Diberdayakan oleh Blogger.

Popular Posts Today

Tentera mampu kawal negara

Written By Unknown on Kamis, 31 Januari 2013 | 16.40

Kabul: Panglima tentera Amerika Syarikat di Afghanistan Jeneral John Allen percaya pasukan keselamatan kerajaan mencapai prestasi lebih pantas berbanding dijangka dan bersedia untuk mengetuai perang 11 tahun ke atas Taliban apabila pasukan tempur asing berundur musim bunga ini.

Jeneral Allen memberitahu The Associated Press bahawa tugas utama dalam tempoh dua tahun untuk Tentera Bantuan Antarabangsa, gelaran kepada tentera diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan, adalah untuk menasihati, melatih dan membangunkan keupayaan diperlukan tentera negara itu mengambil alih pentadbiran.

Mereka akan berdepan ujian pertama apabila musim pertempuran berlaku lewat musim bunga dan musim panas. Ketika musim sejuk ganas di Afghanistan, salji sering menyekat jalan dan pertempuran terhenti.

"Pasukan keselamatan Afghanistan, yang sudah mencapai kekuatan penuh dengan 352,000 anggota, masih perlu berusaha untuk berdikari, namun peningkatan keupayaan menyebabkan keputusan dibuat bagi mempercepatkan tarikh meletakkan mereka di barisan depan," kata Allen.

Presiden Barack Obama mengumumkan awal bulan ini bahawa Afghanistan akan mengambil alih kawalan ketenteraan musim bunga ini berbanding lewat musim panas, keputusan yang bakal membolehkan membenarkan pengunduran pantas tentera asing dari Afghanistan.
AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Lebih 60,000 maut konflik Syria

Kuwait: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon merayu usaha segera bagi menamatkan keganasan di Syria yang disifatkan beliau sebagai malapetaka dan semakin buruk setiap hari.

"Berapa ramai lagi dibunuh jika situasi sekarang berterusan?

"Saya merayu kepada semua pihak terutama kerajaan Syria untuk menghentikan pembunuhan, atas nama kemanusiaan, hentikan pembunuhan, hentikan keganasan," kata Ki-moon pada persidangan di Kuwait ketika menggesa lebih banyak rayuan dihulurkan untuk membiayai usaha kemanusiaan PBB.

Lebih 60,000 penduduk terbunuh sejak konflik selama 22 bulan bermula, kata PBB. Badan dunia itu memberi amaran pada Isnin, bahawa tanpa dana ia tidak akan mampu membantu berjuta penduduk Syria dan merayu derma pada persidangan bantuan itu untuk mencapai sasarannya iaitu AS$1.5 bilion (RM4.62 bilion).

Sejumlah empat juta penduduk Syria di dalam negara itu perlukan makanan, perlindungan dan bantuan lain manakala lebih 700,000 lagi melarikan diri ke negara jiran sejak konflik bermula, kata PBB.

Pemerintah Jordan, Raja Abdullah, memberitahu perhimpunan itu bahawa beratus ribu penduduk Syria berlindung di negaranya tetapi keupayaan Jordan untuk membantu adalah terhad.

"Kami sudah mencapai garisan penamatnya, kami kekurangan sumber," katanya. Ketua kemanusiaan PBB, Valerie Amos, berkata pertanian dalam krisis, hospital dan ambulans musnah malah ubat penahan sakit juga tidak ada.
REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

Mesir hampir lumpuh akibat sengketa politik

Written By Unknown on Rabu, 30 Januari 2013 | 16.40

Kaherah: Panglima tentera Mesir menyifatkan sengketa politik hampir melumpuhkan negara itu.

Ia dianggap amaran daripada pihak yang mentadbir negara itu sehingga Mohamed Mursi dipilih sebagai presiden selepas keganasan berterusan.

Perkara itu disuarakan Jeneral Abdel Fattah al-Sisi yang dilantik oleh Mursi untuk mengetuai angkatan tentera, tahun lalu.

Dalam kenyataannya, beliau menekankan, perkara penting menempatkan askar di Terusan Suez adalah bagi melindunginya untuk memastikan ekonomi Mesir dan perdagangan dunia terjamin.

Sisi membuat ulasan itu yang disiarkan oleh laman web tentera di Facebook, berikutan kematian 52 orang selepas kekacauan berterusan sejak seminggu lalu.

Ia meningkatkan lagi krisis di Mesir dan kerajaan pimpinan Mursi bagi memperbaiki prestasi ekonomi sebeleum pilihan raya Parlimen diadakan beberapa bulan lagi bertujuan memperkukuh demokrasi.

Keganasan sebahagian besarnya terhenti semalam, meskipun ada remaja yang membaling batu ke arah polis di Dataran Tahrir.
Sisi tidak dianggap memberi mesej bahawa tentera mahu mengambil alih kuasa yang dipegang selama enam dekad sehingga Hosni Mubarak digulingkan, dua tahun lalu.

Mesejnya memberi amaran kuat kepada Kerajaan Mesir selepas bandar utama dilanda kekacauan selama lima hari.

Selepas hampir tujuh bulan memerintah, politik Mesir di bawah pentadbiran Mursi semakin berpecah belah.

Penentangnya menolak gesaan Mursi untuk mengadakan rundingan sebaliknya protes berterusan di Kaherah dan Iskandariah selepas tiga bandar Suez, Port Said, Ismailia dan Suez, kawasan di bawah perintah darurat.

Selasa lalu, beribu-ribu orang sekali lagi keluar ke jalan raya Port Said untuk berkabung kematian dua orang dalam pertempuran baru di sana menjadikan 42 orang maut di sini.
REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

Otak Sharon tunjuk aktiviti

Baitulmaqdis: Bekas Perdana Menteri Israel yang tidak sedarkan diri selama tujuh tahun selepas diserang angin ahmar, mampu memproses maklumat dan otaknya menunjukkan banyak aktiviti.

Pendedahan mengejutkan itu dibuat doktor yang melakukan ujian baru-baru ini ke atas pemimpin itu yang berusia 84 tahun.

Pasukan perubatan yang membuat ujian ke atas Ariel Sharon minggu lalu berkata, imbasan menunjukkan bekas pemimpin itu memberi tindak balas kepada gambar keluarganya dan rakaman suara anak lelakinya.

Mereka, bagaimanapun menekankan, tidak jelas sejauh mana Sharon memahami apa yang ditunjukkan kepadanya sambil menekankan dia tiada peluang pulih seperti biasa.

"Kami terkejut melihat aktiviti otaknya. Dia dapat maklumat dan memprosesnya. Dia dengar apa yang dikatakan.

"Sejauh mana tahap dia memahami, kami tidak dapat kata dengan pasti tetapi petunjuk menggalakkan," kata ketua Pusat Sains Saraf Zlotowski di Universiti Ben-Gurion,i Beersheba, Dr Alon Friedman.

Sharon berada di kemuncak kuasa politiknya pada awal 2006 apabila serangan angin ahmar melumpuhkannya. Sharon koma sejak itu dan disambungkan kepada mesin pernafasan.
Keluarganya berkata, kadang-kadang dia membuka mata dan menggerakkan jari, tetapi tiada banyak maklumat didedahkan mengenai keadaan Sharon. Tiada siapa juga berkata kognitifnya kembali berfungsi.

Minggu lalu, sepasukan saintis Israel dan Amerika Syarikat mengadakan beberapa pemeriksaan ke atasnya di Hospital Soroka di Beersheba, menggunakan mesin imbasan MRI yang baru dibangunkan untuk menilai fungsi otaknya.

Friedman berkata, prosedur dua jam itu antara yang pertama dilakukan ke atas pesakit yang mengalami pendarahan otak. Ia juga jarang dilakukan ke atas pesakit pada usia Sharon.

AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Jepun silap beli pulau

Written By Unknown on Selasa, 29 Januari 2013 | 16.40

Tokyo: Bekas duta Jepun ke China menyifatkan tindakan Tokyo membeli pulau Senkaku sebagai satu kesilapan dan tidak kena pada masanya.

Pulau itu yang dikenali sebagai Diaoyu di China mencetuskan kemarahan Beijing hingga menjejaskan hubungan dua hala.

Uichiro Niwa yang berkhidmat sebagai duta Tokyo ke Beijing hingga lewat tahun lalu juga mengakui beliau sendiri tidak memahami mengapa negaranya mengambil langkah membeli pulau berkenaan yang turut dituntut Taiwan.

