmi, bilangan pembunuhan di Singapura mencecah rekod serendah 11 dalam tempoh 20 tahun pada 2012, menurun daripada 16 yang dilaporkan pada 2011.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hujung minggu lalu, Pesuruhjaya Polis, Ng Joo He berkata: "Pasukan polis dan setiap anggotanya tercemar dengan tindakan seorang anggota ini," katanya. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Taufan Soulik masuk China

Written By Unknown on Minggu, 14 Juli 2013 | 16.40

Beijing: Seorang terbunuh selepas taufan besar melanda seluruh utara Taiwan semalam.

Taufan itu kemudian berubah alih dan masuk ke tenggara China dan memaksa beratus-ratus orang dipindahkan dari kawasan dekat pantai.

Taufan Soulik menyebabkan operasi pengangkutan dan perniagaan terjejas di seluruh Taiwan.

Kru kecemasan diarah bertugas sekitar Taipei dan kawasan berdekatan ketika usaha dilakukan untuk memulihkan kuasa kepada 520,000 kediaman selain mengalihkan beratus-ratus pokok tumbang dari jalan raya.

300,000 penduduk dipindah

Ribut itu kemudian sampai ke wilayah China, Fujian, petang semalam.
Ia membawa angin selaju 119 kilometer sejam, lapor Pusat Kaji Cuaca Kebangsaan China,
Ia rendah daripada 163 kilometer ketika sampai di Taiwan.

Kira-kira 300,000 orang di Fujian dipindahkan dari kediaman mereka dan dihantar ke tempat selamat.

Di Fujian dan Zhejiang, perkhidmatan kereta api dihentikan buat sementara dan khidmat cuaca China turut memberi amaran mengenai kemungkinan banjir dan tanah runtuh berlaku lagi. - AP


16.40 | 0 komentar | Read More

23 cedera kena tanduk lembu

Sekumpulan peserta terjatuh di jalan 'diserang'

Pamplona: Sekurang-kurangnya 23 orang cedera dalam larian lembu ketika pesta San Fermin di sini selepas sekumpulan peserta menjadi sasaran kerana terjatuh di tengah jalan.

Ketika beberapa lembu masuk ke laluan sempit, haiwan itu disekat berpuluh-puluh peserta yang terjatuh dan menghempap sesama sendiri.

Seorang pelari, warga Sepanyol, berusia 19 tahun dari Vitoria, cedera parah selepas lehernya dipijak manakala seorang warga Ireland hampir lemas" Javier Sesma, jurucakap kesihatan wilayah Navarra


Seekor lembu yang terjatuh di pintu masuk kemudian bangkit dan meluru ke arah mereka.

Dua daripada 23 mangsa yang cedera ditanduk lembu manakala kecederaan orang lain disebabkan mereka dipijak, kata jurucakap kesihatan wilayah Navarra, Javier Sesma.

Katanya, seorang pelari, warga Sepanyol, berusia 19 tahun dari Vitoria, cedera parah selepas lehernya dipijak manakala seorang warga Ireland hampir lemas.
"Keadaan memang serius. Dia stabil tetapi tenat," kata Sesma mengenai warga senegaranya.
Seorang lagi kena tanduk di punggung dan seorang kena di bahagian ketiak dalam larian sejauh 850 meter di jalan sempit Pamplona.

Diserang sakit jantung

Kedua-duanya tidak cedera parah kerana pihak berkuasa Navarra yang menganjurkan pesta tahunan itu. Orang lain hanya luka dan lebam.

Sesma berkata, seorang lagi penonton diserang sakit jantung kerana menyaksikan larian.

Pesta itu mendapat perhatian Jumaat lalu selepas seorang pelajar kolej dan dua warga Sepanyol kena tanduk dengan video dan foto serangan disiarkan ke seluruh dunia.

Pesta di bandar utara Sepanyol ini bermula sejak abad ke-16 dan turut dikenali sebagai 'parti sepanjang malam.'

Larian sebanyak lapan kali itu adalah kemuncak pesta sembilan hari bagi menghormati pelindung Pamplona - San Fermin.

Setiap pagi, enam lembu sambung dan enam penyelaras larian akan cuba memastikan lembu itu berada bersama hingga ke penghujungnya yang berakhir di kandang sebelum dibawa ke gelanggang matador pada petangnya.

Pesta itu akan berakhir hari ini dipopularkan oleh novel Ernest Hemingway pada 1926 iaitu 'The Sun Also Rises.' - AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Orang mati menang pilihan raya di Mexico

Written By Unknown on Sabtu, 13 Juli 2013 | 16.40

OAXACA: Seorang lelaki yang disahkan meninggal dunia kira-kira tiga tahun lalu dilaporkan memenangi pertandingan datuk bandar di negeri selatan, Oaxaca.

Leninguer Raymundo Carballido Morales memenangi pilihan raya bandar kecil San Agustin Amatengo dengan kelebihan 11 undi, Ahad lalu, sebagai calon sebuah parti berhaluan kiri dan pakatan konservatif.

Tetapi, pendakwa kini melakukan siasatan sama ada Carballido Morales memalsukan kematiannya pada 2010 untuk mengelak ditahan berhubung kes rogol seorang wanita pada 2004.

Carballido Morales turut berkempen dalam pilihan raya, muncul dalam majlis umum dan turut ditemubual pemberita.

Tetapi, dua hari sebelum pengundian, akhbar tempatan, Tiempo de Oaxaca melaporkan bahawa peguam calon mengeluarkan sijil kematian palsu kepada pihak berkuasa pada 2010.

Dokumen disahkan

Dokumen terbabit yang disahkan oleh seorang doktor mengisytiharkan bahawa Carballido Morales mati atas sebab semula jadi selepas koma disebabkan penyakit kencing manis, lapor akhbar.
Seorang pendakwa kes jenayah terhadap wanita, Iliana Araceli Hernandez, berkata pejabatnya melakukan siasatan berikutan laporan untuk menentukan sama ada lelaki itu melakukan satu jenayah.

Pengarah pendaftaran sivil Oaxaca, Aide Reyes mengesahkan bahawa seorang kakitangan awam menandatangani dokumen terbabit dan pejabatnya melancarkan siasatan.

Ketua parti Revolusi Demokrat (PRD), Rey Morales Sanchez, memberitahu bahawa jika datuk bandar yang terpilih itu melakukan jenayah, 'dia akan digantikan.'

Carbadillo Morales sekali lagi membuktikan masih hidup dan sihat sebelum pilihan raya, dengan menulis di halaman Facebook bahawa beliau ke pejabat pendakwa bagi mendapatkan maklumat berkaitan dengan insiden yang disifatkan sama sekali palsu. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Pendakwa siasat kaitan Morsi, Hamas

Kaherah: Pendakwa akan menyiasat laporan Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Morsi lari dari penjara ketika revolusi 2011 dengan bantuan Hamas.

Ketua pendakwa, Hesham Barakat, menerima keterangan dari mahkamah di Ismailia, berdasarkan siasatan pendakwa keselamatan kes Morsi dan lebih 30 pemimpin Ikhwanul Muslimin lain lari dari penjara, kata pegawai yang enggan mendedahkan namanya.

Persoalan sama ada Hamas membantu mereka lari ketika rusuhan sewaktu kebangkitan 2011 menumbangkan Hosni Mubarak menjadi perdebatan media sejak beberapa bulan lalu.

Dakwaan khianat

Pengkritik dalam kalangan pembangkang dan institusi kehakiman berpendapat, campur tangan asing di Mesir boleh membawa kepada dakwaan khianat.

