Diberdayakan oleh Blogger.

Popular Posts Today

Laman web pejabat Yingluck diserang

Written By Unknown on Kamis, 09 Mei 2013 | 16.40

Perdana Menteri Thailand dihina penggodam

Bangkok: Penggodam menyusup masuk ke dalam laman web pejabat Perdana Menteri Thailand semalam, menghantar ulasan menghina dalam serangan terbaru ke atas dirinya.

Perkataan 'Saya pelacur dungu' muncul seketika bersama gambar Yingluck yang tersenyum diikuti oleh 'Saya tahu saya adalah Perdana Menteri paling teruk dalam sejarah Thailand!!!'.

Ia ditandatangani oleh 'Pasukan Penggodam Unlimited'.

Penjenayah diberi amaran

Kerajaan segera menutup laman web berkenaan dan memberi amaran penjenayah berdepan hukuman keras jika ditangkap.

"Ia mungkin dilakukan sesetengah remaja atau mungkin tujuan politik," kata ketua setiausaha perdana menteri, Suranand Vejjajiva.

"Menggodam laman web adalah mudah, namun jangan lupa bahawa untuk memeriksa siapa yang melakukannya juga tidak sukar," katanya kepada media.
"Jika kami menemui mereka, mereka akan didakwa mengikut akta jenayah komputer," katanya merujuk kepada undang-undang perbalahan yang mana kumpulan hak asasi mengatakan ia kadang kala digunakan untuk menghalang tentangan online.

Insiden itu berlaku beberapa hari selepas Yingluck memfailkan satu kes fitnah ke atas seorang kartunis kerana didakwa membandingkannya dengan seorang pelacur dalam ruangan Facebooknya.

Chai Rachawat, seorang kartunis dengan akhbar harian terkenal, menghantar gambar Yingluck dengan tulisan.. 'seorang pelacur bukan seorang yang jahat, pelacur hanya menjual tubuhnya. Namun seorang wanita jahat menjual negara.' - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

9 maut kapal langgar menara

Mangsa tercampak ke laut, terperangkap dalam lif

Rome: Sekurang-kurangnya sembilan orang dikhuatiri terbunuh selepas sebuah kapal kargo Jolly Nero melanggar menara kawalan hingga tumbang ke pelabuhan Genoa, Itali, kata pegawai penyelamat semalam.

Kira-kira 15 orang berada di dalam menara terbabit ketika ia dilanggar, menyebabkan mangsa tercampak ke dalam air dan terperangkap di dalam sebuah lif di menara kawalan itu.

Kemalangan berlaku ketika penduduk Itali masih trauma dengan kejadian kapal Costa Concordia yang karam pada waktu malam di pulau Giglio pada Januari 2012 menyebabkan sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh.

Seorang mangsa dikenal pasti sebagai Daniele Frantantonio, 30, yang bekerja di pusat operasi pengawal pantai, manakala mangsa yang lain masih belum dikenal pasti.

Pelabuhan paling sibuk

Pasukan penyelamat menyelam ke kawasan perairan di sekitar pelabuhan paling sibuk di Itali itu dan masih mencari enam hingga tujuh orang yang dipercayai hilang selepas kemalangan, di mana sekurang-kurangnya empat mangsa dilaporkan cedera parah.

Anjing pengesan yang dilatih untuk mencari mangsa di zon gempa bumi juga digunakan bagi mengesan mereka yang terperangkap dalam runtuhan terbabit.
Bilangan sebenar mangsa yang hilang tidak dapat dikenal pasti disebabkan kemalangan pada jam 11 malam itu berlaku ketika pertukaran syif di menara yang condong sehingga 45 darjah sebelum ia runtuh sebahagiannya.

Jurucakap bomba di tempat kejadian, Luca Cari, memberitahu Associated Press (AP) bahawa mayat keempat ditemui di kawasan lif dan usaha menyelamat masih diteruskan.

Sehingga pagi semalam, apa yang tinggal hanyalah tangga luar menara kawalan terbabit yang condong ke tepi. Menara itu sendiri terkeluar dari pelabuhan, sama ada di dalam air atau dalam timbunan runtuhan.

Seorang doktor, Andrea Furgani, yang juga anggota pasukan penyelamat berkata krew pada awalnya membawa empat mangsa cedera ke hospital di Genoa.

"Keadaan mereka kritikal. Mereka mengalami kecederaan akibat daripada ditindan, patah tulang dan cedera pada bahagian dada," katanya kepada AP.

Kapal Jolly Nero adalah milik syarikat perkapalan Itali, Ignazio Messina & C. SpA.

Berdasarkan laman webnya, Messina Line yang berpejabat di Genoa, memiliki 14 kapal kargo dengan kapal Jolly Nero berukuran 239 meter panjang dan 30 meter lebar.

Agensi berita ANSA memetik pegawai syarikat itu, Stefano Messina, berkata bahawa kejadian seperti ini tidak pernah berlaku kepada syarikat itu yang diasaskan pada 1921. - AP/AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

4 lagi maut virus H7N9

Written By Unknown on Rabu, 08 Mei 2013 | 16.40

Beijing: Angka kematian akibat wabak selsema burung H7N9 di China meningkat kepada 31, kata angka rasmi dengan empat lagi penduduk mati akibat virus itu di wilayah timur China.

Bilangan penduduk yang terjejas juga meningkat kepada 129, kata statistik rasmi, meningkat sejak Khamis lalu.

