Diberdayakan oleh Blogger.

Popular Posts Today

Wanita ubah rambut tarik perhatian

Written By Unknown on Minggu, 30 Juni 2013 | 16.40

Purata 150 kali tukar gaya sepanjang hidup

London: Wanita sekurang-kurangnya mengubah gaya rambut mereka sebanyak 150 kali sepanjang hidup.

Mereka mencuba pelbagai jenis potongan, warna dan bentuk, menurut satu kajian yang mendedahkan perkara itu.

Kajian itu membabitkan 2,000 wanita yang dilakukan oleh penata gaya Toni 'n' Guy.

Ia juga mendapati, sekurang-kurangnya 12 peratus daripada mereka ingin berubah gaya untuk kelihatan seperti seorang selebriti, lapor Daily Express.

Secara purata, seorang wanita mengubah gaya rambut sebanyak dua kali setahun manakala warna rambut diubah sekurang-kurangnya sekali setahun.

Cepat bosan
Ini bermakna, perubahan rambut adalah sebanyak 100 kali ketika usia mereka antara 15 dan 65 tahun.

Kajian juga menunjukkan sebanyak 64 peratus wanita mengubah stail rambut kerana cepat Berasa bosan dengan gaya sebelumnya.

Kira-kira 15 peratus mengaku bahawa mereka akan menukar gaya rambut hanya semata-mata untuk menghadiri satu majlis perkahwinan manakala 13 peratus merasakan perlu berbuat demikian selepas mendapat anak.

Sambutan hari jadi, lulus universiti dan juga ketika putus hubungan dengan kekasih juga mendorong mereka untuk mengubah gaya rambut.

,b>Aliran semasa

Kajian juga mendapati wanita akan mengunjungi salun sekurang-kurangnya lima kali setahun atau 250 kali sebaik usia mereka mencecah 65 tahun.

"Jika anda gemar jadi perhatian dan mengikuti aliran semasa, tiada yang lebih baik berbanding menukar gaya potongan atau warna rambut," kata pengarah kreatif global Toni & Guy, Sacha Mascolo. - AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Aktres hantar racun kepada Obama

Wanita berasal dari Texas ugut Presiden AS bakal dibicara

Houston: Seorang wanita Texas kelmarin, bakal dibicarakan selepas didapati bersalah atas tuduhan menghantar surat berisi racun kimia 'ricin' kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Shannon Guess Richardson juga dilaporkan cuba memerangkap suaminya atas perbuatannya, lapor agensi berita Xinhua.

Richardson, 35, dituduh menghantar surat mengancam presiden dan tuduhan mengugut Obama, lapor laman web Houston Chronicle.

Turut ugut datuk bandar

Richardson dituduh bukan hanya menghantar surat berisi racun kimia itu ke Rumah Putih tetapi juga kepada Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg, dan kumpulan aktivis menyokong kawalan senjata api pimpinan Bloomberg.

Surat berkenaan dipercayai mengandungi ancaman keganasan terhadap penyokong kawalan senjata api.
Dakwa surat dihantar suami

Richardson yang ditahan pada 7 Jun lalu memberitahu ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bahawa suaminya yang menghantar surat itu.

Bagaimanapun, dia kemudian mengubah keterangan kepada suaminya yang memaksanya menghantar surat berkenaan.

Pasangan itu dipercayai dalam proses perceraian dan Richardson yang sudah ada lima anak juga sedang hamil.

Richardson adalah seorang aktres, pernah muncul dalam filem dan program televisyen menggunakan nama Shannon Guess.

Menurut keterangan dirinya dalam data karyawan filem IMDb di internet, dia pernah memegang watak kecil dalam The Vampire Diaries dan The Walking Dead.

Dia juga memegang watak kecil dalam filem The Blind Side dan muncul dalam iklan Avis.

Berdepan penjara lima tahun

Jika didapati bersalah, Richardson menghadapi hukuman penjara lima tahun bagi setiap tuduhan. - AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

AS lakukan intipan internet sejak 9/11

Written By Unknown on Sabtu, 29 Juni 2013 | 16.41

Hasil risikan patah 54 komplot serangan pengganas

Washington: Amerika Syarikat (AS) mula melakukan intipan ke seluruh dunia menggunakan telefon dan komunikasi menerusi e-mel dan data internet selepas serangan 11 September 2001 (9/11).

Hasil intipan terbabit, 54 rancangan untuk melakukan keganasan di AS dapat dipatahkan, kata Pengarah Agensi Keselamatan Kebangsaan, Jeneral Keith Alexander.