Akses maklumat

"Mereka mungkin ada akses kepada maklumat yang saya tidak tahu. Tetapi, secara peribadi, saya berpendapat masanya tidak sesuai," kata Niwa di Kelab Wartawan Asing Jepun.

Niwa yang juga wakil sektor swasta pertama menjadi duta ke China ketika itu mendapati pandangannya bercanggah dengan kerajaan dalam isu berkenaan.

Ia selepas Perdana Menteri ketika itu, Yoshihiko Noda meneruskan rancangan membeli beberapa pulau berkenaan daripada pemilik persendirian.
Ia dianggap bertujuan menghalang pelan Gabenor Tokyo, Shintaro Ishihara membeli dan membangunkannya. Apapun, Beijing nyata marah.

Eksport Jepun terjejas

Ia menyebabkan protes anti-Jepun membawa kepada insiden ganas di China dan menjejaskan dengan teruk eksport Jepun ke pasaran luar terbesarnya.

"Kerajaan Jepun sepatutnya menimbang kemungkinan bahawa mungkin inilah persoalan sebenar," kata Niwa.

Sekurang-kurangnya, katanya lagi, Jepun sepatutnya memberi penjelasan lebih baik kepada China dan masyarakat antarabangsa.

Niwa percaya, Beijing tidak mahu isu tuntutan wilayah bertukar kepada konflik bersenjata.

Beliau juga percaya, China menganggap tindakan Jepun sebagai mencabul persetujuan tidak bertulis untuk mengelak meningkatkan ketegangan.

"Ada pihak di China menganggap Jepun mencabul hubungan berasaskan kepercayaan," katanya.

Beijing juga menganggapnya satu penghinaan kerana berlaku selepas mesyuarat antara Noda dan Presiden Hu Jintao.

"Malang sekali pihak Jepun tersilap mentafsir keadaan," katanya. - AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Tokoh Islam India ajak Rushdie debat

Mumbai: Sekumpulan tokoh yang juga anggota Lembaga Undang-Undang Persendirian Muslim Seluruh India (AIMPLB) menjemput penulis The Satanic Verses, Salman Rushdie untuk berdebat mengenai Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Tokoh berkenaan yang menyokong diadakan dialog dengan Rushdie mengambil bahagian dalam seminar Maulidur Rasul di sini, kelmarin.

Mereka mengambil kesempatan daripada laporan bahawa Rushdie mahu melawat Mumbai untuk mempromosi filem Midnight's Children berasaskan novelnya.

Seminar berkenaan ditaja oleh pertubuhan Wahdat-e-Islami Hind, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memprotes terhadap Rushdie dan penulis Bangladesh, Taslima Nasreen.

Terkejut cadang debat

Ramai peserta seminar dikatakan terkejut apabila seorang anggota AIMPLB yang juga peguam berpengalaman, Yusuf Muchala mencadangkan debat itu.

"Tidakkah lebih baik jika kita tidak menentang kunjungannya ke Mumbai sebaliknya kita jemput Rushdie ke sini dan mengadakan soal jawab dengannya.
"Jika dia berani, dia patut menjelaskan kepada kita mengapa dia menulis buku yang menghina (Nabi) itu," katanya.

Yusuf yang mengetuai bahagian perundangan AIMPLB turut merayu penduduk Islam tidak melakukan bantahan ganas terhadap Rushdie.

Sokong cadangan

Cadangan Yusuf disokong profesor undang-undang Universiti Aligarh Muslim, Dr Shakil Samdani yang turut menjadi speaker seminar berkenaan.

"Rushdie wajar mendengar pandangan orang Islam secara baik. Orang Islam juga patut berdebat dengannya dan tidak mengeluarkan ancaman bunuh atau membantah lawatannya ke sini," katanya. - AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Suu Kyi yakin boleh jadi presiden

Written By Unknown on Senin, 28 Januari 2013 | 16.40

Washington: Tokoh pembangkang Myanmar, Aung San Suu Kyi, menyuarakan keyakinan tentera yang berpengaruh di negara itu akan menyokong pindaan Perlembagaan yang akan membolehkan beliau menjadi presiden.

Pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu, yang dikenakan tahanan dalam rumah selama dua dekad sehingga pembaharuan baru-baru ini, berkata beliau berharap Parlimen akan meluluskan semakan semula Perlembagaan walaupun tentera menguasai beberapa kerusi penting.


Pinda perlembagaan

"Saya tidak bimbang mengenainya. Saya rasa anggota tentera, seperti juga rakyat lain, mahu melihat Burma yang gembira, kuat, dan menjadi lebih harmoni. Disebabkan itu, saya tidak mengenepikan kemungkinan pindaan menerusi tolak ansur yang dirundingkan," katanya merujuk kepada nama lama Myanmar.

Beliau berkata demikian kelmarin dalam lawatan ke Hawaii.

Lancar pembaharuan

Presiden Thein Sein memeranjatkan pengkritik dengan melancarkan pembaharuan selepas mengambil alih jawatan pada 2011 termasuk membebaskan tahanan politik, melonggarkan penapisan dan membenarkan Suu Kyi menyertaiParlimen.
Thein Sein berkata, beliau akan menerima Suu Kyi sebagai presiden jika Parti Liga Kebangsaan pimpinannya menang dalam pilihan raya 2015, tetapi sebahagian aktivis mempersoalkan jika ada pihak yang sanggup membenarkan tentera melepaskan kuasa.

Menurut Perlembagaan 2008, jawatan presiden tidak boleh dipegang sesiapa yang pasangan atau anaknya memegang kerakyatan asing. Suu Kyi berkahwin dengan pakar akademik Britain, mendiang Michael Aris dan mempunyai dua anak. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Ramai selebriti calon pilihan raya Indonesia

Jakarta: Pilihan raya Indonesia tahun depan bakal menyaksikan ramai selebriti bertanding berikutan kecenderungan parti politik mengumpan golongan itu menyertai mereka dan bertanding sebagai calon dengan harapan akan menang.

Parti Persatuan Pembangunan (PPP) mengumumkan ia menyasarkan selebriti untuk menyertainya, sudah mengadakan perbincangan dengan sekurang-kurangnya lapan daripada mereka.

Jumaat lalu, Timbalan Ketua Setiausaha PPP, Arwani Thomafi, menamakan model tahun 1980-an, Okky Asokawati; bekas model yang menjadi usahawan, Ratih Sanggarwati; penyanyi 1980-an, Emilia Contessa; penyanyi utama kumpulan Ungu, Sigit 'Pasha' Purnomo Syamsuddin Said dan penyanyi dangdut, Nassar, sebagai bakal calon.

Hati-hati pilih selebriti

Setiausaha Agung PPP, Mochammad Romahurmuziy, berkata partinya amat memilih selebriti yang ingin didekati. Mereka yang mempunyai imej buruk atau dianggap tidak cekap tidak akan mendapat undian.

Parti Mandat Negara (PAN), yang dikenali dengan ramai wakil rakyat selebriti, Isnin lalu berkata sekurang-kurangnya lima selebriti memohon untuk bertanding bagi pihak parti itu.

"Mereka yang mendaftar ialah Marissa Haque, Ikang Fawzi, Hengky Kurniawan, Lucky Hamzah dan Rafi Ahmad," kata Setiausaha Agung PAN, Taufik Kurniawan.
Taufik berkata, partinya tidak mengutamakan selebriti dan mereka perlu melalui proses saringan ketat sama seperti calon bukan selebriti.

"Semuanya bergantung kepada prestasi politik mereka," katanya.

Parti Golkar menjadi yang pertama merekrut selebriti untuk pilihan raya 2014.
Mei lalu, ia mengumumkan pelakon Desy Ratnasari, penyanyi Ari Lasso, Katon Bagaskara dan bekas ratu cantik, Artika Sari Devi, sebagai menjalani program latihan selama setahun bagi menyediakan mereka untuk bertanding merebut jawatan dalam Dewan Perwakilan. - AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Elak kahwin lelaki Mesir

Written By Unknown on Minggu, 27 Januari 2013 | 16.40

Kaherah: Majlis Hak Asasi Wanita Mesir (NCWR) baru-baru ini mengecam fenomena lelaki Mesir berkahwin dengan pelarian Syria.

Ramai penduduk Syria menjadi pelarian ke Mesir berikutan konflik di tanah air mereka. Jumlah pelarian Syria berdaftar mencecah 8,858 orang menurut data paling terbaru Suruhanjaya Tinggi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR).