Empat kematian terbaru itu termasuk dua dari wilayah Jiangsu dan satu dari Zhejiang dan Anhui, kata angka dari Suruhanjaya Perancangan Keluarga dan Kesihatan China yang dikeluarkan lewat kelmarin. - AFP
16.40 | 0 komentar | Read More

Demam pilihan raya Iran bermula, dijangka sengit

Calon tanding atas faktor setia, marah kepada Ahmadinejad

Tehran: Pihak berkuasa Iran membuka proses pendaftaran semalam bagi calon pilihan raya presiden bulan depan bagi menggantikan Presiden Mahmoud Ahmadinejad dan memberikan ujian kritikal kepada golongan pembaharuan yang sekian lama ditindas.

Pemimpin pergerakan pembaharuan empat tahun lalu kini dikenakan tahanan dalam rumah dan kumpulan liberal berdepan tekanan tidak henti sejak kekacauan besar membantah pemilihan semula Ahmadinejad pada 2009.

Antara yang dijangka termasuk dalam senarai akhir ialah penasihat kanan Khamenei, Ali Akbar Velayati; Datuk Bandar Tehran, Mohammad Bagher Qalibaf, bekas panglima tentera, Mohsen Rezaei dan bekas perunding nuklear, Hasan Rowhani, yang secara rasmi mendaftarkan pencalonannya dalam beberapa jam pertama ketika proses itu berlangsung semalam.


Kemungkinan tokoh propembaharuan popular seperti bekas Presiden Mohammad Khatami akan cuba mendapatkan tempat pada pilihan raya 14 Jun ini.

Ia memberikan pilihan pembangkang dan kumpulan liberal memulaukan pilihan raya atau ketinggalan di belakang salah seorang calon disahkan ulama, yang akan memeriksa semua calon yang menyerahkan nama mereka dalam tempoh lima hari pendaftaran.

Cuma segelintir calon dijangka diluluskan apabila senarai akhir didedahkan lewat bulan ini oleh Majlis Penjaga, kumpulan yang menyelia pilihan raya.

Calon setia
Ia hampir pasti dipenuhi calon yang dianggap setia kepada pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang marah dengan cabaran kepada kekuasaannya oleh Ahmadinejad dan sekutu presiden itu.


Antara yang dijangka termasuk dalam senarai akhir ialah penasihat kanan Khamenei, Ali Akbar Velayati; Datuk Bandar Tehran, Mohammad Bagher Qalibaf, bekas panglima tentera, Mohsen Rezaei dan bekas perunding nuklear, Hasan Rowhani, yang secara rasmi mendaftarkan pencalonannya dalam beberapa jam pertama ketika proses itu berlangsung semalam.

Rowhani ketika ditemui wartan berkata beliau mahu kerajaan yang lebih cekap dan dapat berunding dengan Barat bagi mengurangkan sekatan ke atas eksport minyak Iran.

"Saya juga mahu mengembalikan isu nuklear Iran ke landasan asalnya melalui hubungan lebih baik dengan Agensi Tenaga Aton Atom Antarabangsa," katanya.

Ulama mahu menamatkan pertelagahan politik dalaman yang dibuka Ahmadinejad dan lebih penyelarasan dengan presiden dalam strategi mengenai rundingan nuklear dan usaha berdepan sekatan antarabangsa berhubung program nuklear Iran.

Dasar utama

Semua dasar utama dibuat oleh teokrasi dan kumpulannya, termasuk Pengawal Revolusi yang berpengaruh.

Namun presiden adalah wajah antarabangsa negara dan bertanggungjawab di atas peningkatan sektor penting, seperti ekonomi negara itu yang menjunam. Kebanyakan calon mahu menjauhi gaya keras Ahmadinejad dan mahu mengurangkan ketegangan dengan Barat dan sekutunya.

Namun semuanya menyokong kemampuan Iran untuk mengekalkan program nuklear, termasuk penguraian uranium.

Amerika dan sekutu bimbang Iran akan membangunkan senjata nuklear tetapi Tehran menegaskan ia cuma mahu membina reaktor bagi kuasa dan penyelidikan perubatan. - AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Thailand belum ada pendirian tuntutan BRN

Written By Unknown on Selasa, 07 Mei 2013 | 16.40

Bangkok: Kerajaan Thailand belum membuat keputusan terhadap lima tuntutan pemisah selatan, Barisan Revolusi Nasional (BRN), kata Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan (NSC), Paradorn Pattanatabut.

Dalam keganasan terbaru di Narathiwat, dia askar maut dan tiga lagi cedera parah kerana letupan sebutir bom tepi jalan di Tambon Taloh, daerah Reu Soh.

Paradorn berkata, hasil tinjauan Dusit dan maklum balas penduduk kepada Pusat Pentadbiran Wilayah Selatan (SBPAC), akan dibentangkan perunding Thai apabila rundingan dengan BRN disambung pada 13 Jun depan.

Kami perlu siasat lima tuntutan BRN itu untuk memastikan sama ada ia adalah pandangan penduduk atau pelampau" Paradorn Pattanatabut, Setiausaha Agung NSC


"Kami perlu siasat lima tuntutan BRN itu untuk memastikan sama ada ia adalah pandangan penduduk atau pelampau," katanya.