Isu berkenaan menjadi lebih penting sejak penggulingan Morsi oleh tentera pada 3 Julai lalu berikutan bantahan berjuta-juta penduduk Mesir yang menggesa beliau meletak jawatan.

Pemimpin yang ditumbangkan itu berada di penjara Kementerian Pertahanan dan sehingga kini belum ada dakwaan terhadapnya diumumkan.
Hamas menafikan pembabitan dalam peristiwa tahanan melarikan diri pada 29 Januari 2011 dari penjara Wadi el-Natroun di barat laut Kaherah.

Siasatan berdasarkan kes mahkamah membabitkan seorang bekas tahanan lain tetapi hakim Khaled Mahgoub memberi tumpuan kepada siasatan umum membabitkan pelepasan Morsi dan pegawai Ikhwanul Muslimin yang lain. - AP


16.40 | 0 komentar | Read More

CIA tunai permintaan pelik

Written By Unknown on Jumat, 12 Juli 2013 | 16.40

Washington: Dalang 9/11, Khalid Sheikh Mohammed atau lebih kerap dipanggil KSM mempunyai satu permintaan pelik iaitu mencipta pembersih hampagas yang diluluskan oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

KSM yang memiliki ijazah kejuruteraan mekanikal sudah ditahan lebih satu dekad di penjara sulit CIA di Romania.

Selepas menerima permintaan pelik itu, pegawai CIA bertugas menelefon ibu pejabat dan ia diluluskan, kata seorang bekas pegawai kanan CIA. KSM dikenakan penderaan paling teruk oleh CIA dan sudah mengaku melakukan pelbagai jenayah.

Mungkin ke mahkamah

Agensi perisikan Amerika itu tiada rancangan jangka panjang terhadap KSM yang mungkin dihadapkan ke depan hakim suatu hari nanti.

Oleh itu, kata pegawai berkenaan, KSM perlu dipastikan tidak hilang kewarasannya.
Kami tidak mahu mereka jadi gila, kata bekas pegawai CIA itu yang tidak diberi kebenaran membincangkan hobi pelik KSM.

Apapun, menggunakan panduan internet, KSM mula mencipta antara perkakasan biasa rumah.

CIA selepas ini bakal memiliki pembersih hampagas paling sulit di dunia yang dihasilkan selepas KSM ditahan dan disiasat.

Sasar psikologi

Soal siasat CIA menyasarkan psikologi seseorang itu dan ia perlu diperbaiki selepas selesai perkara berkenaan.

CIA sehingga ini berjaya memastikan KSM tidak gila. Dia kelihatan sihat, menurut rekod tentera.

Orang lain tidak bernasib baik. Anggota al-Qaeda, Ramzi Binalshibh dan Abd al-Nashiri turut ditahan di Poland dan Romania dan mengalami masalah mental.
Al-Nashiri mengalami kemurungan dan tekanan selepas trauma, manakala Binalshibh dilaporkan menghidap skizofrenia.
AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Calon Ikhwan boleh sertai kerajaan Mesir

Kaherah: Perdana Menteri Mesir, Hazem al-Beblawi tidak menolak memberi jawatan kepada calon Ikhwanul Muslimin dalam kabinet baru selagi wakil daripada pergerakan itu benar-benar berkelayakan.

Beblawi yang dilantik kelmarin berkata, beliau masih mempertimbang anggota kerajaan sementara selepas presiden Mohamed Morsi digulingkan oleh tentera, minggu lalu.

Saya tidak ambil kira calon parti politik tertentu saja. Jika seseorang dinamakan dari Parti Keadilan dan Kebebasan (yang dinaungi Ikhwanul Muslimin), saya akan timbangkan jika beliau layak bagi jawatan itu, kata Beblawi dalam satu temubual telefon.

Ambil kira dua kriteria

Saya hanya ambil kira dua kriteria untuk kerajaan baru ini. Kecekapan dan kewibawaan orang berkenaan, katanya.

Setakat ini, saya belum temui sesiapa, kata Beblawi sambil menerangkan beliau mahu memutuskan calon terbaik sebelum menawarkan jawatan kepada mereka.

Media tempatan memetik pembantu presiden, Adli Mansour, sebagai berkata, bahawa Beblawi akan menawarkan beberapa jawatan kepada calon Ikhwanul Muslimin dalam kerajaan baru.
Tetapi, tawaran itu sudah ditolak oleh pergerakan berkenaan yang menuntut supaya Morsi memerintah semula.

Kami tidak akan berunding dengan perampas kuasa. Kami tolak semua langkah yang diambil selepas rampasan kuasa ini, kata jurucakap Ikhwanul Muslimin, Tareq al-Morsi.

Di Semenanjung Sinai, beberapa lelaki bersenjata menembak kereta panglima kanan tentera.

Cetus pertempuran

Ia mencetuskan pertempuran antara askar kerajaan dan golongan pengganas menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan maut, menurut kenyataan tentera.

Jurucakap Ikhwanul Muslimin, Ahmed Aref, mengecam serangan itu dan menggesa penentangan terhadap rampasan kuasa dilakukan secara aman.

Tentera kemudian menarik balik kenyataan dari laman web Facebook mengenai kejadian itu tanpa memberi penjelasan.
AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

RM24 bilion bantu Mesir

Written By Unknown on Kamis, 11 Juli 2013 | 16.40

Kaherah: Negara kaya di Teluk menjanjikan AS$8 bilion (RM24 bilion) untuk membantu pemimpin baru Mesir menstabilkan keadaan politik kurang seminggu selepas tentera menyingkirkan Presiden Mohamed Morsi.

Ia menyusuli pelantikan pakar ekonomi, Hazem el-Beblawi sebagai Perdana Menteri dan Mohamed ElBaradei sebagai timbalannya.

Mereka bersama dengan pemimpin tentera memberi amaran kepada puak politik tertentu supaya tidak mengganggu usaha mengadakan pilihan raya baru tahun depan.

Mesej itu menunjukkan sejauh mana kuatnya pemimpin tentera menggerakkan proses berkenaan meskipun pergerakan pembaharuan yang menyokong penyingkiran Morsi kini mengadu tidak diminta memberi pandangan mengenai dasar seterusnya.

Ikhwanul Muslimin mengutuk pelan peralihan kuasa itu dan berikrar teruskan protes hingga Morsi mendapat semula kuasa.

Tentera teruskan rancangan

Pelantikan el-Beblawi, bagaimanapun, menunjukkan tentera juga berusaha meneruskan rancangannya sekalipun mencetuskan kemarahan dengan pembunuhan lebih 50 penyokong Morsi, Isnin lalu.
Apapun, bantuan Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) memberi semangat kepada kepemimpinan baru Mesir.

Dua negara itu yang menentang Morsi dan Ikhwanul Muslimin menyambut kejatuhan pemimpin itu dengan menawarkan AS$8 bilion dalam bentuk geran, pinjaman dan bantuan gas serta minyak.

Berikutan itu, mereka menyekat sekutu Morsi, Qatar, sekutu Ikhwanul Muslimin daripada memberi bantuan kepada kerajaannya.

Ketika Morsi memerintah, beliau dan pegawainya mengunjungi beberapa negara untuk meminta bantuan kewangan bagi menyekat penurunan berterusan mata wang dan defisit tetapi diberi sambutan dingin.
AP


16.40 | 0 komentar | Read More

64 korban bah di China

Beijing: Sekurang-kurangnya 52 orang terbunuh disebabkan banjir di barat China yang disifatkan terburuk dalam tempoh 50 tahun di beberapa kawasan dan menjejaskan lebih setengah juta penduduk.