Pengintipan itu membolehkan penghantar dan penerima setiap mesej dikesan termasuk alamat IP membolehkan lokasi pengguna diketahui" Keith Alexander, Pengarah Agensi Keselamatan Kebangsaan AS


Dalam pendedahan terbaru mengenai pengintipan itu, akhbar The Guardian melaporkan, awalnya ia hanya membabitkan komunikasi warga asing sebelum ia diperluaskan pada 2007.

Kesan lokasi pengguna

Pengintipan itu membolehkan penghantar dan penerima setiap mesej dikesan termasuk alamat IP membolehkan lokasi pengguna diketahui.
Ia memetik pegawai sebagai berkata, teknik mengumpul maklumat kaedah ini tamat pada 2011.
Menjelaskan pengintipan berkenaan kepada pengurusan komunikasi dan elektronik minggu ini, Alexander berkata, 50 daripada 54 komplot serangan berakhir dengan tangkapan.

Sebanyak 25 tangkapan berlaku di Eropah, 11 di Asia dan 5 di Afrika. Sebanyak 13 komplot berlaku di AS.

Pendedahan terbaru The Guardian menunjukkan NSA mengumpul data internet membabitkan warga Amerika termasuk pengguna telefon.

The Guardian sebelum ini menyiarkan dokumen rahsia mengenai program intipan diberi nama 'Prism' membolehkan NSA memeriksa komunikasi internet di Amerika yang membabitkan warga asing.

Pendedahan terbabit tidak menjelaskan bentuk isu kandungan e-mel yang diperiksa.
Alexander berkata, 12 daripada serangan yang gagal dikesan menerusi program mengumpul data telefon.

Intip warga asing

Selain itu. dalam 53 daripada 54 kes membabitkan intipan ke atas komunikasi internet warga asing.

Alexander berkata, hampir separuh daripada maklumat antikeganasan NSA adalah daripada pemantauan internet. - REUTERS


16.41 | 0 komentar | Read More

Juri kenakan penyerang Boston 30 dakwaan

Boston: Juri mengenakan 30 dakwaan terhadap belia keturunan Chechya, Dzhokhar Tsarnaev (gambar), berhubung serangan di maraton Boston yang membunuh tiga orang dan mencederakan lebih 260 peserta, pada April lalu.

Ia termasuk menggunakan senjata pemusnah besar dan membunuh dengan meletupkan bom di tempat awam.

Pendakwa Raya Persekutuan berkata, 17 daripada dakwaan itu membawa kepada hukuman mati.

Pendakwa Raya Persekutuan berkata, 17 daripada dakwaan itu membawa kepada hukuman mati.


Tsarnaev akan dihadapkan ke mahkamah untuk menghadapi dakwaan rasmi pada 10 Julai ini.

Pendakwa raya membuat pengumuman itu selepas menyoalnya di hospital selama beberapa minggu.

Tsarnaev dan abangnya, Tamerlan dituduh menggunakan bom tekanan dekat tempat penamat maraton 15 April lalu.

Adik beradik itu juga dikatakan membunuh seorang pegawai polis kampus Institut Teknologi Massachusetts (MIT) ketika mereka diburu selepas itu.
Tamerlan, 26, maut terkena tembakan polis, empat hari kemudian. Beberapa jam selepas itu, Dzhokhar, 19, ditemui di dalam sebuah bot dan ditahan.

Kena tembakan di kerongkong

Pelajar universiti terbabit terkena tembakan di kerongkongnya dan hanya dapat memberi jawapan secara bertulis.

Dakwaan menuduh mereka berkomplot untuk melakukan serangan ke atas maraton ke-117 Boston pada Februari lalu.

Video yang disiarkan polis ketika itu menunjukkan dua pemuda berjalan di celah orang ramai dengan membawa beg sandang mengandungi bom itu.

Mereka dituduh membuat lima bom buatan sendiri, membawa senapang separuh automatik, sebilang parang dan pisau ketika masuk ke MIT dan menembak mati anggota polis berkenaan. - AFP


16.41 | 0 komentar | Read More

Salah AS, Snowden terlepas

Written By Unknown on Jumat, 28 Juni 2013 | 16.40

Hong Kong: Kesilapan Amerika Syarikat memberi nama tengah Edward Snowden menyebabkan bekas perisik itu terlepas, kata pegawai Hong Kong.

Mereka berkata, wujud perbezaan nama tengah dalam rekod yang diberi Amerika untuk menahan pegawai Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA).

Setiausaha Kehakiman, Rimsky Yuen berkata, rekod imigresen Hong Kong mencatat nama tengah Snowden sebagai Joseph.

Tetapi, kerajaan Amerika menggunakan nama James dalam dokumen tertentu atau Edward J Snowden dalam fail lain.

Nama-nama itu berbeza, jadi ia perlukan penjelasan, kata Yuen. Selain itu, Amerika juga tidak memberi nombor pasport Snowden.

