Barack Obama berjanji tidak akan mensia-siakan kepercayaan diberikan kepadanya selepas dipilih semula sebagai Presiden Amerika Syarikat untuk tempoh empat tahun lagi dengan mengalahkan calon Republikan, Mitt Romney.
"Saya kembali ke Rumah Putih dengan semangat lebih tinggi... dengan lebih inspirasi daripada sebelum ini," katanya.
Obama diisytihar sebagai pemenang dan Presiden bagi penggal kedua selepas melepasi angka keramat 270 undi Kolej Pemilih sebelum diumum memenangi 303 undi manakala Romney hanya mendapat 206.
Pada masa sama, jika dibandingkan persaingan 2008 menghadapi John McCain, kemenangan Obama menurun kerana beliau meraih 365 undi Kolej Pemilih manakala pencabarnya, 173.
Pun begitu, kemenangan ini tidak diduga kerana sehingga petang Selasa lalu, tinjauan meramalkan persaingan sengit dengan kebanyakannya hanya meletakkan perbezaan sokongan mereka hanya satu hingga tiga peratus mata.
Sebaik berita kemenangan diketahui, pusat konvensyen yang penuh sesak meledak dengan sorakan nama Obama sambil bendera Amerika berkibar.
Penyokong parti Demokrat di seluruh Amerika turut mengadakan sambutan di bandar dan ibu negeri masing-masing dengan membanjiri jalan raya dan membunyikan hon kenderaan.
Dalam ucapan ringkas Romney di hadapan penyokongnya di Boston, Massachusetts, beliau mengaku kalah dan mengucapkan tahniah kepada Obama.
"Saya hubungi Presiden Obama sebentar tadi untuk mengucapkan tahniah atas pemilihannya semula," katanya mengingatkan rakyat Amerika bahawa negara itu berada dalam era kritikal dan berdepan pelbagai cabaran.
"Kita mesti bersatu dan bangkit untuk menghadapinya. Utamakan kesejahteraan rakyat daripada politik. Saya menawarkan diri sebagai calon kerana saya ambil berat masa depan Amerika," katanya.
Kemenangan Obama dibantu kejayaannya menguasai lapan daripada sembilan 'swing states' (negeri yang tidak memihak mana-mana calon), termasuk Ohio yang menjadi tumpuan seluruh Amerika sejak beberapa bulan lalu.
Tujuh negeri lain dimenanginya ialah Virginia, Florida, New Hampshire, Colarado, Wisconsin, Iowa dan Nevada, manakala Romney hanya menang di Carolina Utara.
Sokongan di 41 negeri lain dan Washington DC terhadap parti yang mana sudah diketahui umum lama sebelum pilihan raya.
Sebagai contoh, California adalah kubu Demokrat, manakala Texas pula Republikan.
Presiden Amerika dipilih berdasarkan 538 undi Kolej Pemilih daripada 50 negeri dan Washington DC.
Jumlah undi Kolej Pemilih setiap negeri diputuskan mengikut jumlah penduduk. Sebagai contoh, California memiliki 55 undi manakala Washington DC hanya tiga.
Calon yang mendapat majoriti mudah iaitu 270 undi Kolej Pemilih diisytiharkan menang. Calon yang mendapat majoriti undi popular tidak semestinya menjadi presiden.
Ini berlaku pada pemilihan 2000 apabila calon Demokrat, Al Gore mendapat undi popular lebih tinggi tetapi kalah kepada George W Bush yang mendapat majoriti undi Kolej Pemilih.
Obama dalam ucapannya turut berkata beliau akan berbincang dengan Romney bagaimana mereka boleh bekerjasama demi negara, untuk bergerak ke depan.
Beliau juga memberitahu penyokong Romney: "Saya dengar kamu... saya jadi presiden lebih baik kerana kamu."
Obama berkata, agenda utama beliau ialah mencari penyelesaian kepada masalah defisit negara, sistem percukaian, sistem imigrasi, pengangguran dan perubahan iklim.
Kemenangan Obama juga disifatkan penanda perubahan dalam trend pengundi Amerika, sekali gus mengurangkan pengaruh kulit putih dan menambah pengaruh pengundi Hispanik dan Latino.
Walaupun Obama menang, Kongres terus kekal berpecah apabila demokrat menguasai Dewan Senat, manakala Dewan Perwakilan masih dikuasai Republikan.
Anda sedang membaca artikel tentang
Obama dipilih semula Presiden
Dengan url
http://duniadidunia.blogspot.com/2012/11/obama-dipilih-semula-presiden.html
Anda boleh menyebar luaskannya atau mengcopy paste-nya
Obama dipilih semula Presiden
namun jangan lupa untuk meletakkan link
sebagai sumbernya
0 komentar:
Posting Komentar