Banjir besar itu menyebabkan tanah runtuh yang menimbus 40 orang di satu kawasan meramalkan menyebabkan 12 lagi lemas di kawasan lain dan 12 pekerja lombong tertimbus apabila tempat kerja mereka runtuh.

Ia juga memusnah sebuah tugu peringatan mengenai kemusnahan besar akibat gempa bumi pada 2008.

Tidak diketahui sama ada 40 orang yang tertimbus itu sempat diselamatkan di bandar Dujiangyan tetapi anggota penyelamat bersama anjing pengesan sudah berada di sana, kata pegawai kepada Xinhua.

Lumpur runtuh dan banjir biasa melanda kawasan pergunungan China dan angka korban dilaporkan mencapai beratus-ratus orang setiap tahun.

Kawasan hutan berkurangan

Kawasan hutan yang semakin berkurangan juga menyebabkan hakisan berlaku lebih mudah dan menyebabkan tempat tertentu di China semakin biasa dilanda lumpur runtuh selepas hujan lebat.
Di daerah Beichuan, banjir memusnahkan beratus-ratus bangunan dan tugu peringatan gempa bumi lima tahun lalu.

Gempa itu menyebabkan 90,000 penduduk terbunuh atau hilang.

Bandar utamanya sudah lengang dan kawasan seluas 27 kilometer persegi dijadikan muzium dan tempat peringatan tragedi.

Jambatan runtuh

Banjir juga menjadi punca sebuah jambatan runtuh di daerah Panjiang yang berhampiran menyebabkan enam kenderaan dihanyutkan arus dan 12 orang hilang.

Sejak Ahad lalu, banjir di Sichuan menjejaskan 508,000 orang dan merosakkan atau memusnahkan 300 kediaman selain memaksa 6,100 perpindahan kecemasan membabitkan 36,800 orang, lapor media.

Tiga lagi jambatan turut runtuh kerana banjir di bandar Jiangyou dan Deyang,
Di Yunnan, banjir menjejaskan 28,600 orang dan meruntuhkan 5,280 kediaman. Pihak berkuasa menggantung sesi persekolahan di kawasan terbabit.
AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

PBB syor gencatan

Written By Unknown on Rabu, 10 Juli 2013 | 16.40

Damsyik: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menggesa semua pihak di Syria melakukan gencatan senjata sepanjang Ramadan.

"Saya meminta semua unit tentera dan Tentera Syria Merdeka (FSA), setiap orang yang mengangkat senjata supaya berhenti berperang dan memilih keamanan sebagai hadiah kepada rakyat Syria," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau membuat gesaan itu ketika laporan menyatakan mangsa yang cedera dalam pertempuran di tengah bandar Homs menunggu ajal kerana kekurangan peralatan perubatan.

"Pengeboman berterusan tentera sejak 11 hari lalu menjadikan situasi kemanusiaan di kawasan pemberontak di Homs bertambah buruk," kata pengarah Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman.

"Bilangan yang cedera di kalangan pemberontak dan orang awam sejak beberapa hari lalu tidak diketahui tetapi mereka menunggu maut kerana tiada peralatan perubatan untuk merawat mereka," tambahnya. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

BRN cuba kurang keganasan

Thailand setuju kenal pasti segera penyerang setiap serangan

Bangkok: Thailand menjangka keganasan di selatan Thailand akan berkurangan mulai hari ini selepas berunding dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Dalam rundingan sulit terbaru, BRN setuju dan berjanji mengurangkan keganasan, kata ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan (NSC), Paradorn Pattanathabutr, semalam.

Pengurangan kes keganasan setiap hari antara syarat dituntut perunding Thai dalam dialog dengan BRN, kata Paradorn.

Jika keganasan berlaku, siasatan perlu disegerakan dan siap dalam tempoh 48 jam untuk memastikan siapa bertanggungjawab.

Permulaan puasa

Paradorn juga merujuk kepada permulaan puasa di Thailand hari ini ketika menekankan pihak berkuasa akan berusaha sedaya upaya memastikan keamanan di rantau selatan.
Dalam keganasan terbaru kelmarin, lapan askar cedera dalam letupan bom ketika mengawal guru di daerah Mayo, Pattani.

Askar berkenaan yang dalam Infantri 15331 Taskforce Pattani 25 berada dalam trak melalui jalan Ban Rawo apabila letupan berlaku.

Bom seberat 30 kilogram itu dibungkus dalam silinder gas sebelum ditanam di jalan raya dan meletup apabila trak berkenaan lalu.

Bahagian depan trak

itu musnah. Askar yang cedera dikenali Sarjan Adipong Rakwong, Sarjan Tawat Polpiboon, Prebet Chanchai Ratchapol, Prebet Arthit Rathprapan, Prebet Ekasith Niamthaen, Prebet Noppadol Chaisiri, Prebet Areep Song-anong dan Prebet Tossapol Samnakpol. - AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Penggodam sasar Korea Selatan, AS

Written By Unknown on Selasa, 09 Juli 2013 | 16.40

Seoul: Penggodam yang menceroboh berpuluh ribu komputer Korea Selatan berulang kali tahun ini bukan hanya mampu merosakkan cakera keras tetapi juga cuba mencuri rahsia tentera Seoul dan Amerika Syarikat dengan menghantar pelbagai kod 'jahat' ke internet sejak bertahun-tahun lalu.

Identiti penggodam dan nilai maklumat yang mereka dapat tidak diketahui penyelidik Amerika Syarikat dan Korea Selatan yang membuat kajian terhadap setiap kod komputer berkenaan.

Tetapi, mereka tidak mempertikaikan dakwaan Korea Selatan bahawa Korea Utara bertanggungjawab, manakala pakar lain berkata hubungan penyerang kepada risikan tentera memperkuat tuduhan Seoul.

Penyelidik di Santa Clara, McAfee Labs di California berkata virus 'malware' direka untuk mencari dan memuat naik maklumat merujuk kepada tentera Amerika Syarikat di Korea Selatan, latihan bersama termasuk perkataan 'rahsia'.

Serangan secara berterusan

McAfee berkata, versi malware menjangkiti banyak laman web dalam serangan secara berterusan dipanggil sebagai 'Operation Troy' kerana kodnya dipenuhi dengan rujukan kepada bandaraya purba itu.

Pada 2009, virus malware masuk ke laman media sosial digunakan kakitangan tentera di Korea Selatan.
"Serangan ini lebih serius berbanding apa yang difahami sehingga kini dan ia bukan sekadar serangan, ia adalah risikan tentera," kata seorang penyelidik kanan ancaman di McAfee, Ryan Sherstobitoff.

Beliau menganalisis sampel kod rakan kongsi kerajaan Amerika Syarikat dan pelanggan persendirian.

McAfee menemui versi malware yang mencari kata kunci sejak 2009. Seorang penyelidik keselamatan siber Korea Selatan, Simon Choi menemui versi kod itu seawal 2007 dengan keupayaan pencarian kata kunci ditambah pada 2008.

Ia dibuat oleh orang yang sama melancarkan serangan siber di Korea Selatan sejak beberapa tahun sebelum ini, kata Choi.

Versi kod itu dipercayai masih cuba untuk mencuri rahsia tentera dari komputer yang dijangkiti virus.