Lima tuntutan

Lima tuntutan itu ialah supaya Malaysia menjadi pengantara dan bukan penyelaras; kehadiran wakil Melayu Pattani pimpinan BRN dalam rundingan; anggota ASEAN, OIC dan wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan perlu menjadi saksi rundingan; bebaskan semua suspek serta tarik balik atau mansuh semua waran tangkap tanpa syarat dan BRN mesti dirujuk sebagai kumpulan pejuang.

Paradorn berharap, kedua-dua pihak dapat mencari jalan tengah untuk menyelesaikan permasalahan mereka terutama dalam isu kumpulan pemisah.
Beliau juga menekankan, pentadbiran Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak akan terus membantu Bangkok dalam dialog dengan BRN apabila Barisan Nasional menang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Paradorn juga menolak khabar angin bahawa bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra menemui pemisah dan pemimpin agama di selatan Thai bagi membantu usaha Bangkok.

Katanya, khabar angin itu disebarkan mereka yang menentang dialog kerana mereka tahu mudah untuk memperlekeh kemajuan rundingan jika dialog itu dikaitkan dengan pembabitan Thaksin. - AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

36 terbunuh aktivis agama, polis bertempur

200,000 tuntut undang-undang sekat murtad diluluskan di Bangladesh

DHAKA: Polis Bangladesh menyuraikan bantahan oleh berpuluh ribu penyokong gerakan Islam dan menutup stesen televisyen golongan itu semalam apabila 36 maut dalam keganasan jalanan terburuk dalam masa beberapa dekad kerana bantahan terhadap blog menggalakkan penduduk bebas keluar agama.

Beratus-ratus lagi cedera dalam pertempuran berterusan ketika polis pencegah rusuhan menyuraikan perhimpunan berhampiran daerah komersial dalam serbuan sebelum subuh di Dhaka.

Kami terpaksa bertindak selepas mereka terus berkumpul secara haram di Motijheel. Mereka serang kami dengan kayu, batu, batang besi dan buluh" Masudur Rahman, Jurucakap polis Dhaka


Berpuluh-puluh penunjuk perasaan juga ditangkap, manakala pemimpin bantahan dibawa menggunakan pesawat ke bandar raya kedua negara itu, Chittagong.

Tuntut hukuman mati

Bantahan dicetuskan pemimpin Hefajat-e-Islam, Allama Shah Ahmad Shafi, yang dikatakan berusia sekitar 90 tahun. Kumpulan itu menuntut hukuman mati terhadap sesiapa yang menghina Islam dan memberi amaran akan melancarkan kempen menjatuhkan kerajaan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Polis berjaya memujuk Shafi semalam supaya meninggalkan madrasahnya di Dhaka, mengiringi beliau ke lapangan terbang dan diterbangkan ke Chittagong.
"Kami terpaksa bertindak selepas mereka terus berkumpul secara haram di Motijheel. Mereka serang kami dengan kayu, batu, batang besi dan buluh," kata jurucakap polis Dhaka, Masudur Rahman.

Kedai dan kenderaan dibakar manakala batu berselerakan di jalan raya selepas dibaling penunjuk perasaan ke arah polis, kata saksi. Polis berkata, mereka menggunakan bom bunyi, meriam air, gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan sekurang-kurangnya 150,000 hingga 200,000 penunjuk perasaan Islam yang berkumpul di Motijheel sebagai sebahagian usaha mendesak undang-undang menghina Islam diluluskan.

"Satu isu, satu tuntutan: Golongan tak percaya tuhan mesti dihukum gantung," jerit penunjuk perasaan itu yang berarak di sekurang-kurangnya enam lebuh raya dan menghadang laluan di antara Dhaka dan bandar lain.

Penunjuk perasaan bersurai awal semalam, tambahnya. Inspektor polis di Hospital Kolej Perubatan Dhaka, Mozammel Haq, berkata 11 mayat dibawa ke klinik itu, termasuk seorang anggota polis yang ditetak di kepala dengan parang.

Keseluruhannya 25 orang terbunuh dalam bantahan, menurut kiraan yang dikumpul melalui sumber polis dan pegawai perubatan. Ia termasuk lapan yang maut di daerah Kanchpur di pinggir Dhaka, kata sumber.

Berbalas tembakan

Keganasan juga berlaku di Hathazari, bandar di luar Chittagong, yang menyaksikan empat maut selepas beberapa penyokong undang-undang Islam bertempur dengan polis dan pengawal sempadan, kata ketua polis tempatan, Liaqot Ali.
Sekurang-kurangnya dua terbunuh di daerah persisiran pantai selatan Bagerhat, lokasi polis berbalas tembakan dengan penunjuk perasaan, kata jurucakap polis, Shah Alam.

Dua stesen televisyen pro golongan Islam yang menyiarkan rakaman serbuan di kawasan perniagaan Motijheel terpaksa membatalkan liputan kejadian, kata wartawan di rangkaian itu.

Tayangan dihentikan di Diganta Television dan Islamic TV apabila berpuluh anggota polis berpakaian biasa menyerbu pejabat mereka. Keganasan meletus tengah hari kelmarin selepas polis cuba memecahkan halangan penunjuk perasaan di lebuh raya menuju ke Dhaka

Ramai pekerja bank dan peniaga pasaran saham terpaksa tidur di dalam pejabat ketika bunyi tembakan bergema di Motijheel sepanjang malam. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Pengebom rempuh konvoi menteri

Written By Unknown on Senin, 06 Mei 2013 | 16.40

MOGADISHU: Lapan warga Somalia maut selepas seorang penyerang bunuh diri memandu kereta penuh bom merempuh konvoi kenderaan delegasi Qatar di tengah ibu negara itu, semalam.