Snowden bersembunyi di Hong Kong selama beberapa minggu selepas mendedahkan program rahsia pengintipan Amerika.

Hong Kong membenarkannya berlepas ke Moscow, Ahad lalu, atas alasan permintaan Amerika untuk menahan Snowden tidak memenuhi syarat.
Di MOSCOW, Snowden memulakan hari kelimanya di sebuah lapangan terbang di sini semalam, dengan rancangan perjalanannya masih satu misteri.

Ecuador beri amaran

Ecuador pula memberi amaran ia mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk mempertimbangkan permohonan suakanya.

Snowden tidak dilihat sejak tiba di sini Ahad lalu dan masih dalam zon transit di lapangan terbang Sheremetyevo.

Dia tidak melanggar undang-undang Russia. Dia berada dalam zon transit lapangan terbang dan boleh pergi ke mana saja dia mahu, kata Menteri Luar Russia, Sergei Lavros.

Amerika sudah membatalkan pasport Snowden dan memberi tekanan ke atas Moscow supaya menyerahkannya.

WikiLeaks mendakwa, Snowden meninggalkan Hong Kong dengan satu dokumen pelarian dibekalkan Ecuador namun Quito berkata ia masih mengkaji permohonan suakanya.
AFP/AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Mandela kritikal tapi stabil

Pretoria: Keadaan bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, 94, dilaporkan sedikit pulih tetapi masih kritikal, ketika anak perempuannya memarahi media asing yang dituduh keterlaluan dalam liputan mengenai bapanya.

Lewat kelmarin, kerajaan Presiden Jacob Zuma melaporkan keadaan Mandela semakin tenat, selepas hampir tiga minggu dirawat di hospital kerana jangkitan paru-paru.

Ia memaksa Zuma membatalkan kehadirannya di sidang kemuncak serantau di Mozambique mulai semalam.

Zuma kemudian mengunjungi kali kedua Mandela dan diberitahu doktor bahawa keadaannya bertambah baik.

Beliau makin baik (semalam) berbanding malam kelmarin. Pasukan perubatan bertugas cemerlang, kata Zuma dalam kenyataannya.

Beliau menyifatkan keadaan Mandela kini stabil tetapi masih lagi kritikal.

Media asing keterlaluan
Di sebalik berita baik itu, anak sulung Mandela, Makaziwe, melabel media asing burung nasar tunggu bangkai kerana tidak menghormati hak peribadi bapanya.
Saya tidak akan bohong. Keadaannya tidak bagus, kata Makaziwe kepada stesen televisyen SABC selepas mengunjungi Mandela.

Tetapi, jika kami bercakap, dia cuba buka mata. Dia masih beri respon.
Seperti ada unsur perkauman di kalangan banyak media asing apabila mereka bertindak keterlaluan.

Mereka seperti burung nasar menunggu singa habis makan kerbau untuk meratah bangkainya. Itulah perasaan keluarga kami terhadap mereka, katanya ketika dikerumuni jurukamera dan wartawan di luar hospital.

Makaziwe membuat kecaman itu selepas jurucakap kerajaan, Mac Maharaj, turut memberi teguran terhadap laporan media asing yang memberi gambaran seolah-olah Mandela tidak akan pulih.

Maharaj enggan mengulas laporan terbaru media Amerika bahawa Mandela kini bernafas dengan bantuan mesin. Katanya, perkara itu sepatutnya dirahsiakan.
REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

PM Palestin letak jawatan

Written By Unknown on Senin, 24 Juni 2013 | 16.40

Ramallah: Presiden Palestin, Mahmud Abbas menerima peletakan jawatan Perdana Menteri, Rami Hamdallah semalam selepas dua minggu mengambil alih tugas itu, membawa kerajaan beliau kembali kepada krisis.

Ia adalah kali kedua dalam tempoh 10 minggu seorang perdana menteri Palestin meletak jawatan berikutan pertikaian kuasa dan Abbas kini mempunyai 35 hari untuk mencari pengganti.

Ahli akademik bebas terbabit tidak berpuas hati terhadap kuasa terhad beliau dalam sebuah kerajaan yang masih didominasi pergerakan Fatah presiden terbabit. - AFP
16.40 | 0 komentar | Read More

100 meter kawasan hutan berjaya dipadam

Usaha pasukan pemadam udara, darat di Riau, Sumatera pamer hasil positif

Jakarta: Pasukan pemadam udara dan darat yang berusaha memadamkan kebakaran di kawasan Riau, Sumatera berjaya memadamkan kebakaran di kawasan hutan seluas 100 meter kelmarin, kata seorang pegawai Agensi Menangani Bencana Kebangsaan BNPB).