Majlis itu dalam satu kenyataan berkata, perkahwinan itu adalah "jenayah dilakukan ke atas wanita atas nama agama, apabila ulama menggalakkan lelaki muda Mesir berkahwin dengan pelarian Syria."

Sesetengah lelaki mewajarkan perkahwinan itu sebagai langkah pemurah untuk menyelamatkan gadis Syria daripada status pelarian mereka walaupun hakikatnya mereka dipergunakan untuk mendapatkan wang manakala mas kahwin untuk perkahwinan itu biasanya tidak melebihi 500 pound Mesir (RM229.17).

Aktivis berkempen

Sebuah akhbar tempatan menerbitkan kisah dengan tajuk 'Tragedi tersembunyi perkahwinan Syria di Mesir' yang melaporkan fenomena itu menghasilkan broker untuk perkahwinan itu.

Menurut status undang-undang Syria, usia minimum untuk berkahwin bagi gadis ialah 16 tahun, manakala undang-undang tidak mengawal perkara itu mengikut perlembagaan baru Mesir.
Kempen dilancarkan dalam laman rangkaian sosial. Aktivis mewujudkan ruangan di Facebook menggunakan nama 'Pelarian tidak ditawan' dan satu hashtag di Twitter mengecam isu terbabit.

Majlis mendesak siasatan terhadap angka disebut media dengan pembabitan individu yang menjadi broker perkahwinan supaya tindakan wajar diambil. - Agensi


16.40 | 0 komentar | Read More

44 profesional EPL curang kepada isteri

Pemain Chelsea, Manchester United antara ahli laman web lelaki hidung belang

LONDON: Seramai 44 pemain profesional Liga Perdana Inggeris (EPL) curang dalam rumah tangga termasuk dari kelab Chelsea dan Manchester United.

Jurucakap sebuah laman web mencari teman bagi orang yang sudah berkahwin membuat pendedahan itu semalam.

Katanya, 44 pemain termasuk seorang dari dua kelab ternama Inggeris itu menjadi ahli UndercoverLovers.com sejak setahun lalu.

"Akhbar sudah lebih setahun tidak mendedahkan kecurangan pemain bola sepak. Adakah ini bermakna mereka sudah insaf? Maaf, kepada isteri pemain bola sepak, sudah tentu tidak.

"Kami mengenal pasti 44 pemain profesional yang menyertai UndercoverLovers sejak setahun lalu.

"Kami jamin anggota laman web ini tidak akan dikenali, jadi kami tidak akan dedah identiti mereka.

"Bagaimanapun, kami boleh dedah bahawa seorang pemain Manchester United dan seorang dari Chelsea menjadi ahli UndercoverLovers.com," kata Emily Pope.
"Dalam satu tinjauan baru-baru ini, kami mendapat tahu bahawa rahsia 89 peratus ahli kami terjaga.

"Sistem keselamatan kami membolehkan pemain yang mungkin dikenali ramai itu bertemu teman yang dicari, seseorang yang tidak akan mendedahkan perkara itu keesokannya," katanya lagi.

Pengurusan UndercoverLovers.com mendakwa, 12 pemain EPL, 19 daripada Liga 'Championship', lapan dari Liga Satu dan lima dari Liga Dua mendaftar sejak Januari tahun lalu.

Laman web itu mendakwa menjadi agensi utama mencari kekasih sulit dengan lebih 695,000 ahli, dua peratus daripada mereka yang sudah berkahwin di Britain.

Sejak 25 Disember lalu, UndercoverLovers mendapat 24,671 ahli baru dan daripada angka itu, 13,835 (56 peratus) adalah wanita dan 10,836 (44 peratus) lelaki.

Pope juga berkata, tinjauan mereka pada tahun lalu menunjukkan ahli wanita secara purata mendapat 2.3 kekasih berbanding 1.8 bagi lelaki. – Agensi


16.40 | 0 komentar | Read More

Kontroversi 'Vishwaroopam'

Written By Unknown on Sabtu, 26 Januari 2013 | 16.40

Cheenai: Filem arahan bintang filem Tamil, Kamal Haasan (gambar), Vishwaroopam dibenarkan untuk ditayangkan di Kerala tetapi ditunda siarannya di beberapa tempat lain selepas didakwa menghina Islam dan al-Quran.

Protes di Tamil Nadu menyebabkan tayangannya ditangguhkan selama dua minggu manakala tayangannya di Hyderabad dihentikan kerana polis gusar dengan isu keselamatan.

Di Karnataka, tayangannya ditunda sehingga esok. Tetapi, di Kerala, 86 pawagam sudah menyiarkan filem berkenaan. Sebanyak 25 peratus penduduk Kerala adalah beragama Islam. - AGENSI
16.40 | 0 komentar | Read More

Warga Barat digesa tinggalkan Benghazi

5 negara gusar ancaman ala Algeria terhadap rakyat di Libya

LONDON: Britain, Jerman, Kanada, Belanda dan Australia semalam menggesa warga negara masing-masing meninggalkan kota Benghazi di timur Libya dengan segera.

Lima negara itu bimbang pekerja mereka akan menerima nasib sama seperti yang berlaku di Algeria, baru-baru ini.Awal bulan ini, Konsul Itali yang berada dalam kereta ditembak tetapi tidak cedera. Pegawai Eropah berkata, sekolah adalah antara sasaran.

Kami sedar ada ancaman serius terhadap warga Barat di Benghazi. Ada risiko mereka menjadi sasaran di Libya selepas Perancis campur tangan di Mali bulan ini," Kenyataan Jabatan Hal Ehwal Luar Australia

Tutup kedutaan

Britain menutup kedutaannya di Benghazi dan mengeluarkan notis rasmi supaya warga negaranya tidak pergi ke kota kedua terbesar Libya selain tempat lain di negara berkenaan.

Langkah itu diambil beberapa jam selepas Perdana Menteri Britain, David Cameron memberi amaran serangan terhadap sebuah loji gas di Algeria sebahagian kempen berpanjangan terhadap pengganas di seluruh dunia.
"Kami sedar ancaman terhadap warga Barat di Benghazi dan menggesa rakyat Britain supaya keluar dengan segera," menurut kenyataan Pejabat Hal Ehwal Luar Britain, di sini.

Amaran sama disiarkan Jabatan Hal Ehwal Luar Australia. Jerman dan Belanda turut mengambil langkah sama.

Seorang pegawai Jabatan Hal Ehwal Luar Kanada mengesahkan e-mel menasihatkan warga negara itu keluar dari Benghazi sudah dihantar kepada mereka.

Kerajaan Libya memberi reaksi marah terhadap amaran berkenaan kerana tiada maklumat baru mewajarkan langkah itu.

Libya tuntut penjelasan

Timbalan Menteri Dalam Negeri Libya, Abdullah Massoud, terkejut dengan tindakan lima negara berkenaan dan menuntut penjelasan lanjut.

"Kami sedar ada masalah keselamatan di Benghazi tetapi tiada maklumat perisikan baru mewajarkan langkah itu, katanya. - AFP/AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Lokasi agama puak minoriti dimusnah

Written By Unknown on Kamis, 24 Januari 2013 | 16.40

Beirut: Kumpulan pemberontak Syria sengaja memusnahkan atau membenarkan kawasan agama minoriti di utara negara dirompak pada November dan Disember 2012, kata Human Right Watch semalam.

"Pemusnahan kawasan agama semakin menimbulkan kebimbangan mazhab dan memburukkan tragedi di negara itu, dengan berpuluh ribu terbunuh.

Syria akan kehilangan kekayaan kepelbagaian budaya dan agama jika kumpulan bersenjata tidak menghormati tempat ibadat.

Pemimpin kedua-dua pihak perlu menghantar mesej sesiapa yang memusnahkan kawasan itu mesti bertanggungjawab," Sarah Leah Whitson, Pengarah Asia Barat pertubuhan itu beribu pejabat di New York


"Pemimpin kedua-dua pihak perlu menghantar mesej bahawa sesiapa yang memusnahkan kawasan itu mesti bertanggungjawab," kata pengarah Asia Barat pertubuhan itu yang beribu pejabat di New York, Sarah Leah Whitson.

Di kampung Zarzour di Idlib, penyelidik menemui bukti kerosakan yang disengajakan kepada tempat ibadat Syiah, husseiniya, oleh pejuang pembebasan selepas berjaya menawan tempat itu.