Saksi berkata, letupan yang berlaku menggegarkan persimpangan jalan sesak 'Kilometre 4' di tengah Mogadishu, pusat pentadbiran dan komersial.

Beberapa tembakan dilepaskan pengawal keselamatan sejurus selepas letupan berlaku bertujuan menyekat orang ramai berkumpul.

"Letupan bom kereta menyasarkan delegasi Qatar. Mereka selamat," kata seorang pegawai keselamatan, Hassan Osman.

Pergerakan al Shabaab mengaku ia bertanggungjawab dan mengancam melakukan lebih banyak serangan ke atas kerajaan Somalia yang digelarnya 'boneka kerajaan Barat.'

"Lebih banyak letupan akan berlaku," kata jurucakap pasukan bersenjata al Shabaab, Sheikh Abdiasis Abu Musab.

Kumpulan itu sering melancarkan serangan ala gerila sejak tentera kerajaan dan pengaman mengusirnya dari kawasan bandar.
Serangan terbaru mengingatkan semula kepada perang saudara selama dua dekad di negara itu yang banyak bergantung kepada 17,600 anggota pengaman Kesatuan Afrika (AU).

Selain itu, meskipun kawalan dan tahap keselamatan semakin baik dengan kehadiran pengaman AU yang mengusir al Shabaab pada 2011, serangan berkenaan menunjukkan militan masih mampu menyerang.

Ada beberapa jalan raya utama ke Mogadishu ditutup minggu lalu selepas pegawai keselamatan menerima maklumat kemungkinan serangan berlaku. Tetapi, laluan berkenaan dibuka semula Sabtu lalu.

Status pasukan keselamatan Somalia adalah agenda utama satu persidangan di London esok. - REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

Penduduk tolak tuntutan BRN

Peguam Negara Thai dedah sebab keganasan berlarutan di selatan

BANGKOK: Majoriti penduduk selatan Thailand semalam menolak lima tuntutan Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang berunding dengan wakil Bangkok untuk mencari penyelesaian rantau berkenaan.

Keputusan itu disiarkan ketika Peguam Negara mendedahkan, tak banyak tuntutan membabitkan kawasan selatan berakhir dengan hukuman.

Tinjauan itu dijalankan antara 2 hingga 4 Mei lalu membabitkan 542 responden di tiga wilayah sempadan selatan di Narathiwat, Pattani dan Yala serta wilayah selatan di Songkhla.

Daripada jumlah itu, 65.18 peratus mendapati agak sukar untuk menerima tuntutan BRN ke atas pihak berkuasa Thailand kerana mereka percaya pemisah tidak ada hak membuat tuntutan.

Responden berkata, tuntutan BRN tidak sesuai dan melanggar undang-undang.
Lima tuntutan itu ialah supaya Malaysia menjadi pengantara, bukan penyelaras; kehadiran wakil Melayu Pattani pimpinan BRN dalam rundingan; anggota ASEAN, OIC dan wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan perlu menjadi saksi rundingan; bebaskan semua suspek serta tarik balik atau mansuh semua waran tangkap tanpa syarat dan BRN mesti dirujuk sebagai kumpulan pejuang bukan pemisah.
Sementara itu, 40.05 peratus lagi mahu kerajaan ikhlas menyelesaikan pergolakan di selatan dan memeterai perdamaian secepat mungkin.

Sementara itu, kajian Pejabat Peguam Negara (OAG) mendedahkan, daripada 907 kes keselamatan dalam tempoh sembilan tahun sejak keganasan meledak di Selatan, hanya 31 kes berjaya diputuskan Mahkamah Tinggi.

Kajian mengenai pendakwaan kes keselamatan di empat wilayah sempadan selatan, dijalankan Penolong Kampus Institut Teknologi Selatan Rajamangala, Profesor Weerasak Tullyaporn dan pasukannya didedahkan dalam satu majlis dipengerusikan Peguam Negara Julasing Wasansing.

Acara itu diadakan untuk memberi garis panduan kerja kepada pendakwa raya di rantau selatan.

Kajian mendapati, antara 2004 dan Julai 2012, ada 7,918 kes keselamatan di selatan Thai.

Daripada jumlah itu, 4,686 kes dihantar ke pejabat pendakwa raya awam wilayah tetapi hanya 1,394 daripadanya dihantar bersama suspek.

Keseluruhannya, proses pendakwaan hanya membabitkan 907 kes.

Mahkamah Rendah menjatuhkan hukuman ke atas defendan untuk semua dakwaan difailkan dalam 206 kes, menghukum defendan dalam sesetengah tuduhan dalam 108 kes dan membebaskan defendan dalam 439 kes, sementara 154 kes masih dibicarakan di mahkamah.

Mahkamah Rayuan menyerahkan keputusan dalam 187 kes sementara Mahkamah Tinggi memutuskan dalam 31 kes (mengekalkan keputusan mahkamah rayuan dalam 18 kes, membebaskan dua kes, mengeluarkan keputusan berbeza dalam dua kes, mengubah hukuman dalam tujuh kes dan menolak dua kes) menurut kajian.