"Pasukan udara yang dikerah dengan dua helikopter Bolco berkapasiti 500 liter menjalankan 16 misi memadam di Mandau," kata jurucakap agensi BNPB itu, Sutopo Pirwo Nugroho kepada Jakarta Globe, semalam.

Kita berharap situasi jerebu akan pulih, menyediakan sedikit bantuan kepada mereka yang terjejas dan semuanya akan balik kepada normal tidak lama lagi" Agus Wibowo, Pegawai agensi pengurusan bencana


Operasi darat turut diselaraskan di daerah Bengkalis. Kakitangan tentera dan polis selain pegawai dari agensi BPBD di Riau serta skuad kebakaran hutan turut dikerah ke wilayah terbabit bagi membantu usaha memadamkan kebakaran.

Sutopo berkata dua helikopter digunakan untuk membawa air dan memadamkan kebakaran manakala Casa 212 akan ditugaskan dalam pembenihan awan.

Mulakan pembenihan awan

Indonesia memulakan pembenihan awan dalam usaha menghasilkan hujan untuk mengurangkan kebakaran yang menjejaskan negara jirannya Singapura dan Malaysia yang dilanda jerebu.
Pegawai agensi pengurusan bencana Agus Wibowo, berkata sebuah pesawat dengan peralatan pembenihan awan lewat kelmarin berjaya menghasilkan hujan di daerah Bengkalis di pulau Sumatera, di mana kebakaran terbesar berlaku.

"Kita akan teruskan operasi pembenihan awan hari ini menggunakan dua pesawat," katanya.

"Kita berharap situasi jerebu akan pulih, menyediakan sedikit bantuan kepada mereka yang terjejas dan semuanya akan balik kepada normal tidak lama lagi," katanya.

Wibowo berkata wilayah Riau di mana kebakaran masih melanda berada di dalam keadaan 'darurat' dengan Indeks Pencemaran Udara (PSI) melebihi tahap berbahaya 400 di beberapa lokasi.

Tiga helikopter juga turut membawa air untuk memadamkan kebakaran membabitkan kawasan beratus hektar yang menyebabkan punca jerebu di Singapura dan Malaysia. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

100,000 sokong Morsi

Written By Unknown on Minggu, 23 Juni 2013 | 16.41

KAHERAH: Lebih 100,000 penyokong presiden Mesir Mohamed Morsi, mengadakan perhimpunan di ibu negara Mesir, bagi menunjukkan kekuatan mereka, melaungkan "Revolusi Islam!" menjelang bantahan besar-besaran pembangkang hujung bulan ini.

Ulasan duta Amerika Syarikat yang diterjemahkan sebagai kritikal berikutan bantahan yang dirancang pembangkang pula mencetuskan kemarahan, dengan seorang aktivis memaklumkan diplomat supaya tidak masuk campur.

Perhimpunan besar-besaran kelmarin dilaporkan digesa penyokong puak Islam untuk mengutuk keganasan, namun ia sebaliknya menampilkan kemunculan perhimpunan perang.

Peserta, kebanyakannya berjambang dan memakai jubah atau kain lilit kepala hijau, melaungkan kata-kata untuk melindungi Presiden Mesir Mohamed Morsi daripada penentangnya.

Sebilangan yang berucap di khalayak ramai berkata mereka mahu menggempur penunjuk perasaan pembangkang 30 Jun ini, yang juga ulang tahun kekuasaan Morsi.

"Kami mahu menegaskan bahawa kami akan melindungi kerajaan dengan darah dan jiwa kami," isytihar Mohammed el-Beltagi, seorang pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin, kumpulan yang dianggotai Morsi.

Kebanyakan peserta diangkut dengan bas dari tempat lain di ibu kota ini atau wilayah paling jauh.
Mereka mengibarkan bendera merah, putih dan hitam Mesir selain kain rentang hijau mewakili Ikhwanul dan poster presiden. Kebanyakan menggenggam penumbuk ke udara.

Anggota parti beberapa memakai topi keledar merah dan membawa kayu plastik putih mengawal pusat pemeriksaan sementara, menggeledah beg dan memeriksa pengenalan penunjuk perasaan yang membanjiri kawasan itu.

Perhimpunan kelmarin adalah bukti terbaru perpecahan di Mesir dalam tempoh dua tahun sejak pemimpin kuku besi Hosni Mubarak disingkir dalam kebangkitan popular.