Tingkap pecah, batu solat bertaburan di atas lantai, dinding terbakar dan apa yang kelihatan seperti sisa sejadah terbakar berada di atas lantai.

Pemberontak rai kejayaan
Rakaman yang dikirim ke YouTube pada 12 Disember menunjukkan pemberontak meraikan kejayaan mereka di bandar itu dengan husseiniya terbakar di belakang.

Pejuang mengumumkan pemusnahan sarang Syiah dan Rafida, perkataan yang digunakan untuk merujuk mazhab minoriti, asal mazhab Alawi yang dianut Presiden Bashar al-Assad.

Penduduk berkata, tentera menggunakan husseiniya sebagai berek.

Walaupun tentera berundur selepas jemaah merungut, penembak curi kekal berada di atas bumbung dan berada di di situ ketika pejuang pembebasan tiba.

HRW mengecam penggunaan husseiniya oleh kerajaan untuk tujuan ketenteraan tetapi berkata ia tidak mewajarkan kerosakan yang dilakukan pejuang pembebasan.

Di perkampungan Kristian Ghasaniyeh dan Jdeideh di Latakia, penduduk berkata penyerang yang beroperasi atas nama pembangkang memecah masuk gereja dan mencuri selepas mereka menawan tempat itu. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Bayu dingin Artik badai AS

Tiga maut, suhu turun hingga –46 darjah Celsius

New York: Angin kencang dari Kutub Utara membadai kawasan Midwest dan timur laut Amerika Syarikat kelmarin, menyebabkan sekurang-kurangnya tiga kematian akibat cuaca sejuk manakala beberapa lokasi berdepan suhu sehingga –46 darjah Celsius.

"Kita menyaksikan suhu yang mengancam nyawa di Minnesota dan utara Wisconsin. Ia hampir dengan sumber udara dingin dari Artik dan Kanada" kata pakar ramalan cuaca di Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Mike Sowko.

Fenomena dikenali 'Arctic blast' itu menyebabkan angin kencang bertiup merentasi Great Lakes sejak beberapa hari lalu sehingga kelmarin juga menyebabkan salji turun setebal 46 sentimeter di timur laut Ohio, barat laut Pennsylvania dan utara New York.

"Kebanyakan bahagian di tenggara Great Lake diselaputi salji," kata Sowko.

Punca kemalangan

Keadaan dingin dipersalahkan sebagai punca kemalangan membabitkan 76 kenderaan di Lebuh Raya 275 Ohio berhampiran Cincinnati Isnin lalu, mengorbankan budak perempuan berusia 12 tahun dan mencederakan berpuluh lagi, kata pihak berkuasa.
Di beberapa tempat lain, dua kematian dilaporkan akibat terdedah kepada cuaca sejuk, menurut laporan media.

Di barat laut Minnesota, pejabat penguasa Mahnomen berkata seorang lelaki ditemui dalam bangunan penyimpanan Sabtu lalu, meninggal dunia akibat hiportemia, menurut laporan bedah siasat awal, lapor akhbar Bemidji Pioneer.

Kematian ketujuh

Lelaki dari Des Plaines, Illinois, meninggal dunia akibat hiportemia minggu lalu, kematian ketujuh dikaitkan dengan cuaca sejuk musim ini, lapor Chicago Tribune kelmarin, memetik kenyataan pejabat pemeriksa kesihatan Daerah Cook.

Sekolah, yang dijangka menyambung kelas kelmarin selepas cuti sehari sebelumnya bagi mengingati Dr Martin Luther King, dibatalkan di beberapa negeri termasuk Massachusetts dan Ohio.

Amaran mengenai angin sejuk dikeluarkan di seluruh Midwest dan timur laut negara itu kelmarin, dengan suhu panas pada musim sejuk lalu menjadikan Januari semakin dingin, kata Sowko. - REUTERS

INFO: Arctic blast
* Fenomena Artick blast menyebabkan angin kencang dan salji turun dengan lebat.


16.40 | 0 komentar | Read More

Bukti DNA cukup dakwa perogol

Written By Unknown on Selasa, 22 Januari 2013 | 16.40

New Delhi: Siasatan DNA ke atas pakaian dipenuhi darah dan calitan tubuh mengaitkan lima lelaki dan seorang juvana yang merogol secara beramai-ramai dan membunuh seorang wanita di sini, menyediakan cukup bukti untuk mendakwa mereka.

Pendakwa raya berkata kes mereka juga akan bergantung kepada rekod telefon bimbit dan keterangan mangsa dan seorang rakan lelaki yang diserang bersamanya di dalam sebuah bas bergerak di ibu negara India itu 16 Disember lalu. Bagaimanapun, perbicaraan mungkin diadakan secara tertutup.

Peguam bela memberitahu Reuters mereka sedang bersedia menolak hasil siasatan forensik dan mendakwa sebagai sengaja diada-adakan.

Mereka berkata pembelaan juga akan berhujah bahawa kes itu tidak selamat kerana polis bergegas menjalankan siasatan selepas kemarahan rakyat terhadap kes itu.

Dua daripada empat peguam bela berkata anak guam mereka diseksa ketika di dalam tahanan supaya membuat pengakuan yang kelihatan mencurigakan.

Semua kenyataan seolah-olah sama. Ia seperti seseorang sudah membacanya kepada mereka, kata peguam Manohar Lal Sharma kepada Reuters.

Seorang jurucakap polis enggan mengulas berhubung pengakuan itu dan menegaskan adalah menjadi dasar jabatan itu untuk tidak menjawab dakwaan yang dibuat.
Kami tiada ulasan untuk dibuat dalam laporan media. Jika ada apa-apa ia akan dilakukan di mahkamah. Kami tidak akan terbabit dalam perdebatan media, katanya.

Seorang pegawai lain berkata tertuduh perlu menjalani ujian perubatan dalam tahanan dan jika mereka dipukul, ia akan kelihatan dan jika peguam serius berhubung tuduhan itu, mereka perlu ke mahkamah berbanding menyiarkan pandangan menerusi media.
REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

Taliban serang polis Kabul sembilan jam

Kabul: Ibu pejabat polis di ibu negara Afghanistan diserang pasukan penyerang bunuh diri Taliban awal semalam menyebabkan tiga anggota keselamatan terbunuh.

Tembak menembak antara polis dan militan itu berlangsung selama sembilan jam yang menyaksikan askar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) cuba membantu pasukan keselamatan.

Pertentangan terbaru itu adalah yang paling lama sejak militan berkenaan melakukan beberapa serangan serentak di Kabul pada April tahun lalu membabitkan masa 18 jam.

Tiga daripada lima penyerang terbunuh dalam serangan itu manakala dua lagi yang membawa bom berada dalam bangunan lima tingkat di barat Kabul itu dan menembak anggota keselamatan sebelum mati ditembak.

Semuanya sudah berakhir. Dua pengganas terakhir sudah mati dan mereka tidak sempat meletupkan bom yang dipakai pada badan, kata Ketua Polis Kabul, Jeneral Mohammad Ayoub Salangi.

Sebab keadaan berlanjutan begitu lama bagi menundukkan dua lelaki itu adalah kerana anggota polis berhati-hati.

Ada banyak dokumen penting di dalam bangunan itu jadi kami perlu berhati-hati supaya tidak merosakkannya, katanya lagi.
Empat anggota polis trafik, dua anggota pasukan khas dan enam orang awam cedera, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jeneral Abdul Rahman.

Jurugambar agensi berita berkata, askar Norway dilihat turut menembak militan berkenaan.

Militan dilaporkan menyerang ibu pejabat polis kerana percaya kemudahan latihan pasukan keselamatan dikendalikan tentera asing.

Serangan kali ini berlaku kurang seminggu selepas sekumpulan penyerang bunuh diri menyerang ibu pejabat perisikan di Kabul menyebabkan seorang pengawal maut dan berpuluh-puluh orang awam cedera.
AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

15 mayat rentung

Written By Unknown on Minggu, 20 Januari 2013 | 16.40


Algiers: Komando Algeria semalam menemui 15 mayat rentung di loji gas In Amenas yang diserang pemberontak dan usaha mengenal pasti identiti mayat itu sudah dilancarkan. Mayat itu ditemui selepas tentera Algeria melancarkan operasi untuk membebaskan berpuluh-puluh pekerja asing dan tempatan yang ditahan di situ. Belum ada maklumat bagaimana mangsa maut, lapor agensi berita Mauritania, ANI yang sentiasa berhubung dengan penculik menamakan mereka sebagai 'Briged Bertopeng'.