Sherstobitoff berkata, kod cap jari yang sama ditemui dalam satu serangan 25 Jun, sempena ulang tahun bermulanya Perang Korea 1950-53 apabila laman web presiden dan perdana menteri Korea Selatan diserang. - AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Puasa hari ini, esok

Umat Islam seluruh dunia sambut Ramadan al-Mubarak

Makkah: Umat Islam di seluruh dunia akan mula menyambut Ramadan dan berpuasa mulai hari ini dan esok.

Di benua Amerika, penduduk Islam di 35 negara, 27 negara Afrika dan satu di Oceania mula berpuasa hari ini kerana anak bulan sudah dilihat.

Bagi umat Islam di 44 negara di Asia, 47 negara di Eropah, 27 lagi di Afrika dan 14 di Oceania akan mula menyambut Ramadan esok (Rabu), menurut laman web Makkah Calendar.

Planetarium Sharjah di Jabatan Kebudayaan dan Penerangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan, anak bulan Ramadan terbentuk pada jam 11.14 pagi semalam dan kelihatan pada jam 7.08 malam, lima minit sebelum matahari terbenam.

Anak bulan itu juga akan kelihatan pada 9 Julai petang. Justeru, hari pertama Ramadan jatuh pada 10 Julai dari segi astronomi, bersamaan dengan 1 Ramadan 1434 Hijrah.

Juga diumumkan bahawa anak bulan Syawal akan muncul pada 7 Ogos jam 12.51 pagi serta kelihatan ketika matahari terbenam, menjadikannya sukar untuk dilihat, sekali gus melengkapkan hari terakhir Ramadan sebanyak 30 hari.

Syawal dijangka 9 Ogos
Justeru, hari pertama Syawal atau Hari Raya Aidilfitri secara astronomi akan jatuh pada hari Jumaat 9 Ogos.

Penyelidik Astronomi dan Penyelia Planetarium Sharjah, Ibrahim Al Jarwan, berkata dua minggu awal Ramadan akan menyaksikan peningkatan suhu mencecah 46 darjah Celsius, diikuti angin kering berdebu.

Tarikh menyambut Ramadan juga berbeza untuk setiap negara.

Tarikh yang diberi juga berdasarkan tarikh diambil kira Majlis Fiqah Amerika Utara untuk sambutan Ramadan.

Bagaimanapun, ia berasaskan pengiraan astronomi dan bukan melihat anak bulan. Pendekatan itu diterima ramai, namun masih hangat diperdebatkan.

DI Jakarta, walaupun menjangka Ramadan jatuh pada 10 Julai, organisasi terbesar Islam Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU) mengesahkan bahawa penetapan rasmi masih menunggu kedudukan anak bulan, yang dilakukan semalam.

NU akan terus menggunakan kaedah pemerhatian rukyah untuk mengenal pasti bila Ramadan bermula untuk pengikutnya, kata ketua lembaga astronomi, A Ghazalie Masroeri.

Organisasi berkenaan menganggarkan 10 Julai sebagai tarikh ramalan awal Ramadan.
"Kriteria kaedah rukyah (yang berpusat pada kedudukan anak bulan) meramalkan, untuk tahun Islam 1434 permulaan Ramadan pada Rabu," kata Ghazalie.

Untuk membuat satu keputusan akhir, organisasi itu akan menjalankan pemerhatian akhir anak bulan dari 90 kawasan strategik di seluruh negara kepulauan ini, disokong 110 individu yang layak, bersama ulama dan pakar Islam lain. - AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Britain usir pendakwah radikal Jordan

Written By Unknown on Senin, 08 Juli 2013 | 16.40

London: Pendakwah radikal, Abu Qatada diusir awal semalam dari Britain ke Jordan untuk berdepan tuduhan keganasan.

Sebaik tiba di Amman, Jordan mengemukakan dakwaan terhadap Qatada yang dituduh merancang serangan terhadap warga Amerika, Israel dan rakyat Barat lain di negara itu.

Ia menamatkan usaha sedekad mengusir lelaki yang digambarkan sebagai perancang penting al-Qaeda di Eropah.

Britain, Jordan akui perjanjian

Tindakan itu dilakukan selepas Britain dan Jordan memperakui perjanjian berkaitan penyeksaan yang menangani kebimbangan hak asasi manusia, punca menghalang cubaan mengusir ulama Jordan kelahiran Palestin itu sebelum ini.

Setiausaha Dalam Negeri Britain, Theresa May, melahirkan keyakinan bahawa orang awam di United Kingdom mengalu-alukan tindakan itu.

"Lelaki berbahaya ini kini diusir dari negara kami untuk berdepan tuduhan di negaranya," kata May dalam satu kenyataan.
Pejabat Dalam Negeri kemudian menghantar gambar Abu Qatada menaiki tangga pesawat dalam Twitter.

Abu Qatada dikehendaki di Jordan untuk perbicaraan semula dalam beberapa kes keganasan.

Dia dijatuhkan hukuman tanpa hadir. Britain cuba mengusir Abu Qatada sejak 2001 atau nama sebenarnya Omar Mahmoud Mohammed Othman.

Namun, mahkamah menyekat ekstradisi berikutan bimbang mengenai bukti yang diperoleh menerusi seksaan mungkin digunakan membicarakannya.

Pulang ke Jordan secara sukarela

Selepas bertahun-tahun menentang cubaan mengusirnya, pendakwah berusia 53 tahun itu baru-baru ini menyatakan kesediaan secara sukarela pulang ke Jordan jika London dan Amman memperakui perjanjian berkaitan penyeksaan.

Perjanjian itu yang jelas melarang penggunaan bukti yang diperoleh menerusi seksaan atau layanan buruk, diiktiraf oleh Britain dan Jordan bulan lalu.

Ia memberi laluan untuk pengusiran seorang lelaki yang dianggap mahkamah Britain dan Sepanyol sebagai individu kanan al-Qaeda di Eropah dan mempunyai hubungan rapat dengan Osama bin Laden.

Abu Qatada dituduh Britain mempunyai kaitan dengan Zacarias Moussaoui, satu-satunya individu didakwa di Amerika Syarikat berhubung serangan pengganas 11 September 2001, dan pengebom kasut, Richard Reid. - AP


16.40 | 0 komentar | Read More

2 maut Boeing 777 terhempas

Pesawat Asiana Airlines milik Korea Selatan patah ekor ketika cuba mendarat

San Francisco: Sebuah pesawat Asiana Airlines Boeing 777 membawa 307 penumpang terhempas dan terbakar kelmarin ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco.

Dua terbunuh dan lebih 180 lagi cedera. Pesawat itu berlepas dari ibu kota Korea Selatan, Seoul.

Saksi berkata, ekor pesawat patah ketika cuba mendarat menyebabkan kapal terbang itu terhentak kuat sebelum berhenti.

Gambar yang diambil mangsa terselamat menunjukkan penumpang keluar daripada pesawat dan bergegas keluar dari kawasan dekat situ.

Asap tebal keluar daripada tempat mengisi minyak. Rakaman televisyen selepas itu menunjukkan pesawat yang rentung dan hitam dimamah api selain bumbungnya yang sudah tiada.

Tiada petanda segera mendedahkan sebab punca kemalangan dan pegawai persekutuan dalam perjalanan dari Washington ke situ untuk menyiasat.

Tetapi, seorang daripada mereka yang selamat berkata, juruterbang seperti cuba membawa naik pesawat sebelum ia terhempas.
Asiana Airlines berkata, penerbangan dari Shanghai itu membawa 291 penumpang dan 16 kru, kebanyakannya warga China, Korea dan Amerika.