Julasing berkata OAG, dengan bantuan Yayasan Asia, mendapati isu penting kes keselamatan negara adalah kekurangan saksi. - AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

PM Thailand fail saman fitnah terhadap kartunis

Written By Unknown on Minggu, 05 Mei 2013 | 16.40

Bangkok: Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra (gambar), semalam memfailkan saman fitnah terhadap kartunis Thai Rath, Chai Rachawat kerana menyamakan beliau dengan pelacur.

Peguam beliau turut memfailkan satu aduan kepada polis terhadap kartunis yang sama di Balai Polis Dusit.

Mereka mengemukakan tiga tuduhan terhadap Chai iaitu menghina seorang pegawai ketika satu majlis rasmi, memfitnah seseorang melalui publisiti dan melanggar Akta Jenayah Berkaitan Komputer yang melarang menyiarkan komen fitnah terhadap pihak lain di internet.

Kritikan yang mengatakan Perdana Menteri Thailand lebih teruk berbanding pelacur benar-benar tidak wajar" Suranan Vejjajiva, Ketua Setiausaha PM Thailand


Kali pertama saman

Ini adalah kali pertama Perdana Menteri Thailand menyaman seseorang kerana menyiarkan pandangan di media sosial.

Chai atau nama sebenarnya Somchai Katanyutanan, mengirimkan gambar Yingluck menyampaikan satu ceramah di Mongolia dengan keterangan gambar: "Tolong faham pelacur bukan wanita jahat. Pelacur hanya menjual tubuh tetapi ada seorang wanita jahat cuba menjual negaranya."

Ketika memberi ucapan pada Persidangan Menteri Ke-7 mengenai Demokrasi Antarabangsa, Yingluck mengutuk rampasan kuasa 2006 dan mengecam pertubuhan sukarela di Thailand. - AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Pengebom Boston belum dikebumi

Tiada pihak benar kawasan jadi tempat pengebumian Tamerlan Tsarnaev

Boston: Suspek pengebom Maraton Boston, Tamerlan Tsarnaev, belum dikebumi selepas ditembak mati 19 April lalu.

Pengarah rumah mayat yang memikul tanggungjawab berkata, belum ada pihak membenarkan kawasan mereka menjadi tempat pengebumian lelaki berusia 26 tahun itu.

Mayat Tamerlan dibenar untuk dikebumikan oleh pegawai perubatan negeri, Khamis lalu.

Penunjuk perasaan bantah

Tamerlan dibawa ke rumah mayat North Attleborough, disambut dengan bantahan 20 penunjuk perasaan.

Mayatnya kemudian dihantar ke rumah mayat Graham Putnam dan Mahoney Funeral Parlors yang menyediakan pengebumian cara Islam.
"Masalah saya ialah mencari tempat pengbumian. Ramai tidak mahu beri izin kerana tidak mahu terbabit.

"Saya kerap menyebut kes Lee Harvey Oswald (penyerang Presiden John Kennedy), Timothy McVeigh (pengebom Oklahoma) dan Ted Bundy (pembunuh bersiri). Mesti ada pihak mengebumikan mereka," kata pemilik Graham Putnam dan Mahoney Funeral Parlors, Peter Stefan.

Sijil kematian Tamerlan mencatatkan detik kematiannya pada 1:35 pagi, empat hari selepas pengeboman itu.

Tamerlan maut selepas pihak berkuasa melancarkan operasi besar-besaran memburunya dan adiknya, Dzhokhar. Mereka yang berketurunan Chechnya, datang ke Amerika satu dekad lalu.

Stefan berkata, keluarga Tsarnaev menghubunginya kerana beliau ada pengalaman dalam pengebumian mengikut cara Islam.

Enggan dedah lokasi

Beliau enggan memberitahu lokasi tapak pengebumian Tamerlan dan hanya menyatakan harapan untuk mengubah fikiran pegawai tapak perkuburan itu supaya membenarkan majlis pengebumian dijalankan. - AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Lombong emas Darfur runtuh

Written By Unknown on Sabtu, 04 Mei 2013 | 16.40

Khartoum: Media Sudan memetik seorang pegawai di Darfur Utara sebagai berkata bahawa sebuah lombong emas runtuh di wilayah itu dengan 60 pelombong dikhuatiri terperangkap.

Cubaan untuk menghubungi pegawai terbabit kelmarin bagi mengesahkan kejadian di kawasan terpencil di Saraf Umra gagal.

Kawasan itu, selatan ibu kota wilayah Darfur Utara, menyaksikan keganasan puak awal tahun ini berhubung hak melombong. AP
16.40 | 0 komentar | Read More

Pendakwa utama Pakistan dibunuh

Chaudhry Zulfikar maut ditembak ketika memandu ke mahkamah

Islamabad: Kumpulan lelaki bersenjata menembak mati pendakwa utama Pakistan Chaudhry Zulfikar yang menyiasat pembunuhan bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto ketika beliau memandu ke mahkamah di ibu kota negara itu semalam.

Zulfikar mengendalikan beberapa kes kontroversi, termasuk pembunuhan Bhutto pada 2007 di mana Musharraf dituduh terbabit. Beliau juga mendakwa militan yang dikaitkan dengan serangan ganas 2008 di Mumbai.