Kumpulan itu bersekutu dengan pergerakan Islamic Maghreb (AQIM) yang ada hubungan dengan al-Qaeda sebelum menamatkan kerjasama bulan lalu, kata pakar keganasan Perancis.

Memetik sumber tidak dinamakan, ANI menyatakan penculik berasal dari Algeria, Kanada, Mali, Mesir, Niger dan Mauritania.

Sky News melaporkan, tentera Algeria terus mengepung loji gas berkenaan dan helikopter membantu pemantauan.
Tentera Algeria cuba membebaskan tebusan kerana penculik menuntut dibenarkan membawa meraka ke Libya.

Militan al-Qaeda menguasai utara Mali tahun lalu dan ramai daripada mereka adalah dari Algeria.

Keadaan itu memaksa Perancis campur tangan.

Persoalan timbul selepas penculik itu mudah masuk ke loji berkenaan tiga hari lalu.

Loji itu menghasilkan 10 peratus gas asli yang dijual Algeria untuk mendapat hasil eksport.

Pegawai Algeria berkata, penyerang mungkin mendapat bantuan orang dalam kerana beratus-ratus pekerja adalah penduduk tempatan.

Serangan itu dirancang sejak dua bulan lalu selepas seorang anggota Briged Bertopeng itu memberitahu agenda mereka kepada ANI.

Anggota kumpulan itu berkata, mereka memilih untuk bertindak di Algeria kerana menjangka negara itu akan menyokong usaha menyokong tindakan mengusir pelampau.

AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Hobbit pernah wujud di Pulau Flores

Penyelidik AS buat kajian tulang fosil Homo Floriensis

Flores: Manusia kerdil digelar 'Hobbit' mungkin pernah tinggal di kepulauan ini di Indonesia, demikian menurut kajian terbaru.

Namun, adakah itu benar? Hobbit, banyak diceritakan sebagai makhluk fiksyen dalam filem Lord of The Ring.

Mereka cenderung digambarkan sebagai bertubuh kecil dan berukuran separuh daripada ketinggian manusia. Mereka juga memiliki telinga runcing seperti Elf atau Dwarf (bunian atau orang katik).

"Makhluk kerdil itu berukuran tiga kaki enam inci atau kira-kira 100 sentimeter (1 meter), banyak menyerupai Hobbit. Penduduk dengan fizikal kecil di Flores bukan manusia moden yang berpenyakit," kata Caley Orr, seorang penyelidik daripada Jabatan Anatomi Universiti Midwestern Amerika Syarikat kepada DiscoveryNews.

Penyelidik menemui tulang fosil yang dikaitkan dengan fenomena baru Hobbit (Homo Floriensis). Bersama penemuan baru lain yang akan membantu mendedahkan jenis fizikal makhluk, bagaimana tabiat dan asal usul mereka.

Penemuan baru itu diceritakan dalam Journal of Human Evolution berdasarkan penemuan tulang pergelangan tangan di Pulau Flores, Indonesia.
AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Kumpulan Bertopeng ikrar mahu culik lagi

Written By Unknown on Sabtu, 19 Januari 2013 | 16.40

Dakar: Kumpulan yang mendakwa bertanggungjawab menculik orang asing di sebuah loji gas padang pasir di Algeria sedia melakukan lebih banyak operasi lagi.

Sehubungan itu, briged 'Kumpulan Bertopeng' (The Masked Ones) memberi amaran kepada penduduk tempatan supaya menjauhi lokasi syarikat asing, lapor agensi berita ANI yang memetik jurucakapnya.

"Kami berikrar akan melakukan operasi baru selepas ini terhadap pemerintah," katanya.

Mengulas mengenai tindakan menculik pekerja asing dan tempatan di In Amenas, dia berkata, kumpulan itu sudah berlatih hampir dua bulan mengenai tindakan mengusir askar asing di Mali.

"Kami tahu kerajaan (Algeria) akan jadi sekutu Perancis menentang Azawad," katanya, merujuk kepada nama pemberontak di Mali.

Tidak dapat disahkan laporan itu tetapi ANI ada hubungan rapat dengan kumpulan yang diketuai lelaki Algeria, Mokhtar Belmokhtar, veteran mujahidin Afghanistan dan perang saudara Algeria selain digelar 'Mr Marlboro.' kerana terbabit dalam penyeludupan di kawasan Sahara.

Enam tebusan maut

Sekurang-kurangnya 22 tebusan warga asing masih tidak ditemui sejak Jumaat lalu di loji gas berkenaan yang masih dikepung askar Algeria.

Sekurang-kurangnya enam orang atau mungkin lebih ramai menemui ajal termasuk tebusan Britain, Filipina dan Algeria selepas tentera kerajaan cuba membebaskan mereka di loji Ain Amenas, 1,300 kilometer ke selatan Algiers.

Berpuluh-puluh lagi pekerja masih dicari termasuk warga Amerika, Britain, Perancis, Norway, Romania, Malaysia, Jepun dan Algeria.

Kerajaan Algeria yang sudah biasa menghadapi keganasan menolak tawaran asing untuk membantu dan mengawal aliran maklumat kepada pihak lain termasuk pemimpin Barat. - AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

China jadikan bunuh diri perbuatan jenayah

Beijing cuba tangani protes penduduk Tibet membakar diri

Beijing: China cuba menangani tindakan membakar diri penduduk Tibet dengan menjadikan bunuh diri sebagai jenayah selain menahan rakan penunjuk perasaan dan merampas beribu-ribu piring televisyen satelit.

Tindakan keras itu memberikan petunjuk awal kepemimpinan baru negara itu tidak akan mengalah kepada Tibet di sebalik bantahan dengan membakar diri dan kritikan antarabangsa.

Selama berbulan-bulan, ketika penduduk Tibet di seluruh barat China membakar diri, pihak berkuasa bertindak balas dengan menghantar anggota keselamatan mengepung kawasan berkenaan dan menghalang sebarang aliran keluar maklumat tetapi usaha itu tidak menghentikan atau mengurangkan bantahan.

Kes membakar diri memuncak November lalu ketika Parti Komunis China mengadakan Kongres mengenai peralihan kepemimpinan.

Kerja pasukan asing

Disember lalu, Beijing mengumumkan menerusi akhbar bahawa kejadian itu kerja pasukan asing yang mahu memisahkan Tibet dengan Tanah Besar.

Ia memberi amaran, mereka yang membantu orang lain membakar diri boleh didakwa kerana membunuh. Penangkapan segera dilakukan.
"Tibet semakin mendapat tempat dalam berita utama dunia kerana kes membakar diri dan ada kebimbangan untuk mengawalnya.

"Kepemimpinan baru terutama bimbang untuk memastikan masalah ini tidak menjejaskan reputasi mereka," kata Profesor Undang-Undang dan Pakar Tibet di Universiti Hong Kong, Michael Davis.

Beliau menjangka Beijing akan terus menggunakan kekerasan.

Hampir 100 sami Tibet, paderi wanita dan penduduk biasa membakar diri sejak 2009, menggesa Beijing membenarkan kebebasan beragama lebih luas dan kepulangan pemimpin tertinggi Tibet yang kini hidup dalam buangan, Dalai Lama.

"Saya rasa kes bakar diri dan semua yang lain menunjukkan mereka tidak diterima penduduk Tibet dan semakin China menindas, semakin teruk tentangan yang mereka hadapi," kata Davis. - AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Tak cukup bukti tahan PM Pakistan

Written By Unknown on Jumat, 18 Januari 2013 | 16.40

Islamabad: Ketua agensi antirasuah Pakistan memberitahu Mahkamah Agung semalam beliau tidak mempunyai bukti mencukupi untuk mengambil tindakan terhadap Perdana Menteri, Raja Pervez Ashraf, dan 15 yang lain atas tuduhan rasuah.

Pengerusi Biro Akauntabiliti Negara (NAB), Fasih Bokhari, memberitahu Ketua Hakim Iftikhar Muhammad Chaudhry, siasatan mengenai dakwaan rasuah projek jana kuasa elektrik pada 2010 itu belum siap dan berkata ia mengambil masa untuk mencari bukti mendakwa mereka yang terbabit.


Kemas kini maklumat

Kelmarin, Chaudhry mengarahkan semua yang dituduh atas dakwaan rasuah dana itu ditahan selain meminta NAB me-ngemas kini maklumat kepada mahkamah mengapa ia tidak terjadi.