Timbalan Ketua Bomba Dale Carnes berkata, dua orang yang maut dalam kejadian itu dan 49 dihantar ke hospital berdekatan kerana cedera parah.

Kemalangan pertama

Seramai 132 lagi dihantar ke beberapa hospital dengan kecederaan ringan.
Seorang pegawai kanan Asiana berkata, juruterbang ialah Lee Jeong-min, yang menghabiskan kerjaya dengan syarikat itu.

Dia adalah antara 4 juruterbang veteran syarikat penerbangan berkenaan. Ada dua juruterbang dalam perjalanan dari Seoul ke San Francisco selama 10 jam.

Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, Deborah Hersman, berkata pihaknya menghantar sekumpulan penyiasat ke San Francisco dan masih terlalu awal untuk menyatakan punca kemalangan.

Nahas itu juga kemalangan udara pertama membabitkan pesawat Boeing 777 yang popular sejak dipekenalkan pada 1995.

Ia juga kemalangan pesawat komersial pertama di Amerika sejak kapal terbang kendalian Colgan Air terhempas di New York pada 2009. - REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

Penyingkiran Morsi ranap impian Hamas

Written By Unknown on Minggu, 07 Juli 2013 | 16.40

Bandaraya Gaza: Penyingkiran presiden Islamis, Mohamed Morsi oleh tentera meranapkan impian pemerintah Gaza, pergerakan Hamas yang kini terpaksa membina hubungan dengan pemerintah terbaru Mesir, kata penganalisis.

Hamas yang bergabung dengan Ikhwanul Muslimin yang turut diwakili Morsi kehilangan sekutu berharga mereka berikutan penggulingan presiden Mesir selepas pilihan raya yang membawa beliau berkuasa pada Jun 2012.

"Apa yang berlaku di Mesir adalah satu mimpi ngeri bagi Hamas yang tidak dijangkakan," kata profesor sains politik, Muhkaimer Abu Saada dari universiti Al Azhar di Gaza.

Rabu lalu, tentera Mesir menggulingkan Morsi selepas setahun memerintah, beberapa hari selepas bantahan menentang beliau di Kaherah dan beberapa bandaraya lain.

Jalin hubungan baik

"Sejak tahun lalu, Hamas menjalinkan hubungan baik dengan Morsi dan Ikhwanul Muslimin di Mesir," kata Saada.

Ketua Hamas, Khaled Meshaal dan perdana menteri Gaza, Ismail Haniya kedua-duanya mengadakan satu siri mesyuarat dengan Morsi sejak tahun lalu, mewujudkan kerjasama rasmi antara kedua-dua kerajaan, katanya.
"Kerajaan baru Mesir tidak mempunyai hubungan baik dengan Hamas dan tidak lagi boleh bergantung kepada sokongannya apabila ia membabitkan Gaza," katanya.

Hamas jadi sasaran

Saada berkata, Hamas menjadi sasaran kempen di media Mesir, yang mendakwa ia campur tangan dalam hal ehwal dalaman Mesir sebelum dan selepas kebangkitan 2011 yang menggulingkan Hosni Mubarak.

Pada 23 Jun, sebuah mahkamah Mesir memutuskan Hamas dan pergerakan Hizbullah Lubnan terbabit dengan Ikhwanul Muslimin dalam memudahkan pelepasan tahanan termasuk Morsi, sewaktu kebangkitan anti Mubarak.

Selepas itu Morsi ditahan oleh tentera Mesir selepas ia mengumumkan beliau digulingkan Rabu lalu beberapa hari selepas bantahan jalanan besar-besaran, kata seorang pegawai tentera. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Barisan penentang baru di Mesir

Ansar al-Shariah sedia guna kekerasan untuk laksana udang-undang Islam

Riyadh: Sebuah pergerakan Islam, Ansar al-Shariah, mengumumkan pembentukan cawangan kumpulan mereka di Mesir dan menegaskan bahawa tindakan tentera menggulingkan Presiden Mohamed Mursi adalah perisytiharan perang ke atas agama Islam.

Pergerakan itu turut mengancam menggunakan kekerasan jika perlu bagi melaksanakan undang-undang Islam.

Dalam satu kenyataan internet kepada forum bagi militan Mesir di Sinai yang dirakamkan oleh Pertubuhan Pemantau SITE, Ansar al-Shariah berkata, mereka akan mengumpulkan senjata dan memulakan latihan dikalangan anggotanya.

Gabungan pemberontak

Ansar al-Shariah dibentuk ketika perang saudara di Libya dan semakin kukuh selepas kematian pemimpin negara itu Muammar Gaddafi.

Pergerakan itu adalah gabungan beberapa kumpulan pemberontak termasuk Briged Abu Obayda Bin Aljarah, Briged Malik, Briged 17 Februari dan banyak lagi.

Tindakan ketenteraan yang disokong oleh perhimpunan besar-besaran di seluruh Mesir mencetuskan kebimbangan bahawa puak Islam akan menggabungkan kumpulan yang diiktiraf secara rasmi seperti Ikhwanul Muslimin di bawah Mursi dan ia disifatkan lebih kepada pergerakan militan.
Pengusiran Mursi sudah mencetuskan keganasan. Sekurang-kurangnya 26 orang mati apabila kumpulan Islamis berarak di jalanan di Kaherah dan bandaraya lain pada Jumaat bagi menyuarakan kemarahan mereka dalam apa yang disifatkan mereka sebagai satu rampasan kuasa tentera.

Mursi dipilih sebagai presiden tahun lalu selepas satu revolusi popular yang menggulingkan pemimpin Hosni Mubarak.

Lantik pemimpin sementara

Tentera melantik seorang pemimpin sementara dan mengumumkan satu pelan peralihan yang tidak mempunyai jangka masa bagi pilihan raya.

Ia turut menahan anggota kanan Ikhwanul Muslimin dan menutup stesen televisyen puak Islam.

"Ansar al-Shariah dalam kenyataan mereka menyifatkan kuasa tentera, penutupan rangkaian televisyen dan kematian penunjuk perasaan Islamis semuanya adalah membawa kepada satu perisytiharan perang menentang Islam di Mesir," lapor SITE.

Kumpulan terbabit menyalahkan peristiwa berkenaan kepada sekularis, penyokong Mubarak dan Kristian Mesir, pasukan keselamatan negara dan komander tentera yang disifatkan mereka menyebabkan negara bertukar menjadi sebuah sekular perampas.

"Ia turut mengecam demokrasi dan berkata sebaliknya hanya undang-undang Islam atau syariah akan menang, beroleh senjata dan melatih penduduk Islam menentukan penyerang, mengekalkan agama dan kuasa syariah Tuhan," lapor SITE. - REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

Bekas ratu Malaysia bakal terima RM2.3 bilion

Written By Unknown on Sabtu, 06 Juli 2013 | 16.40

London: Seorang bekas ratu cantik Malaysia berpeluang untuk memperoleh pampasan cerai termahal di Britain sebanyak 500 juta (RM2.3 bilion) selepas berpisah dengan suaminya yang bertaraf jutawan.

Pauline Chai (gambar), 66, yang tinggal di bekas rumah mereka di kawasan seluas 404 hektar di Hertfordshire, menuntut separuh harta Khoo Kay Peng, antara ahli perniagaan terkaya Malaysia.

Kes mula didengar kelmarin di Mahkamah Tinggi di London. Khoo, 74, mahu kes itu dibicarakan di Malaysia.