Pembahagian itu menjerumuskan negara ke dalam pertempuran jalanan dan menyebabkan Mesir terbahagi kepada dua kem, dengan presiden bersama penyokong Islam serta penduduk sekular, liberal, fahaman sederhana, wanita dan minoriti Kristian pada pihak satu lagi. - AP


16.41 | 0 komentar | Read More

Guna pesawat padam api

Jakarta: Indonesia semalam menggunakan pesawat tentera untuk memadam api di Sumatera berpunca daripada pembakaran haram yang menyebabkan jerebu teruk di negara itu, Singapura dan Malaysia.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, Indonesia menggunakan dua pesawat untuk melakukan pembenihan awam semalam.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan tujuh pesawat tentera dan tiga helikopter untuk membawa bom air ke lokasi kebakaran."Sebanyak 60 titik panas dikesan di Riau, Sumatera dengan 80 peratus daripadanya berada di kawasan perladangan dan 20 peratus lagi di kawasan hutan," katanya.

Indeks paras bahaya

Sutopo berkata, Indonesia memperuntukkan kira-kira 200 bilion rupian (RM64.04 juta) untuk menangani masalah yang melanda.

Indeks pencemaran Singapura kembali ke paras bahaya dengan paras bacaan berada pada tahap 300, manakala kualiti udara di ibu negara Malaysia juga semakin merosot semalam, ketika Jakarta menerima tekanan hebat untuk memulihkan keadaan.
Kelmarin indeks pencemaran berada pada tahap 401, paras yang boleh mengancam nyawa mereka yang sakit atau warga tua.
Bau kayu terbakar memenuhi udara dan jarak pandangan merosot, manakala bangunan dilitupi asap kelabu. Jalan raya di republik itu yang biasanya sibuk, bertukar lengang, apabila penduduk mengelak keluar rumah, bertemu kawasan atau membeli belah.

Sementara itu Singapura akan mengambil tindakan keras ke atas syarikat tempatan yang didapati terbabit dengan pembakaran hutan secara haram di Indonesia, sehingga menyebabkan negara itu mengalami pencemaran paling buruk pernah direkodkan.

Tindakan undang-undang

"Saya sudah meminta Peguam Negara untuk menimbang langkah yang boleh diambil di Singapura jika syarikat berkenaan dibuktikan turut terbabit dalam melakukan pencemaran," kata Menteri Luar K Shanmugam kepada wartawan.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan segala yang terdaya dan tidak akan bertolak ansur dengan syarikat terbabit kerana menjejaskan keadaan di republik itu. - REUTERS/AGENSI


16.41 | 0 komentar | Read More

Tentera pemisah terima senjata

Written By Unknown on Sabtu, 22 Juni 2013 | 16.40

Beirut: Pemisah Syria menerima penghantaran lebih banyak senjata berkuasa dari sekutu Teluk sejak beberapa minggu lalu terutama membabitkan peluru berpandu anti-perisai dan anti pesawat yang membantu tentera rejim terbabit dalam pencapaian yang lebih agresif.

Bagaimanapun penghantaran yang sama itu mencetuskan permusuhan dan pertengkaran di kalangan serpihan pemisah, melakarkan kesan yang akan dihadapi Amerika Syarikat apabila mereka mula membekalkan pemisah terbabit dengan senjata secara langsung, satu perubahan dasar besar dilakukan pentadbiran Obama.

Setiap penghantaran menambah kekusutan kompleks terhadap politik pemisah, dengan berpuluh briged dan batalion yang menjalankan operasi bersikap cemburu, bermusuh dan bersaing dengan pejuang Islam radikal.

Briged sederhana mengadu bahawa golongan Islam lebih mendapat perhatian. Tetapi perkara itu ditolak puak Islamis mengatakan bahawa tuduhan itu berat sebelah.

Penghantaran terbaru awal bulan ini yang dikatakan yang kedua oleh negara Teluk sejak November dan pertama kali diketahui membabitkan peluru berpandu anti pesawat menyebabkan kemarahan di kalangan pemisah yang mengatakan ia adalah untuk kumpulan pelampau Islam, Ahrar al-Sha.

Jadi kubu kuat pemisah

Kumpulan terbabit adalah anggota kuat Barisan Islamis Syria, daripada 11 serpihan, yang dilihat kehadiran mereka selaras dengan Tentera Pembebasan Syria yang disokong Barat.
"Pengagihan tidak adil," kata seorang jurucakap Briged Pertama Tentera Pembebasan Syria di Damsyik, Zeineddine al-Shami.

"Ia dijalankan secara rawak berdasarkan orang yang mereka kenal."

Pemisah di kawasan Damsyik bertarung sejak beberapa minggu lalu terhadap kempen yang ditingkatkan oleh tentera rejim yang disokong Hizbullah Lubnan dan pejuang Syiah Iraq, untuk mendesak mereka keluar dari pinggir bandar yang menjadi kubu kuat pemisah.