Pada Mac 2012, mahkamah mengarahkan prosiding perundangan terhadap Raja, yang ketika itu mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Asif Ali Zardari dan menyandang jawatan sebagai Menteri Air dan Elektrik ketika projek jana kuasa itu ditubuhkan.

Namun semalam, NAB memberitahu Mahkamah Agung ia adalah Mahkamah Perlembagaan dan tidak boleh menyiasat kes berkenaan.

Tunjuk perasaan
"Mandat kami adalah untuk memastikan penghakiman dilaksanakan," kata Chaudhry.
Sementara itu seorang ulama, Tahir-ul Qadri, mengetuai berpuluh ribu penunjuk perasaan di luar Parlimen menuntut kerajaan meletak jawatan. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Pelawak kena penjara 2 tahun

Yosawaris Chuklom bersalah hina raja Thailand

Bangkok: Sebuah mahkamah Thailand menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas seorang pelawak yang juga penyokong kumpulan 'Baju Merah' kerana menghina raja negara itu.

Yosawaris Chuklom, 54, yang dikenali dengan nama Jeng Dok-chik didapati bersalah di bawah undang-undang menderhaka kepada raja, berikutan satu ucapan ketika perhimpunan besar-besaran pada 2010, kata peguamnya Thamrong Lakdaen.


Tuduhan berasingan

Thamrong berkata, pelawak terbabit juga menghadapi tuduhan berasingan atas dakwaan keganasan kerana pembabitan dalam bantahan jalanan Baju Merah 2010 di Bangkok, akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman terbabit.

Mengikut undang-undang, sesiapa didapati bersalah memfitnah Raja Thailand, permaisuri atau waris mereka berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun.

"Pada awalnya dia dihukum tiga tahun tetapi hakim mengurangkan hukuman kepada dua tahun disebabkan bukti yang diberikan," katanya.

Subjek sensitif

Kerabat diraja adalah subjek sensitif di Thailand. Raja Bhumibol Adulyadej, 85, amat dihormati rakyatnya tetapi dimasukkan ke hospital sejak September 2009.

Aktivis hak asasi mendakwa undang-undang menderhaka raja dipolitikkan dengan mengatakan dakwaan itu dikaitkan dengan pergerakan Baju Merah.

Thailand dilanda perpecahan politik sejak rampasan kuasa 2006 yang menumbangkan Thaksin Shinawatra.

Pada Mac 2010 puluhan ribu penyokong Baju Merah berhimpun di Bangkok menuntut pilihan raya segera.

Kira-kira 90 orang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

19 maut, 107 cedera kereta api tergelincir

Written By Unknown on Rabu, 16 Januari 2013 | 16.40

Kaherah: Sebuah keretapi membawa rekrut tentera tergelincir di barat laut Kaherah semalam, menyebabkan 19 terbunuh dan 107 cedera, kata kementerian kesihatan, sekali gus mendedahkan masalah pengangkutan kronik di negara itu.

Keretapi terbabit membawa rekrut muda dari selatan Mesir ke sebuah kem tentera di Kaherah apabila dua gerabak tergelincir dari landasan dalam kejadian selepas tengah malam di kejiranan Badrasheen, Giza, kata pihak berkuasa.

Selamatkan mangsa

Lebih 60 ambulans dihantar ke tempat kejadian dan penyelamat bekerja keras menyelamatkan mangsa dan mengeluarkan mayat dari tempat kejadian.

Perdana Menteri Hesham Kandil disambut dengan kemarahan apabila tiba di tempat kejadian di mana penduduk tempatan menjerit 'anda bertanggungjawab Hesham' ke arahnya.

Pengawal peribadi beliau terpaksa membawa pemimpin terbabit jauh daripada orang ramai, kata seorang jurugambar AFP.

Kemalangan kelima
Mangsa cedera dibawa ke hospital tempatan untuk rawatan, kata kementerian kesihatan. Nahas itu adalah terbaru dalam satu siri bencana pengangkutan melanda Mesir dan berlaku dua minggu selepas seorang menteri pengangkutan dilantik.

Berdasarkan laporan media, ia kemalangan kereta api kelima yang membawa maut selepas Presiden Mohamed Morsi mengangkat sumpah sebagai Presiden Islam pertama Mesir pada Jun. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Perancis tingkat serangan di Mali

Rancangan hantar tentera Afrika makin hampir untuk usir al-Qaeda

Bamako: Perancis meningkatkan serangan udara terhadap pemisah Islam di Mali ketika rancangan menghantar tentera Afrika semakin hampir, disebalik kebimbangan penangguhan boleh membahayakan lagi misi untuk mengusir al-Qaeda dan sekutunya.

Perancis menghantar tentera ke Mali dan melancarkan serangan udara sejak Jumaat di kawasan padang pasir yang dirampas puak Islam tahun lalu.

Kami akan teruskan penghantaran tentera darat dan udara," Francois Hollande, Presiden Perancis


Puak Islam menggabungkan Sayap Afrika Utara al Qaeda (AQIM) dengan kumpulan pemisah Mali, Pergerakan Untuk Perpaduan dan Jihad di Afrik Barat (MUJWA) dan Ansar Dine.

Ketua pertahanan Afrika Utara bertemu di Bamako semalam, untuk meluluskan rancangan mempercepatkan penghantaran 3,300 tentera serantau untuk memantau dalam rancangan campur tangan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan diketuai Afrika.

Hantar 2,500 tentera

Bercakap dari pangkalan tentera Perancis di Abu Dhabi, Presiden Francois Hollande berkata tentera Perancis di Mali menjalankan serangan tengah malam yang mengenai sasaran mereka.
"Kami akan teruskan penghantaran tentera darat dan udara. Kita mempunyai 750 askar yang dihantar pada masa sekarang dan akan terus ditingkatkan secepat mungkin untuk membolehkan kita menyerahkan tugas kepada Afrika," kata Hollande.

Perancis merancang untuk menghantar sejumlah 2,500 tentera di bekas jajahan mereka bagi menguatkan tentera Mali dan kerja campur tangan oleh Kesatuan Ekonomi Afrika Barat (ECOWAS) membabitkan kumpulan negeri Afrika Barat.

Menteri Luar, Laurent Fabius mengiringi Hollande dalam lawatan bertujuan untuk menguatkan lagi hubungan dagangan dan mempercepatkan penjualan 60 jet pejuang Perancis Rafale, berkata beliau yakin negara Teluk Arab juga membantu dalam kempen Mali. - REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

Menteri nyaris kena bunuh

Written By Unknown on Selasa, 15 Januari 2013 | 16.40

Baghdad: Menteri Kewangan Iraq yang bergaduh dengan Perdana Menteri Nuri al-Maliki, terselamat daripada cubaan membunuh kelmarin apabila konvoinya kena bom.

Konvoi Rafa al-Essawi (atas) berada antara bandar Fallujah dan Abu Ghraib, di barat Baghdad, apabila bom tepi jalan itu meletup kira-kira jam 7 petang waktu tempatan, kata pegawai keselamatan.

Tiada seorang pun rom-bongan Essawi cedera tetapi sebahagian kenderaan rosak. Letupan berlaku di tengah krisis politik yang melanda negara berkenaan. - AFP
16.40 | 0 komentar | Read More

55 negara desak rejim Syria dibicara

Tuntut kes jenayah perang kerajaan Bashar al-Assad dihakimi ICC

New York: Sekurang-kurangnya 55 negara menuntut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghadapkan Syria ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk disiasat berhubung tuduhan jenayah perang.

Tuntutan akan dibuat dalam satu surat dianjurkan oleh Switzerland, yang menghabiskan masa selama tujuh bulan untuk mengumpulkan tandatangan.

Cadangan kami disokong negara Eropah dan juga di kebanyakan rantau lain di dunia," Didier Burkhalter, Menteri Luar Switzerland


Majlis Keselamatan dengan 15 anggotanya adalah satu-satunya badan yang boleh merujuk kes itu kepada ICC.

Jurucakap misi Switzerland di PBB, Adrian Sollberger memberitahu agensi berita bahawa surat terbabit diserahkan semalam.

Sumber diplomatik lain berkata, sebanyak 55 perwakilan negara menandatanganinya dan yang lain masih boleh menyertainya walaupun inisiatif ini mempunyai sedikit peluang untuk berjaya.