Ini kerana di Britain beliau mungkin bertanggungjawab ke atas 50 peratus kekayaannya tetapi di negara kelahirannya, Khoo tidak perlu menyerahkan jumlah sebesar itu.

Peguam Khoo, Tim Bishop, memberitahu Mahkamah Tinggi jika kes terbabit diteruskan di Britain, ia akan meningkatkan reputasi negara itu sebagai ibu negara perceraian di dunia, lapor The Times.

Undang-undang memerlukan seseorang berada di negara itu sekurang-kurangnya enam bulan sebelum memfailkan petisyen cerai.

Bishop berkata, jika seseorang dibenarkan datang ke England selama tiga bulan, mengeluarkan petisyen palsu dan kemudian mengeluarkan petisyen kedua apabila berjaya.
Namun, peguam Chai, Richard Todd, berkata anak guamnya bertindak mengikut undang-undang.

Chai kini mahu memfailkan petisyen kedua menunjukkan beliau memenuhi kriteria itu melepasi keraguan.

Khoo, Pengerusi Malaysian United Industries, mempunyai harta di London, Kuala Lumpur dan Sydney.

Beliau turut mempunyai saham 40 peratus dalam Laura Ashley yang mencatat jualan 286 juta (RM1.3 juta) setahun, selain menjadi pengarah Corus Hotels Limited yang memiliki 10 hotel termasuk Hotel Corus Hyde Park.

Pasangan itu berkahwin pada 1970 dan mempunyai lima anak, membeli hartanah di Hertfordshire termasuk koleksi haiwan pelik dan dua tasik buatan bernilai kes 60,000 (RM285,000) setiap satu. - AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Gillard dikhianati parti, tak dihormati

Sydney: Wanita pertama menjadi Perdana Menteri Australia, Julia Gillard (gambar), menghadapi tipu daya anggota parti sendiri selain tidak langsung dihormati ketika memegang jawatan itu.

Sebuah kumpulan aktivis wanita Australia, Yayasan Wanita Victoria, mempertahankan kewibawaan Gillard menerusi beberapa iklan besar di akhbar utama, semalam.

Ia menegaskan, Gillard yang bujang serta berfahaman ateis, berdepan permusuhan bukan hanya daripada parti pembangkang tetapi juga anggota Parti Buruh pimpinannya selain dimusuhi media.

Sejak awal lagi, kerajaan diketuai Gillard dimusuhi pelbagai pihak di seluruh negara meskipun kerajaan minoriti pimpinannya sah dari segi undang-undang. Banyak pencapaiannya tidak diiktiraf, sebaliknya kesilapannya diperbesarkan, kata mereka.

Mereka berkata, dakwaan politik kotor yang membayangi Gillard memberi lesen kepada orang awam mengambil bahagian dalam kempen diskriminasi jantina dan prejudis, fitnah, berat sebelah, tidak menghormati pejabat Perdana Menteri dan dirinya sebagai seorang individu.

Pejuang hak wanita

Gillard dianggap pejuang hak wanita di seluruh dunia selepas ucapannya berhubung ketidakadilan jantina di Parlimen Oktober tahun lalu, walaupun beliau sendiri menjadi subjek ulasan tanpa henti.
Sepanduk dengan slogan seperti Ditch the Witch (Singkirkan Wanita itu) dibawa di perhimpunan politik.

Dalam minggu terakhir kepemimpinannya, menu untuk kutipan dana parti Liberal menampilkan hidangan burung puyuh Julia Gillard yang memiliki Payudara kecil, Peha Besar dan Kotak Merah Besar dengan lobak dan dadih).

Gillard yang digantikan sebagai pemimpin Buruh dan Perdana Menteri oleh Kevin Rudd, pemimpin yang disingkirkannya pada 2010, berkata jantinanya tidak menjelaskan segala-galanya sebagai perdana menteri, tetapi ia menjelaskan sesuatu.

Penghinaan agresif

Yayasan itu berpendapat, tempoh tiga tahun lalu sepatutnya memberi pengajaran mengenai penghinaan jantina secara agresif yang dihadapi setiap hari dan muncul ketika Julia Gillard menjadi Perdana Menteri.

Sikap sopan dan beradab hilang dalam tempoh tiga tahun lalu sebaliknya penuh dengan politik beracun dan kian kurang perasaan hormat terhadap pemimpin, kata mereka. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Rouhani gesa kerajaan, ulama henti campur tangan

Written By Unknown on Kamis, 04 Juli 2013 | 16.40

Tehran: Presiden Iran, Hassan Rouhani semalam menggesa kerajaan dan ulama untuk menghentikan campur tangan dalam kehidupan peribadi penduduk, memberi kebebasan akses internet dan media untuk lebih terbuka terhadap masalah yang berlaku di negara itu.

Komen Rouhani bermula dengan mesej beliau mengenai perubahan dalam negara dan hubungan lebih baik dengan luar yang membawa kepada kejutan terhadap kemenangan beliau dalam pilihan raya bulan lalu.

Kemenangannya mencetuskan sokongan mencurah-curah dari penduduk Iran yang dahagakan perubahan selepas lapan tahun berhadapan dengan sekatan keselamatan dan konfrontasi di bawah Presiden Mahmoud Ahamdinejad.

"Tidak sepatutnya ada sebarang perbalahan atau perpecahan antara kerajaan atau ulama terutama ketika di mana penduduk menunjukkan harapan mereka untuk melihat perubahan dalam masyarakat," kata Rouhani.

"Kita perlukan sebuah masyarakat yang kukuh, sebuah kerajaan yang kuat. Hari ini asas disediakan untuk penyertaan popular. Penduduk menunjukkan harapan untuk masa depan mereka," katanya dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen tempatan. - REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

Mursi, tentera Mesir rela mati

Presiden ikrar pertahan jawatan dipilih secara demokratik

Kaherah: Panglima tentera Mesir dan Presiden Mohamed Mursi masing-masing berikrar untuk mati demi perjuangan mereka ketika tarikh akhir semakin hampir kepada kemungkinan pengambil alihan kuasa tentera yang disokong penunjuk perasaan.

Ketua tentera yang berikrar untuk mengembalikan keamanan selepas tunjuk perasaan berikutan pemerintahan berteraskan Islam Morsi, mengeluarkan satu kenyataan bertajuk 'Saat Terakhir' menegaskan kesediaan untuk kembali berjuang.

Mereka juga mengaku bersedia untuk pertumpahan darah bagi menentang 'pengganas dan kebodohan' selepas Mursi enggan melepaskan jawatannya.

Sedia mati syahid

"Panglima tentera mengadakan satu mesyuarat krisis," kata satu sumber tentera, kurang lima jam sebelum kata dua tamat bagi Mursi sama ada bersetuju untuk berkongsi kuasa atau memberi laluan bagi satu penyelesaian tentera.

Sementara itu dalam satu ucapan penuh emosi menerusi televisyen pada tengah malam, Morsi berkata beliau dipilih secara demokratik dan perlu terus mempertahankan jawatannya bagi memenuhi perlembagaan.
""Harga mempertahankan kesahihan ini adalah nyawa saya," katanya.

Jurucakap rasmi pergerakan Ikhwanul Muslimin pula berkata penyokongnya bersedia untuk mati syahid demi mempertahankan Mursi.