Aharar al-Sham adalah satu daripada kumpulan pemisah kurang dikenali yang muncul dalam konflik Syria, bersama unit pejuang dalam hampir semua wilayah.

Ia bekerjasama di satu peringkat dengan Majlis Tentera Agung Tentera Pembebasan Syria, yang diwujudkan pada Disember untuk bekerjasama dengan briged pemisah tetapi masih lagi mempertahankan arahan bebas. - AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Tumpu selesai masalah jerebu

PM Singapura enggan balas kenyataan dibuat menteri Indonesia

Singapura: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsein Loong berkata beliau tumpu kepada penyelesaian masalah jerebu dan memastikan keselamatan rakyat Singapura berbanding membalas kenyataan dibuat seorang menteri Indonesia.

Menteri penyelaras kebajikan penduduk, Agung Laksono sebelum ini membidas Singapura pada satu sidang akhbar di Jakarta dengan mengatakan: "Singapura tidak sepatutnya bersikap seperti budak-budak."

Perdana menteri Lee berkata beliau akan mendapat apa-apa hasil dengan memberi maklum balas dan enggan untuk terbabit dalam apa yang disifatkan beliau sebagai 'diplomasi megafon.'

"Apa yang perlu kita lakukan adalah menyelesaikan masalah dan memastikan rakyat kita dalam keadaan baik dan terjaga dan semuanya yang boleh dilakukan diambil tindakan," katanya.

"Saya rasa kita perlu bekerja ke arah menyelesaikan masalah berbanding berbalas kata-kata kasar."

Agung terlebih dulu memberitahu pemberita bahawa Singapura tidak berkata apa-apa ketika keadaan udara baik tetapi mengadu mengenai jerebu yang berlaku.

Beliau juga mengkritik Indonesia yang belum lagi menandatangani secara sah perjanjian ASEAN mengenai pencemaran udara merentasi sempadan.
"Singapura memang begitu. Isu sempadan belum lagi selesai begitu juga dengan ekstradisi rasuah."

Bacaan meningkat

Ditanya mengenai tawaran bantuan dari Singapura beliau berkata: "Jika ia hanya setengah juta (dolar) lebih baik kita menggunakan belanja sendiri."

Kenyataan beliau terus mendapat kritikan melalui halaman Facebook The Straits Times.

"Kita bukan kanak-kanak, kita sekadar mengambil langkah pencegahan kerana (jerebu) berbahaya kepada kehidupan," kata seorang pembaca, Mildred Lee.

Sementara itu bacaan Indeks Piawaian Pencemar (PSI) di republik ini melonjak semula kepada "berbahaya" semalam, mencatat satu rekod baru selepas keadaan lebih baik seketika awal semalam.

PSI tiga jam itu dilaporkan mencatat 401 pada tengah hari waktu tempatan (0400 GMT) selepas menurun serendah 94 enam jam sebelumnya, menurut Agensi Alam Sekitar Nasional.

Bacaan tengah hari meningkat daripada 400 sejam sebelumnya, apabila ia memecahkan rekod 371 yang dicatat tengah hari kelmarin.


16.40 | 0 komentar | Read More

Demonstrasi landa Brazil

Written By Unknown on Rabu, 19 Juni 2013 | 16.40

Sao Paulo: Demonstrasi di Brazil merebak ke seluruh negara bantahan terbesar sejak berakhirnya pemerintahan kuku besi dari 1964 hingga 1985, menyatukan penduduk yang kecewa dengan perkhidmatan pengangkutan, kesihatan, pendidikan, dan keselamatan selain beban cukai tinggi.

Lebih 100,000 rakyat berada di jalan raya kelmarin bagi menyertai bantahan aman di sekurang-kurangnya lapan bandar raya besar. Sebahagian besarnya digerakkan dengan imej polis Sao Paulo memukul penunjuk perasaan dan melepaskan tembakan peluru getah ke arah kumpulan itu ketika perhimpunan yang menarik penyertaan 5,000 penduduk minggu lalu.

Berlaku beberapa keganasan, dengan polis dan penunjuk perasaan bertempur di Rio de Janeiro, Porto Alegre dan Belo Horizonte. Akhbar O Globo, memetik pegawai keselamatan Rio berkata 20 pegawai dan 10 penunjuk perasaan cedera di situ.

Bantahan kelmarin berlaku selepas perlawanan pembukaan bola sepak Piala Konfederasi hujung minggu lalu, sebulan sebelum lawatan pope, setahun sebelum kejohanan Piala Dunia dan tiga tahun menjelang Olimpik 2016 di Rio de Janeiro. Ketegangan menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan, terutama selepas bantahan awal menyebabkan berlaku pertempuran dengan polis.