Beliau sedang dalam perjalanan ke mahkamah di Islamabad apabila penyerang melepaskan tembakan ke arahnya dari sebuah teksi" Mohammed Ishaq, Pegawai polis


Kematian beliau menyebabkan pengendalian kes yang turut membabitkan bekas Presiden Pervez Musharraf kucar-kacir.

"Beliau sedang dalam perjalanan ke mahkamah di Islamabad apabila penyerang melepaskan tembakan ke arahnya dari sebuah teksi. Tembakan mengenai kepala, bahu dan dadanya," kata pegawai polis, Mohammed Ishaq.

Wanita turut maut terlanggar

Seorang lagi pegawai polis Mohammed Rafiq berkata tembakan itu menyebabkan Zulfikar tidak dapat mengawal keretanya lalu melanggar seorang wanita dan membunuhnya.
Beliau berkata pengawal Zulfikar, Farman Ali, membalas tembakan dan dipercayai mencederakan sekurang-kurangnya seorang penyerang.

Penyerang melarikan diri selepas membunuh Zulfikar dan usaha memburu besar-besaran dilancarkan untuk mencari mereka.

Motif pembunuhan tidak diketahui, tetapi pembabitan Zulfikar dalam dua kes berprofil tinggi berkemungkinan akan diteliti rapi.

Musharraf dituduh terbabit

Pendakwa kerajaan menuduh Musharraf terbabit dalam pembunuhan Bhutto dan tidak memberikan perlindungan mencukupi kepada Perdana Menteri wanita pertama Pakistan itu. Musharraf, yang berkuasa ketika kejadian itu, menafikan dakwaan itu. Ketika serangan, beliau menyalahkan pembunuhan itu ke atas Taliban Pakistan.

Kes Bhutto berlanjutan selama bertahun-tahun dalam sistem mahkamah Pakistan. Sebilangan yang didakwa penyerang dibicarakan tetapi tiada siapa disabitkan. Kes berkenaan menjadi tajuk utama apabila Musharraf kembali Mac lalu selepas empat tahun hidup dalam buangan.

Zulfikar juga adalah pendakwa utama dalam kes mengaitkan serangan pengganas 2008 di Mumbai yang mengorbankan 166 orang. Serangan dipersalahkan ke atas kumpulan berpangkalan di Pakistan, Lashkar-e-Taiba.

Pakistan membicarakan tujuh orang atas dakwaan membantu serangan di Mumbai tetapi tidak banyak kemajuan. India mengkritik Pakistan kerana tidak melakukan banyak usaha menghapuskan militan yang dipersalahkan di atas serangan itu.

Ketua kumpulan Hafis masih bebas

Ketua kumpulan itu, Hafiz Saeed, masih bebas dan ramai percaya beliau dilindungi kerajaan. Lashkar-e-Taiba diasaskan beberapa tahun lalu dengan bantuan perisikan Pakistan untuk menekan India berhubung wilayah Kashmir yang menjadi rebutan.

Musharraf kembali ke Pakistan untuk melakukan kemunculan semula di sebalik ancaman maut Taliban dan kes undang-undang terhadapnya. Namun malang terus menghantui sejak beliau tiba di negara itu. - AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Arab Saudi tahan rakyat Australia

Written By Unknown on Jumat, 03 Mei 2013 | 16.40

SYDNEY: Seorang rakyat Australia ditahan atas dakwaan berkaitan keganasan di Arab Saudi, kata Menteri Luar, Bob Carr.

Shayden Thorne, 25 ditahan di sebuah penjara di luar Riyadh hampir 18 bulan lalu.

Ia berikutan sebuah komputer riba dipinjam daripada sebuah masjid didapati ada bahan berunsur keganasan di dalamnya.

"Kami tahu, ia disebabkan kesalahan berkaitan keganasan tetapi kami hanya dimaklumkan setakat itu saja," kata jurucakap Carr yang menggesa penyelesaian segera kepada kes terbabit.

"Kami mahu ia diselesaikan dengan lebih cepat. Ia sudah terlalu lama," katanya pada satu sidang media, sambil menambah 50 wakil dilantik untuk mewakili Thorne kepada pihak berkuasa Arab Saudi.

"Saya tidak mahu ulas beliau bersalah atau tidak, kita tidak boleh lakukannya, tetapi kita boleh mewakili beliau," kata menteri terbabit.

Beliau bagaimanapun berkata: "Anda bergantung kepada undang-undang di negara mana anda berada. Shayden memilih untuk tinggal di sana selama 12 tahun dan undang-undang Arab Saudi adalah berhak ke atas beliau atau sesiapa saja dalam kedudukannya." - AP


16.40 | 0 komentar | Read More

15 tahun kerja berat

Pyongyang hukum rakyat AS mahu guling pemerintah

SEOUL: Seorang rakyat Amerika Syarikat yang ditahan hampir enam bulan di Korea Utara dihukum kerja berat 15 tahun selepas didapati bersalah melakukan tindakan menggugat negara itu.

Kenneth Bae juga dituduh mahu menggulingkan kerajaan Korea Utara, perkembangan yang merumitkan lagi hubungan tegang di antara Pyongyang dan Washington.

Hukuman ke atas Bae, penganut Kristian dan pengusaha pelancongan, muncul di tengah tanda diplomasi mungkin diadakan selepas beberapa minggu ketegangan meningkat di rantau itu sejak beberapa minggu lalu.