"Hanya satu cara kita boleh lakukan, kita akan menjadi benteng antara kereta perisai dan presiden," kata jurucakap dan penasihat hal-ehwal luar Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad pada satu bantahan pergerakan itu di pinggir Kaherah yang menempatkan bangunan tentera dan berhampiran istana presiden.

"Kita tidak akan benarkan cita-cita dan hasrat rakyat Mesir dipermainkan angkatan tentera," katanya.

Akhbar kerajaan Al-Ahram meramalkan Mursi sama ada meletak jawatan atau dipaksa meninggalkan pejabatnya manakala tentera akan mewujudkan majlis presiden dengan tiga anggota yang akan dipengerusikan oleh ketua Mahkamah Perlembagaan.

Satu sumber tentera berkata beliau menjangkakan tentera akan memanggil tokoh politik, sosial dan ekonomi selain aktivis pemuda untuk berbincang bagi merangka masa depan negara itu. - REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

Sri Lanka haram TIME

Written By Unknown on Rabu, 03 Juli 2013 | 16.40

Colombo: Sri Lanka turut mengharamkan majalah Time isu 1 Julai kerana cerita muka depan mengenai sami militan yang disifatkan boleh menjejaskan sentimen agama di pulau itu.

Jurucakap jabatan kastam, Leslie Gamini berkata, isu yang memaparkan gambar foto sami Myanmar terkemuka dengan tajuk 'The Face of Buddhist Terror' akan diharamkan.

"Dengan pelaksanaan undang-undang majalah ini akan dirampas," kata Gamini.

"Kami tidak benarkan isu ini diedarkan di Sri Lanka kerana ia boleh menjejaskan sentimen agama penduduk."

Hubungan tegang

Sri Lanka dengan majoriti penduduk Buddha dilihat mempunyai hubungan tegang dengan masyarakat Islam dan minoriti lain yang semakin meningkat.

Ia adalah negara kedua mengharamkan edisi berkenaan selepas Myanmar. Versi online majalah itu masih didapati di Sri Lanka.
Ejen pengedaran tempatan, Emit International berkata, lebih 1,000 naskhah isu terbabit ditahan oleh kastam tetapi isu 8 Julai dilepaskan tanpa sebarang masalah.

"Kami diminta dapatkan kebenaran dari kementerian media tetapi sehingga kini tidak menerimanya," kata seorang pengurus di Emit.

"Sudah terlambat untuk edarkan isu ini (1 Julai) kepada pelanggan kami."

Ketegangan agama tercetus di Sri Lanka tahun ini selepas kumpulan Buddha radikal menolak sijil makanan halal yang dipantau oleh penduduk Islam.

Beberapa masjid dan perniagaan milik penduduk Islam juga menjadi sasaran kumpulan radik al yang kadang kala diketuai sami. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Thai jumpa pemisah bukan BRN

Bangkok perluas rundingan cari keamanan di selatan

Bangkok: Majlis Keselamatan Negara (NSC) mengadakan rundingan rahsia dengan kumpulan pemisah selain Barisan Revolusi Nasional (BRN) dalam usaha menamatkan keganasan di selatan Thailand, kata penasihat NSC, Charoon Ampa.

Meletakkan tanggungjawab ke atas pemisah lain yang berbeza cara pemikiran dan menggunakan keganasan sebagai cara mencapai matlamat, Charoon berkata, NSC sedia berunding dengan lebih banyak kumpulan kerana tidak semuanya bersetuju dengan BRN.

NSC turut mendapatkan pandangan agensi lain dalam kerajaan mengenai tujuh tuntutan utama BRN bagi membolehkan mereka memberi maklum balas sebaik Ramadan berakhir, katanya.

Beliau menambah, mustahil mengundurkan tentera dari wilayah itu kerana mereka ada di bumi Thailand.

Pun begitu, tentera menimbang menyerahkan kawasan 'selamat' kepada agensi tempatan supaya anggota tentera boleh kembali ke kem.

Lapan terkorban
Ketua NSC, Paradorn Pattanathabutr, berkata letupan Sabtu lalu di daerah Krong Pinang di Yala yang mengorbankan lapan askar dilakukan kumpulan serpihan yang tidak menyokong rundingan damai dengan BRN.

Timbalan Menteri Pertahanan, Jeneral Yutthasak Sasiprapha, berkata kerajaan akan membuat keputusan mengenai rundingan BRN sebaik Ramadan berakhir tetapi buat masa kini ia akan terus menggunakannya sebagai saluran untuk cuba mencapai keamanan.

Yutthasak berkata, tiga kumpulan beroperasi di wilayah itu; satu menyokong rundingan damai; kumpulan lain dengan kekuatan 2,000 anggota menentang usaha itu manakala satu lagi memantau keadaan. - AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Rudd pilih 6 wanita

Written By Unknown on Selasa, 02 Juli 2013 | 16.40

Canberra: Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd, memilih enam wanita dalam Kabinet, bilangan paling ramai dalam sejarah politik negara itu ketika beliau menjadikan ekonomi sebagai fokus utama menjelang pilihan raya tidak lama lagi.

Parti Buruh kini mendapat nafas baru selepas Rudd menggantikan Julia Gillard apabila tinjauan menunjukkan sokongan meningkat kepada mereka.

Saya gembira kerana Kabinet kita mengandungi bilangan wanita paling ramai dalam sejarah Australia, kata Rudd.

Senator Victoria, Jacinta Collins dilantik Menteri Kesihatan Mental, Catherine King menjadi Menteri Wilayah dan Julie Collins memegang portfolio perumahan, wanita dan gelandangan.

Mereka menyertai Menteri Kewangan, Penny Wong, Menteri Kesihatan, Tanya Plibersek dan Menteri Keluarga, Jenny Macklin dalam Kabinet 20 anggota.

Ahli perundangan Australia Barat, Melissa Parke dilantik sebagai Menteri Pertama bagi Pembangunan Antarabangsa, jawatan bukan Kabinet.

Rudd berkata, pelantikan itu adalah berdasarkan kelayakan pemegangnya dan bukan disebabkan jantina mereka.
Tugas utama kerajaan baru ialah memastikan ekonomi terus kuat, katanya.

Lantik Muslim pertama pegang jawatan

Turut mencipta sejarah ialah pelantikan Edham Nurredin Husic sebagai Setiausaha Parlimen, Muslim pertama memegang jawatan kanan kerajaan.

Penyokong kuat Rudd, Husic menggantikan Andrew Leigh yang menyokong Gillard.

Tinjauan pendapat menunjukkan Parti Buruh merapati sokongan pembangkang selepas menerima 49 peratus sokongan manakala lawan mereka, 51 peratus, lapor Galaxy.

Selain itu, menurut tinjauan membabitkan 1,002 orang pengundi itu, 51 peratus daripada mereka percaya Rudd lebih baik sebagai Perdana Menteri berbanding Tony Abbott (34 peratus).

Lima belas peratus responden lagi belum membuat pilihan.

AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Mesir makin tegang

Kaherah: Mesir terus tegang semalam selepas jutaan penunjuk perasaan membanjiri jalan raya menuntut Presiden Mohamed Mursi meletak jawatan dan militan bertindak membakar ibu pejabat Ikhwanul Muslimin.

Lima maut ketika penunjuk perasaan memenuhi jalan raya seluruh Mesir mendesak Mursi berundur, dalam bantahan yang menyamai kebangkitan rakyat pada 2011.