Keji kenaikan tambang bas

Di Sao Paulo, hab ekonomi Brazil, sekurang-kurangnya 65,000 penunjuk perasaan berkumpul kelmarin di plaza kecil yang kemudian berpecah ke tiga arah dalam atmosfera Carnival, dengan pengetuk dram melagukan rentak samba ketika peserta melaungkan lagu antirasuah.

Mereka juga mengeji perkara yang mencetuskan bantahan mula minggu lalu, kenaikan tambang bas dan kereta api bawah tanah sebanyak 10 sen.
Beribu-ribu penunjuk perasaan di ibu negara, Brasilia, berarak dengan aman menuju bangunan Kongres. Berpuluh-puluh memanjat bumbung bangunan rendah,
menepuk tangan dan mengangkat tangan, cahaya dari bawah memanjangkan bayang mereka kepada struktur lebih besar, lambang mangkuk yang direka arkitek terkenal, Oscar Niemeyer. Beberapa tingkap pecah, tetapi polis tidak menggunakan kekerasan untuk mengawal kerosakan.
AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Erdogan isytihar menang

Ankara: Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, semalam mendakwa menang selepas tindakan keras ke atas demonstrasi, ketika polis menyerbu rumah dan menahan ratusan penunjuk perasaan untuk menamatkan ketegangan hampir tiga minggu itu.

Selepas pertempuran sengit hujung minggu lalu yang dicetuskan selepas penunjuk perasaan diusir dari Taman Gezi di Istanbul, tumpuan bantahan itu, penunjuk perasaan berusaha berkumpul semula dan polis berdepan dengan pertempuran dengan kumpulan lebih kecil di seluruh negara.

Tengah malam kelmarin, polis pencegah rusuhan di Ankara melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air ke arah penunjuk perasaan yang membalas dengan membaling batu dan bersembunyi di sebalik penghadang sementara.

Bantah dalam diam

Di Istanbul, berpuluh-puluh penunjuk perasaan menukar tindakan kepada membantah dalam diam, berdiri tegak sebagai tanda bantahan di Dataran Taksin terletak bersebelahan Taman Gezi.

Ketika bantahan semakin hilang kepadatan, Erdogan berkata, beliau berjaya menangani krisis itu yang dilihat sebagai cabaran terbesar kepada kerajaan berakar umbi Islam yang dipimpinnya selama 10 tahun.

Demokrasi diuji lagi dan akhirnya berjaya. Rakyat dan kerajaan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) menggagalkan rancangan itu yang dimulakan pengkhianat dan rakan subahat asing, katanya kepada anggota AKP yang disambut sorakan gemuruh. Yakin beliau sudah menenangkan ribut, Erdogan memberi amaran terhadap sebarang kebangkitan semula bantahan.

Bermula hari ini, tiada persoalan menunjukkan sebarang tolak ansur kepada sesiapa atau pertubuhan yang terbabit dalam tindakan ganas, katanya.
Erdogan dikritik hebat kerana cara mengendalikan krisis itu, dengan Amerika Syarikat dan sekutu Barat lain mengecam kekerasan melampau polis ke atas penunjuk perasaan.

Namun, beliau berkata, polis sudah melepasi ujian demokrasi dengan reaksi mereka kepada ketegangan itu dan berikrar akan meningkatkan kuasa mereka.
Komen beliau dibuat ketika polis melancarkan serbuan ke rumah seluruh negara, menahan berpuluh penunjuk perasaan.

Di Istanbul, pegawai menahan kira-kira 90 orang anggota Parti Sosialis Tertindas (ESP), kumpulan kecil berhaluan kiri yang aktif dalam tunjuk perasaan itu, kata persatuan peguam Istanbul.

Media tempatan melaporkan, 30 turut ditahan di Ankara dan 13 lagi di Eskisehir.
Menteri Dalam Negeri, Muammer Guler, bercakap mengenai penahanan 62 orang di Istanbul dan 23 lagi di Ankara dan berkata mereka mempunyai kaitan dengan siasatan antipengganas berterusan terhadap Parti Komunis Marxist-Leninist (MLKP) yang juga mengambil bahagian dalam bantahan di Taman Gezi.

AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Rowhani bawa perubahan

Written By Unknown on Selasa, 18 Juni 2013 | 16.40

Paris: Pemilihan ulama berhaluan sederhana, Hassan Rowhani,64, sebagai presiden baru Iran mampu membawa perubahan dasar negara itu dalam hubungan dengan kuasa Barat selain meredakan ketegangan berhubung program nuklear negara itu, kata penganalisis.

Rowhani, yang digelar syeikh diplomat kerana kemahiran rundingannya dalam perbincangan rumit nuklear, meningkatkan harapan antarabangsa selepas muncul sebagai pemenang pilihan raya Sabtu lalu.