Korea Utara memberi amaran melancarkan perang nuklear dan serangan peluru berpandu, sebagai maklum balas terhadap sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana pelancaran roket jarak jauh Disember lalu dan satu ujian nuklear Februari lalu, selain latihan ketenteraan antara AS-Korea Selatan di sini.

Penganalisis berkata, Pyongyang mungkin menggunakan Bae untuk tawar menawar ketika menuntut dialog diadakan di Washington.

Ia bukan kali pertama seorang rakyat Amerika ditahan dan dihukum kerja berat ketika satu pertikaian nuklear.

Pada 2009, selepas Pyongyang melancarkan satu roket jarak jauh dan ujian nuklear kedua bawah tanah disusuli hukuman penjara terhadap dua wartawan Amerika dihukum penjara 12 tahun kerja berat selepas menyeberangi sempadan dari China.
Mereka kemudian diberi pengampunan atas alasan kemanusiaan dan dibebaskan kepada bekas Presiden Amerika Bill Clinton yang terbang ke Pyongyang atas misi menyelamat.

Clinton juga bertemu pemimpin ketika itu Kim Jong Il, yang memberi laluan untuk rundingan.

Perbicaraan Bae atas tuduhan "melakukan tindakan permusuhan" ke atas tempat di Korea Utara dalam Mahkamah Tinggi Selasa lalu, lapor Agensi Berita Tengah Korea (KCNA).

Dia ditahan awal November lalu di Rason, zon khas ekonomi di rantau jauh timur laut Korea Utara bersempadan China dan Russia. Tuduhan sebenar ke atas Bae tidak didedahkan.

Rakan dan rakan sekerja mengatakan Bae yang tinggal di Washington, berpusat di bandar sempadan China di Dalian dan kerap berkunjung ke Korea Utara untuk memberi bantuan makanan kepada anak yatim.

Media tempatan merujuk Bae sebagai Pae Jun Ho, ejaan nama Korea di Korea Utara. - AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Rakyat Indonesia tolak homoseks

Written By Unknown on Kamis, 02 Mei 2013 | 16.40

Pew Forum dapati 90 peratus berpendapat gugur janin satu kesalahan moral

Jakarta: Kira-kira 80 peratus rakyat Indonesia menolak homoseks dan hubungan seks di luar perkahwinan yang sah, lapor satu kajian terbaru.

Pusat penyelidikan bebas beribu pejabat di Washington, Pew Forum, yang menjalankan penyelidikan itu mendapati, tiga per empat atau 90 peratus lagi berpendapat perbuatan menggugurkan janin adalah satu kesalahan moral, manakala 74 peratus menyokong wanita menutup aurat.

Sebahagian besar rakyat Indonesia juga menolak serangan bom bunuh diri.

Bagaimanapun, kira-kira 40 peratus daripada mereka menyokong perjuangan rakyat Palestin, 39 peratus menyokong Afghanistan, 29 peratus di Mesir dan 26 peratus lagi di Bangladesh.

Peraturan Islam

"Majoriti rakyat negara itu mahukan sistem peraturan Islam dijadikan undang-undang rasmi di Indonesia, namun berbeza pendapat mengenai fasal yang boleh digunakan dan siapa yang tertakluk kepadanya," kata kajian berkenaan.

Pakar sains politik Universiti Princeton, Amaney Jamal, yang juga penasihat projek kajian itu, berkata umat Islam di negara miskin dan tertindas biasanya mengenali syariah sebagai nilai asas Islam yang memberikan hak sama rata dan keadilan sosial kepada seluruh manusia.
"Di dalam kelompok masyarakat seperti ini, sokongan kepada undang-undang Islam agak ketara. Bagaimanapun mereka biasanya memberi pandangan berbeza di dalam beberapa aspek perundangan itu sendiri dan kebanyakannya berpendapat ia tidak perlu dikuatkuasakan kepada bukan Islam.

"Sebagai contoh wujud pandangan berbeza bagi hukuman seperti potong tangan kepada pencuri dan hukuman bunuh kepada mereka yang murtad, walaupun lebih 90 peratus umat Islam di Asia Selatan menyatakan ia sebagai wajar," katanya.

Garis panduan Islam

Amaney berkata, berbeza dengan undang-undang Barat, peraturan syariah pada dasarnya adalah garis panduan akhlak berasaskan al-Quran, hadis dan tradisi Islam meliputi semua aspek kehidupan daripada solat hingga kepada kebersihan diri.

Beliau berkata, kajian mendapati majoriti umat Islam di Asia Barat, Afrika Utara, Asia Selatan dan Asia Tenggara, mahu mahkamah syariah membuat keputusan membabitkan isu keluarga seperti perceraian dan perebutan harta.

"Seramai 38,000 umat Islam di 39 negara terbabit dalam kaji selidik itu berkata, orang bukan Islam di negara mereka bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing dan ini adalah satu perkembangan yang baik," katanya. - REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

Sambutan Hari Pekerja jadi ganas

Protes tuntut hak buruh cetus ketegangan di Eropah, Asia

Athens: Kekacauan dan pertempuran meletus semalam antara polis dan penunjuk perasaan yang mengadakan perarakan sempena Hari Pekerja di Eropah dan Asia.

Perkhidmatan kereta api dan feri terhenti manakala hospital tidak dapat memberi perkhidmatan selepas kakitangannya melakukan mogok di Greece.