Sekatan terhadap Bashar
Majlis Keselamatan PBB berada dalam kebuntuan berikutan konflik Syria selama 22 bulan. Ahli tetap Russia dan China mengun-di tiga resolusi yang akan
mengancam sekatan terhadap Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Disebabkan bukan ahli mahkamah berpejabat di The Hague, kedua-dua negara pastinya menolak sebarang resolusi baru mencadangkan dakwaan jenayah perang. Syria juga bukan ahli.

Negara Eropah memberikan majoriti tandatangan, kata sumber diplomatik.

Amerika Syarikat tidak menandatangani surat kerana bukan ahli ICC tetapi turut menyokong langkah berkenaan, kata diplomat.

"Cadangan kami disokong negara Eropah dan juga di kebanyakan rantau lain di dunia," kata Menteri Luar Switzerland, Didier Burkhalter kepada penyiar negara itu SRF pada Jumaat.

"Kita akan teruskan operasi ini sekarang. Orang ramai perlu sedar bahawa ini jenayah ini tidak akan dihukum," katanya.

Russia menjadi penentang utama sebarang tindakan antarabangsa dalam konflik ini manakala PBB menganggarkan kematian lebih 60,000 penduduk. - AFP

INFO: Konflik Syria
# Konflik bermula pada 15 Mac 2011
# 60,000 penduduk Syria dianggarkan maut setakat ini
# Kerajaan pimpinan Bashar al-Assad disokong Iran
# Pemberontak mendapat sokongan Turki, Qatar, Arab Saudi dan pergerakan militan asing.


16.40 | 0 komentar | Read More

Wanita Yaman tembak, racun suami

Written By Unknown on Minggu, 13 Januari 2013 | 16.40

Keluarga bantu, rancang akibat masalah perkahwinan, cemburu

Sanaa: Sekurang-kurangnya 50 wanita di Yaman didapati bersalah membunuh suami mereka di beberapa wilayah tahun lalu, lapor Kementerian Dalam Negeri.

Pembunuhan berlaku di ibu negara selain wilayah Mahweet, Hajja dan Taiz, menurut data kementerian.

Mereka sepatutnya mengambil langkah dari segi undang-undang termasuk bercerai atau pulang menemui keluarga yang dapat membantu mereka dari segi psikologi" Dr Mujib Abdul Bari, Pakar psikiatri dan masalah saraf


Wanita terbabit dibantu oleh ahli keluarga sendiri. Motif pembunuhan termasuk perbezaan taraf, keganasan domestik, cemburu, wanita rasa rendah diri selain tekanan ekonomi.

Kebanyakan wanita yang melakukan pembunuhan dengan menembak, meracun atau memukul suami hingga mati.

Tetapi, apa yang sukar difahami ialah ramai orang asing masih mencari jodoh di Yaman meskipun begitu banyak keganasan domestik berlaku pada 2012.

Perangkaan Jabatan Kewarganegaraan dan Imigresen di Kementerian Dalam Negeri menunjukkan 746 orang asing diberi kebenaran berkahwin dengan wanita tempatan.
Pakar psikiatri dan masalah saraf, Dr Mujib Abdul Bari, memberitahu media di sini bahawa penderaan fizikal dan psikologi boleh mengubah seseorang dengan drastik.

Jika didera setiap hari, seorang wanita akan rasa kecewa dengan keadaannya dan mereka boleh lupa dengan identiti diri hingga membunuh pasangan, katanya.

Bunuh suami, dua anak

Katanya, jenayah paling diingati di Yaman berlaku pada 7 Ogos 2012 di sebuah perkampungan daerah Marib apabila seorang wanita berusia 40 tahun membunuh suami dan dua anak mereka selepas bergaduh.

Bari berkata, kerajaan Yaman tidak sepatutnya hanya menyiarkan perangkaan jenayah seperti itu saja tetapi juga melancarkan program kesedaran bagi membantu wanita negara berkenaan.

"Mereka sepatutnya mengambil langkah dari segi undang-undang termasuk bercerai atau pulang menemui keluarga yang dapat membantu mereka dari segi psikologi," katanya lagi. - Agensi


16.40 | 0 komentar | Read More

Syak virus senjata biologi

Perisikan Indonesia kaji fenomena selesema burung

Jakarta: Virus baru selesema burung mungkin sejenis senjata biologi yang dicipta negara asing, kata agensi perisikan Indonesia.

Virus itu dilaporkan penyebab beribu-ribu itik mati di negara itu sejak beberapa bulan lalu.

"Agensi saya mengikuti fenomena ini sejak permulaan lagi. Kita perlu terus berjaga-jaga kerana perkembangan senjata biologi global pantas. Pada masa depan, serangan biologi seperti ini akan digunakan dalam peperangan," Marciano Norman, Ketua Agensi Perisikan Kebangsaan


"Agensi saya mengikuti fenomena ini sejak permulaan lagi. Kita perlu terus berjaga-jaga kerana perkembangan senjata biologi global pantas.

"Pada masa depan, serangan biologi seperti ini akan digunakan dalam peperangan," kata ketua Agensi Perisikan Kebangsaan (BIN), Leftenen Jeneral Marciano Norman.

Pada masa sama, siasatan pihak berkenaan belum menemui sebarang bukti bahawa wabak jangkitan selesema burung terbaru di beberapa tempat di Indonesia adalah sejenis serangan biologi oleh negara asing, katanya lagi.

"Kami terus mengikuti perkembangan semasa. Kami tidak boleh buat kesimpulan tanpa bukti kukuh.
"Kami minta agensi berkaitan yang ada kemahiran dalam perkara itu untuk memeriksa lebih mendalam virus berkenaan dan kami akan memberi sokongan," katanya lagi.

Pasukan menyiasat

Menteri Hal Ehwal Politik, Undang-Undang dan Keselamatan, Djoko Suyanto bersetuju dengan pandangan Marciano.

"Sejak ada dakwaan itu, kami sudah membentuk satu pasukan untuk menyiasat. Ia membabitkan anggota BIN dan Kementerian Kesihatan," katanya.
Djoko bersetuju bahawa virus itu mungkin dihasilkan oleh pihak yang ada kepentingan tertentu.

"Dakwaan mengenainya satu perkara yang menyebabkan kami terus berjaga-jaga kemungkinan ia benar," katanya.

Kerajaan pusat juga meminta pihak berkuasa wilayah supaya mengambil langkah untuk menjangka kemunculan virus baru yang dirujuk sebagai 'H5N1 clade 2.3.2.'. - AGENSI

INFO: Selsema burung
- Pihak pentadbiran wilayah Jawa Tengah merekodkan kematian hampir 200,000 itik di 28 daerah dan bandar sejak Setember 2012
- Lebih 6,000 itik dijangkiti virus di bahagian selatan, tengah dan timur Lampung.
- Di Payakumbuh, Sumatera Barat, 2,000 ekor itik mati pada Disember 2012, manakala di Sidenreng Rappang, Sulawesi Selatan, 25,500 burung mati sejak Disember


16.40 | 0 komentar | Read More

Barack Obama pro kulit putih

Written By Unknown on Sabtu, 12 Januari 2013 | 16.40

Washington: Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat, Barack Obama dibidas termasuk juga anggota Parti Demokrat kerana memilih lebih ramai lelaki kulit putih ke jawatan kanan pentadbirannya bagi penggal ke-2.

Obama kelmarin menamakan Jack Lew ke jawatan Setiausaha Perbendaharaan, lelaki kulit putih ke-4 dinamakannya ke dalam Kabinet sejak beberapa minggu lalu.

Pencalonan Lew diikuti dengan pengumuman bahawa Obama memilih Senator John Kerry bagi menggantikan Hillary Clinton ke jawatan Setiausaha Negara.

Jika diluluskan, Kerry akan menjadi ahli politik kulit putih pertama memegang jawatan itu dalam tempoh satu dekad.

Obama juga menamakan bekas Senator Chuck Hagel ke jawatan Setiausaha Pertahanan dan John Brennan sebagai ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Memang sangat memalukan, kata salah seorang anggota Kongres paling kanan, Charles Rangel, ahli Demokrat dari New York, mengenai pelantikan Obama.

Lebih-lebih lagi Obama kehilangan wanita Hispanik pertama menyertai sesi Kabinet, Hilda Solis yang meletakkan jawatan, Rabu lalu.
Bulan lalu, seorang lagi wanita kulit hitam meletak jawatan iaitu Lisa Jackson yang mengetuai Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA).

Senator Demokrat dari New Hampshire, Jeanne Shaheen, menyifatkan pelantikan ke jawatan kanan oleh Obama sebagai mengecewakan.