Tamat kebuntuan

Rowhani berikrar menamatkan kebuntuan nuklear yang membawa kepada sekatan Barat ke atas Iran. Dasarnya ketika pemerintahan Presiden Mohammad Khatami tidak dipakai pada 2005 apabila Presiden Mahmoud Ahmadinejad dipilih dan Rowhani meletak jawatan berikutan perbezaan pendapat.

"Kemenangan Rowhani bukan perubahan rejim di Iran tetapi pengubah suasana politik.

Walaupun pemimpin agung, Ayatollah Ali Khamenei dan Pengawal Revolusi terus mengawal semua peringkat kuasa, pemilihan Rowhani akan melihat Washington menggunakan pendekatan baru untuk mengukuhkan golongan pembaharuan," kata majalah Foreign Policy.

Tehran terbabit dalam rundingan dengan P5+1 iaitu anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu Britain, China, Perancis, Russia dan Amerika Syarikat ditambah Jerman sejak 2006 berhubung program nuklear kontroversinya tetapi tidak mendatangkan sebarang kejayaan.
Amat berpengalaman

Bekas Setiausaha Luar Britain, Jack Straw, yang berurusan dengan Rowhani dalam rundingan mengenai program nuklear Iran, menyifatkan beliau diplomat dan ahli politik amat berpengalaman. AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Perisik Britain intip e-mel, telefon diplomat

London: Agensi pengintipan Britain, GCHQ, berulang kali menceroboh talian telefon dan e-mel diplomat asing apabila negara itu menjadi hos persidangan antarabangsa, malah memasang alat pengintip di kafe internet dalam usaha mendapatkan kelebihan dalam rundingan peringkat tinggi, lapor akhbar Guardian.

Laporan itu, yang terbaru dalam siri pendedahan yang mencetuskan perdebatan di seluruh dunia berhubung skop intipan perisikan Barat disiarkan beberapa jam sebelum Britain dijadualkan merasmikan persidangan G-8 semalam, pertemuan tujuh gergasi ekonomi dunia termasuk Russia di Ireland Utara.

Guna kedudukan

Dakwaan bahawa Britain sebelum ini menggunakan kedudukannya sebagai hos untuk mengintip sekutu dan negara lain yang hadir menjadikan pertemuan itu janggal ketika delegasi tiba untuk berunding.

"Kesan diplomatik akibat pendedahan ini boleh menjadi besar," kata Pakar Akademik Britain, Richard J Aldrich, yang bukunya, GCHQ, menceritakan sejarah agensi itu.

GCHQ enggan memberi komen mengenai laporan itu.

Akhbar itu melaporkan lebih enam helai dokumen dalaman kerajaan diberikan oleh bekas kontraktor Agensi Keselamatan Dalam Negara (NSA), Edward Snowden, sebagai asas laporannya mengenai operasi perisikan GCHQ, yang dikatakan membabitkan, antara lain, menceroboh rangkaian komputer Kementerian Luar Afrika Selatan dan menyasarkan delegasi Turki pada persidangan G-20 2009 di London.
Bahan sumber yang ketulenannya tidak dapat disahkan, turut bercampur aduk. Guardian menyifatkan satu daripadanya sebagai slaid Power Point, satu lagi sebagai kertas taklimat dan yang lain cuma sebagai dokumen.

Sebahagian bahan yang bocor versi sudah disunting sebelum disiarkan di laman web Guardian.

Jurucakap akhbar itu berkata suntingan dibuat atas inisiatif akhbar itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Tidak jelas bagaimana Snowden memperoleh dokumen perisikan Britain walaupun dalam satu artikel akhbar itu menyatakan bahan sumber didapati daripada rangkaian dalaman rahsia dikongsi GCHQ dan NSA. Aldrich berkata, beliau tidak terkejut jika bahan GCHQ datang daripada rangkaian dikongsi yang boleh diakses Snowden, menjelaskan NSA dan GCHQ bekerjasama erat sehingga dalam sebahagian bidang ia beroperasi sebagai satu agensi.

Tingkat usaha intip

Satu dokumen yang dipetik Guardian tetapi tidak disiarkan di laman web meningkatkan usaha mengintip telefon pintar.

Guardian memetik dokumen sebagai berkata kemampuan BlackBerry memberikan salinan awal taklimat G20 kepada menteri.

Ia terus melaporkan 'sasaran diplomatik dari semua negara mempunyai tabiat menggunakan telefon pintar, menambah pengintip mengeksploitasi penggunaan ini pada pertemuan G20 tahun lalu. AP


16.40 | 0 komentar | Read More
techieblogger.com Techie Blogger Techie Blogger