DHAKA: Polis Bangladesh menyuraikan bantahan oleh berpuluh ribu penyokong gerakan Islam dan menutup stesen televisyen golongan itu semalam apabila 36 maut dalam keganasan jalanan terburuk dalam masa beberapa dekad kerana bantahan terhadap blog menggalakkan penduduk bebas keluar agama.
Kami terpaksa bertindak selepas mereka terus berkumpul secara haram di Motijheel. Mereka serang kami dengan kayu, batu, batang besi dan buluh" Masudur Rahman, Jurucakap polis Dhaka
Berpuluh-puluh penunjuk perasaan juga ditangkap, manakala pemimpin bantahan dibawa menggunakan pesawat ke bandar raya kedua negara itu, Chittagong.
Tuntut hukuman mati
Bantahan dicetuskan pemimpin Hefajat-e-Islam, Allama Shah Ahmad Shafi, yang dikatakan berusia sekitar 90 tahun. Kumpulan itu menuntut hukuman mati terhadap sesiapa yang menghina Islam dan memberi amaran akan melancarkan kempen menjatuhkan kerajaan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.
Polis berjaya memujuk Shafi semalam supaya meninggalkan madrasahnya di Dhaka, mengiringi beliau ke lapangan terbang dan diterbangkan ke Chittagong.
"Kami terpaksa bertindak selepas mereka terus berkumpul secara haram di Motijheel. Mereka serang kami dengan kayu, batu, batang besi dan buluh," kata jurucakap polis Dhaka, Masudur Rahman.
Kedai dan kenderaan dibakar manakala batu berselerakan di jalan raya selepas dibaling penunjuk perasaan ke arah polis, kata saksi. Polis berkata, mereka menggunakan bom bunyi, meriam air, gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan sekurang-kurangnya 150,000 hingga 200,000 penunjuk perasaan Islam yang berkumpul di Motijheel sebagai sebahagian usaha mendesak undang-undang menghina Islam diluluskan.
"Satu isu, satu tuntutan: Golongan tak percaya tuhan mesti dihukum gantung," jerit penunjuk perasaan itu yang berarak di sekurang-kurangnya enam lebuh raya dan menghadang laluan di antara Dhaka dan bandar lain.
Penunjuk perasaan bersurai awal semalam, tambahnya. Inspektor polis di Hospital Kolej Perubatan Dhaka, Mozammel Haq, berkata 11 mayat dibawa ke klinik itu, termasuk seorang anggota polis yang ditetak di kepala dengan parang.
Keseluruhannya 25 orang terbunuh dalam bantahan, menurut kiraan yang dikumpul melalui sumber polis dan pegawai perubatan. Ia termasuk lapan yang maut di daerah Kanchpur di pinggir Dhaka, kata sumber.
Berbalas tembakan
Keganasan juga berlaku di Hathazari, bandar di luar Chittagong, yang menyaksikan empat maut selepas beberapa penyokong undang-undang Islam bertempur dengan polis dan pengawal sempadan, kata ketua polis tempatan, Liaqot Ali.
Sekurang-kurangnya dua terbunuh di daerah persisiran pantai selatan Bagerhat, lokasi polis berbalas tembakan dengan penunjuk perasaan, kata jurucakap polis, Shah Alam.
Dua stesen televisyen pro golongan Islam yang menyiarkan rakaman serbuan di kawasan perniagaan Motijheel terpaksa membatalkan liputan kejadian, kata wartawan di rangkaian itu.
Tayangan dihentikan di Diganta Television dan Islamic TV apabila berpuluh anggota polis berpakaian biasa menyerbu pejabat mereka. Keganasan meletus tengah hari kelmarin selepas polis cuba memecahkan halangan penunjuk perasaan di lebuh raya menuju ke Dhaka
Ramai pekerja bank dan peniaga pasaran saham terpaksa tidur di dalam pejabat ketika bunyi tembakan bergema di Motijheel sepanjang malam. - AFP
Anda sedang membaca artikel tentang
36 terbunuh aktivis agama, polis bertempur
Dengan url
http://duniadidunia.blogspot.com/2013/05/36-terbunuh-aktivis-agama-polis.html
Anda boleh menyebar luaskannya atau mengcopy paste-nya
36 terbunuh aktivis agama, polis bertempur
namun jangan lupa untuk meletakkan link
36 terbunuh aktivis agama, polis bertempur
sebagai sumbernya
0 komentar:
Posting Komentar