Guna meriam air

Di Istanbul, polis pencegah rusuhan melepaskan meriam air dan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan di tengah kota itu.

Beribu-ribu anggota polis berkawal di seluruh bandar bagi menyekat akses ke Dataran Taksim selepas penunjuk perasaan berhimpun di beberapa lokasi sebelum menyerbu sekatan anggota keselamatan.

Beribu-ribu lagi berarak di Sepanyol bagi membantah dasar kerajaan memperketat perbelanjaan.
Dua badan sekerja terbesar, CCOO dan UGT menggesa pekerja dan golongan penganggur menyertai 80 tunjuk perasaan di seluruh negara itu ketika kadar pengangguran semasa 27 peratus.
Ketika menulis dalam akhbar kewangan, El Economista, Setiausaha Agung CCOO, Igancio Fernandez Toxo mengkritik kerajaan yang dituduhnya tidak bertanggungjawab kerana membiarkan kadar pengangguran begitu tinggi - 6 juta.

Sementara itu, beribu-ribu pekerja bergaji rendah menyertai perarakan Hari Pekerja di Jakarta bagi menuntut kenaikan gaji, faedah pekerjaan dan keadaan sekitaran kerja lebih baik.

Buruh di Kemboja, Filipina, Singapura, Bangladesh, Taiwan dan Korea Selatan juga keluar beramai-ramai mendesak supaya hak pekerja dihormati.

8,000 berarak di Manila

Seramai 8,000 orang berarak di Manila sambil menuntut kenaikan gaji dan kerja tetap sambil menolak kontrak kerja sementara selain mendesak harga makanan dan barangan keperluan diturunkan.

Selain itu, 3,000 orang menyertai bantahan di Singapura bagi mendesak kerajaan peka kepada kadar pendapatan tidak seimbang, gaji menteri terlalu tinggi dan kehadiran ramai pekerja asing.

Beribu-ribu lagi pekerja turut melakukan bantahan di Hong Kong termasuk pekerja dermaga yang melakukan mogok lebih sebulan.

Mereka mendesak diberi kenaikan gaji selepas kadar upah beberapa kali dipotong beberapa tahun lalu.

Sementara itu, beribu-ribu lagi anggota lebih 30 kesatuan sekerja berarak di Taipei meminta hak mereka dilindungi. - Agensi


16.40 | 0 komentar | Read More

Mesir tarik diri rundingan nuklear

Written By Unknown on Rabu, 01 Mei 2013 | 16.40

Geneva: Mesir kelmarin bertindak menarik diri daripada rundingan nuklear global sebagai bantahan, berkata negara lain tidak bertindak cepat untuk menjadikan Asia Barat sebagai zon bebas senjata nuklear.

Kenyataan Kementerian Luar Mesir berkata, negara itu menamatkan pembabitannya dalam rundingan dua minggu di Geneva kerana kecewa berikutan zon itu belum ditubuhkan. Rundingan berlangsung sepanjang minggu. - AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Rayu pakar senjata kimia masuki Syria

Setiausaha Agung PBB pandang serius laporan perisikan Amerika

New York: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, kelmarin merayu Syria sekali lagi membenarkan pakar memasuki negara itu dengan segera dan tanpa syarat bagi menyiasat dakwaan penggunaan senjata kimia, berkata ini adalah saat penting meletakkan pasukan itu di negara berkenaan.

Ban memberitahu wartawan beliau memandang serius laporan perisikan Amerika yang menyatakan Syria menggunakan senjata kimia dua kali dan berkata siasatan kukuh dan menyeluruh memerlukan kebenaran kepada semua kawasan dakwaan dibuat.

Siasatan meluas

Syria mahu semua siasatan terhad kepada kejadian berhampiran Aleppo Mac lalu tetapi Ban mahu siasatan lebih meluas, termasuk kejadian Disember lalu di Homs.

Ban membuat rayuan kemasukan itu dengan berdiri di sebelah pakar senjata kimia Sweden, Ake Sellstrom, bekas pemeriksa senjata kimia PBB di Iraq yang mengetuai pasukan itu, sebelum mereka bertemu secara sulit. Beliau memuji Sellstrom dan pasukannya kerana integriti dan bebas serta profesional.

Jurucakap PBB, Martin Nesirky, berkata Ban dan Sellstrom membincangkan langkah yang diambil setakat ini dalam mengumpulkan maklumat daripada pelbagai sumber. Katanya, mereka bersetuju siasatan mesti dilakukan bagi menentukan sama ada senjata kimia digunakan.

Terdahulu, Ban menegaskan kepada wartawan aktiviti di kawasan berkenaan amat penting jika PBB boleh menunjukkan fakta dan menjelaskan semua keraguan mengenai isu terbabit.

Beliau berkata, 29 April adalah Hari Memperingati Semua Mangsa Senjata Kimia.

"Bagi menangani semua dakwaan itu, saya menggalakkan semua yang terbabit memikul tanggungjawab untuk membolehkan kami mengawasi dengan sempurna senjata pemusnah besar-besaran yang amat berbahaya ini," katanya.

Dalam mesej sempena hari itu, Ban berkata dakwaan penggunaan berleluasa senjata menjijikkan ini di Syria bertindak sebagai peringatan kepentingan berterusan Konvensyen Senjata Kimia. - AP


16.40 | 0 komentar | Read More
techieblogger.com Techie Blogger Techie Blogger