Generasi muda bersatu dengan parti liberal dan pembangkang berhaluan kiri dalam tentangan hebat pada ulang tahun pertama Morsi sebagai presiden kelmarin, melaungkan rakyat menuntut kejatuhan rejim. Demonstrasi, yang mengumpulkan setengah juta rakyat di Dataran Tahrir di Kaherah dan jumlah sama di Iskandariah, adalah terbesar sejak kebangkitan rakyat yang menumbangkan pemerintahan Hosni Mubarak pada 2011.

Mursi beri penjelasan

Mursi, pemimpin yang dipilih secara bebas pertama di negara paling ramai penduduk itu, tidak kelihatan tetapi menjelaskan menerusi jurucakap yang beliau ada melakukan kesilapan sambil menambah sedang berusaha memperbaikinya dan terbuka untuk mengadakan dialog. Beliau juga tidak menunjukkan tanda meletak jawatan.

Bantahan besar-besaran itu menunjukkan Ikhwanul Muslimin bukan saja meminggirkan puak liberal dan sekular dengan berusaha menegakkan pemerintahan Islam tetapi juga menaikkan kemarahan jutaan penduduk biasa Mesir dengan salah urus ekonomi.
Pelancongan dan pelaburan merudum, inflasi semakin menjadi-jadi, bekalan minyak berkurangan manakala pemotongan bekalan elektrik dipanjangkan pada musim panas.
Puluhan militan menyerang ibu pejabat Ikhwanul Muslimin di Kaherah dengan senapang patah, bom petrol dan batu, membakarnya.

Tiada polis atau bomba memberi perlindungan kepada ibu pejabat parti itu, manakala saksi berkata, pengawal di bangunan menembak penyerang. Dua maut dan 11 cedera dalam pertempuran itu, kata sumber hospital.

Penganjur bantahan menggesa rakyat terus menawan dataran di seluruh negara dalam kempen aman bantahan secara aman sehingga Mursi berundur.

Berpuluh ribu penunjuk perasaan berada di Dataran Tahrir selepas tengah malam, meneruskan bantahan

Tentera menonjolkan sikap berkecuali menunjukkan isyarat muhibah kepada penunjuk perasaan selepas menggesa ahli politik bekerjasama menyelesaikan masalah negara.

Beberapa polis berarak dalam kalangan penunjuk perasaan di Kaherah dan Iskandariah, melaungkan polis dan rakyat adalah satu dan beberapa pegawai kanan memberi ucapan.
REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

Dunia rela Mandela 'pergi'

Written By Unknown on Senin, 01 Juli 2013 | 16.40

Johanesburg: Penduduk seluruh dunia bersatu dengan penuh rasa hormat dan bersedia merelakan pemergian ikon dan bekas presiden Afrika Selatan Nelson Mandela yang masih dirawat di sebuah hospital di Pretoria.

Persediaan dilakukan dalam pelbagai bentuk termasuk upacara doa, memasang gambar dan lilin, tajuk berita selain video di YouTube.

Ketika tokoh lagenda berusia 94 tahun itu masih menerima rawatan di hospital, kebanyakan penduduk di seluruh dunia berkongsi senario peribadi mereka.

Tiada sesiapa di dunia sekarang setanding Mandela, seorang tokoh yang dikagumi seluruh dunia yang mendapat pelbagai penghormatan termasuk Pingat Kebebasan Presiden Amerika Syarikat dan Perintah Lenin dari Kesatuan Soviet.

Dunia masih menunggu untuk memberi penghormatan kepada lelaki yang membuktikan kuasa perpaduan dan pengampunan, kata seorang profesor sosiologi di Kolej Meredith, North Carolina, Lori Brown.

Penantian menyiksakan

Adalah tidak mustahil untuk menghormati beliau ketika hayatnya tetapi pengebumian besar-besaran, fokus media terhadap seluruh hidupnya, penyiaran klip video ucapan beliau, bacaan tulisannya, semua ini kami sifatkan sebagai upacara perpisahan, katanya.
Kematian beliau dibenarkan bukan saja bagi seluruh dunia meratapinya tetapi sambutan global bagi kehidupan beliau, katanya.

Dunia akan memiliki memori beliau, sementara ketika ini kesakitan beliau dan kehidupan lebih bersendirian dan dimiliki keluarganya.

Namun ramai yang masih tidak percaya bahawa pengakhiran semakin hampir dan enggan bercakap mengenainya.

Mereka mengukur penghormatan bagi kehidupan menentang keinginan bagi membebaskan orang yang disayangi daripadanya.

Penantian sebenarnya sesuatu yang menyiksakan, kata seorang profesor psikologi di Universiti Otterbein di Ohio, Robert Kraft yang juga penulis buku mengenai Afrika Selatan.
AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Mesir terus bergolak

Kaherah: Beribu-ribu orang berkumpul di ibu negara Mesir semalam untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi menggulingkan Presiden Mohammed Morsi manakala penyokong beliau berikrar mempertahankan pemerintahannya.

Penentang presiden beramai-ramai berhimpun di luar Dataran Tahrir di Kaherah di mana khemah didirikan kain rentang dengan slogan anti-Morsi digantung di beberapa kawasan.

Penunjuk perasaan berhimpun di luar istana presiden, berhampiran kejiranan di mana beribu-ribu penyokong Morsi berikrar untuk mengadakan tunjuk perasaan balas mempertahankan presiden mereka.

Demonstrasi merebak

Demonstrasi anti-Morsi juga dijangka merebak di kebanyakan bandar-bandar wilayah.

Polis dan tentera dikerah mengawal bangunan utama di sekitar negara itu, kata pihak berkuasa tempatan manakala kementerian kesihatan berkata hospital turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Seorang pegawai keselamatan kanan berkata, Terusan Suez, laluan utama menghubungkan Mediterranean dengan Laut Merah turut diletakkan dalam kawalan keselamatan maksimum.
Kaherah sepi luar biasa

Jalanan di Kaherah menjadi sepi luar biasa semalam, hari pertama minggu bekerja di Mesir, di mana bank dan kebanyakan pejabat ditutup menjelang ketika penentang Morsi berjanji untuk mengadakan satu revolusi kedua.

Penyokong Morsi bagaimanapun berkata kebanyakan cabaran yang dihadapi beliau diwarisi dari rejim sebelumnya yang dilanda rasuah dan beliau sepatutnya dibenarkan untuk menamatkan penggalnya sehingga ia berakhir pada 2016.

Pertahan Morsi

Mereka juga berazam mempertahankan pemerintahannya.

Kami tidak akan membenarkan rampasan kuasa presiden dilakukan, kata pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin Mohamed al-Beltagui pada satu perhimpunan di Kaherah semalam.

Pergerakan akar umbi, Tamarod, dikatakan di belakang kempen yang mengumpulkan berjuta-juta tandatangan untuk satu petisyen menuntut peletakan jawatan Morsi dan pilihan raya baru diadakan.

Poster yang mengajak penduduk menyertai bantahan terhadap pemerintah mereka turut digantung di seluruh Kaherah, tembok dan dilekat pada cermin kenderaan selain grafiti 30 Jun.

Minggu sebelum perhimpunan berlangsung sudah menyaksikan lapan orang terbunuh termasuk seorang rakyat Amerika Syarikat dan berpuluh yang lain cedera ketika penunjuk perasaan kedua pihak berarak di jalanan.

Morsi, sebelum ini pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin, adalah presiden pertama Mesir yang dipilih secara bebas, selepas kebangkitan 2011 yang menamatkan pemerintahan tiga dekad Hosni Mubarak.
AFP


16.40 | 0 komentar | Read More
techieblogger.com Techie Blogger Techie Blogger