Lebih-lebih lagi hanya New Hampshire negeri yang menghantar perwakilan wanita tunggal ke Kongres.

Kita perlu kerajaan semua golongan supaya dapat menangani isu secara menyeluruh, katanya lagi.

Kepelbagaian politik di Amerika biasanya merujuk kepada wanita, minoriti etnik khususnya Hispanik dan warga Afrika-Amerika.
REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

125 terbunuh kena bom di Baluchistan

Quetta: Seramai 125 orang terbunuh dalam tiga letupan, dua daripadanya serangan bunuh diri di sebuah dewan snuker yang biasa digunakan penduduk Syiah, di sini, semalam.

Ia antara peristiwa pertumpahan darah terburuk sejak bertahun-tahun lalu di Pakistan.

Sekurang-kurangnya 92 orang terbunuh dan 121 cedera apabila dua penyerang meletupkan bom di kelab snuker di barat daya Quetta, kawasan majoriti penduduk Syiah.

Angka korban itu diberi Setiausaha Dalam Negeri Baluchistan, Akbar Hussain Durrani.

Penyerang meletupkan bom dalam bangunan snuker itu dan 10 minit kemudian seorang lagi penyerang dalam kereta meletupkan bom ketika polis, pekerja media dan pasukan penyelamat menghampiri tempat kejadian, kata pegawai polis, Mir Zubair Mehmood.

Sembilan pegawai polis, tiga wartawan tempatan dan beberapa pekerja penyelamat antara yang maut.

Ia serangan paling buruk di Pakistan sejak dua pengeboman membunuh 98 orang di luar pusat latihan polis di Shabqadar pada 13 Mei 2011.
Ia dipercayai sebagai membalas tindakan komando Amerika Syarikat membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden.

Dalam serangan pertama awal kelmarin, sebutir bom diletupkan di bawah kenderaan pasukan keselamatan di Quetta, mengorbankan 11 orang dan mencederakan berpuluh lagi.

Dalam satu lagi serangan, sebutir bom meletup ketika perhimpunan keagamaan berlangsung di Swat.

Ia menyebabkan 22 terbunuh lebih 80 lagi cedera dalam kejadian terburuk di daerah itu sejak tentera bertempur dengan militan Taliban pada 2009.
Pengeboman merosakkan beberapa kedai dan bangunan berhampiran. Sekurang-kurangnya empat ambulans musnah dan orang ramai dilihat meraung bersebelahan mayat di atas tanah.

Kumpulan Lashkar-e-Jhangvi mendakwa bertanggungjawab atas serangan terburuk ke atas penduduk minoriti berkenaan, sekitar 20 peratus daripada 180 juta penduduk Pakistan.

Lashkar-e-Jhangvi menghubungi wartawan tempatan menerusi telefon dan mendakwa bertanggungjawab.

Kumpulan berkenaan ada kaitan dengan al-Qaeda dan Taliban serta turut terbabit dalam penculikan dan memenggal kepala wartawan Daniel Pearl pada Januari 2002.

AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Hamas, Fatah henti bermusuh

Written By Unknown on Jumat, 11 Januari 2013 | 16.40

Kaherah: Presiden Palestin, Mahmud Abbas dan pemimpin Hamas, Khaled Meshaal bersetuju melaksanakan perjanjian perpaduan yang tertunda selepas kedua-dua pihak menandatanganinya, kata pegawai Hamas, semalam.

Keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat di Kaherah, hampir setahun selepas rundingan berjalan antara Abbas yang berkuasa di Tebing Barat dan Meshaal di Semenanjung Gaza, bagi menghentikan permusuhan mereka.

Dua pihak bersetuju meminta semua puak Palestin melaksanakan persetujuan berkenaan, kata anggota kanan Hamas, Izzat al-Rishq.

Katanya lagi, rundingan berjalan dengan baik. Pegawai Fatah dan Hamas akan membincangkan sekali lagi kerjasama mereka.

Fatah dan Hamas bersetuju ambil langkah menunjukkan mereka sedang menggerakkan usaha bersatu, lapor Yasser Ali, jurucakap Presiden Mesir, Mohamed Mursi, sebagai berkata.

Ketika berunding di Kaherah, Abbas dan Meshaal juga mengadakan perbincangan berasingan dengan Mursi.

Meshaal dan Abbas memberi tumpuan kepada pelaksanaan persetujuan pada April tahun lalu iaitu mewujudkan perpaduan bagi menamatkan pergaduhan antara mereka. Perjanjian itu yang menyaksikan Mesir menjadi orang tengah, memberi tumpuan kepada persetujuan itu yang ditandatangani pada Mei lalu tetapi belum digerakkan untuk mencapai matlamatnya.

Persaingan antara dua kumpulan Palestin Hamas itu meledak pada Jun 2007 apabila angkatan bersenjata Hamas menawan Gaza, setahun selepas menang besar dalam pilihan raya Parlimen.

Meshaal dan Abbas mulanya berunding di Kaherah pada Februari 2012 tetapi tidak banyak kemajuan dicapai dari segi menamatkan jurang pendirian antara mereka.
Ketika berunding, Mursi dan Abbas membincangkan perdamaian Fatah dan Hamas; sekatan Israel terhadap Gaza dan masalah kewangan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang dipimpin Fatah.

Mursi berjanji berusaha menamatkan sekatan ke atas Gaza dan membantu penduduk Palestin mengatasi krisis kewangan dengan melobi penderma dan negara Arab lain, kata ketua perunding Fatah, Azzam al-Ahmed.
AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Menteri Syria 'buang' anak

Aleppo: Seorang menteri Syria tidak mengaku anak lelakinya adalah zuriat beliau kerana dia menjadi anggota pemberontak Tentera Syria Merdeka (FSA).

Soal keamanan negara adalah lebih utama daripada semua perkara lain termasuk pertalian keluarga, kata Menteri Negara bagi Hal Ehwal Parlimen, Mohamed Torky El-Sayed yang dipetik agensi berita SANA.

Beliau memberi ulasan itu ketika mengumumkan pendiriannya terhadap anaknya, Bassem.

El-Sayed juga menyifatkan keputusan pemuda itu untuk menyertai FSA hanya mencetuskan kemarahan dan menyebabkan anaknya dibenci.

Hubungan mereka berakhir lebih setahun lalu selepas Bassem mengambil pendirian bercanggah dengan kepentingan negara, kata menteri itu lagi.

El-Sayed mengakui beberapa kali cuba memujuk anaknya tidak menjadi anggota pemberontak yang mahu menggulingkan Presiden Bashar al-Assad, tetapi gagal.

Beberapa laman web pembangkang Syria melaporkan Bassem sudah maut dalam pertempuran di Aleppo baru-baru ini.
Sementara itu, menurut laporan dari Damsyik, pemberontak membebaskan 48 warga Iran dalam tahanan mereka.

Mereka dilepaskan sebagai tukaran pembebasan lebih 2,000 tahanan termasuk wanita dan kanak-kanak yang ditahan pihak berkuasa Syria.

Persetujuan itu dicapai selepas perunding Turki, Qatar dan Iran menjadi pengantara.

Ia adalah pertukaran tahanan terbesar sejak pemberontakan meletus, 22 bulan lalu.

Warga Iran berkenaan tiba di hotel Sheraton di ibu negara Syria dalam beberapa van dengan diiringi anggota keselamatan.

AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Suhu tinggi Australia mula turun

Written By Unknown on Kamis, 10 Januari 2013 | 16.40

Cooma: Suhu tinggi yang mencatat rekod di seluruh selatan Australia dilaporkan sudah turun semalam, sekali gus mengurangkan bahaya kebakaran hutan berikutan cuaca panas melampau dan risiko kebakaran.

Bagaimanapun ramalan cuaca menyatakan perkembangan ini mungkin hanya bersifat sementara dan untuk tempoh singkat.

Selepas berdepan risiko kebakaran paling tinggi di dalam sejarah negara itu kelmarin, perubahan angin di negeri New South Wales yang paling teruk terjejas menyebabkan suhu turun dengan ketara.

Australia mencatatkan rekod hari paling panas pada Isnin dengan purata suhu di seluruh negara adalah 40.33 darjah Celsius, memecahkan rekod yang pernah dicatatkan pada 1972 iaitu 40.17 darjah Celsius.

Selasa adalah hari ketiga paling panas dengan suhu 40.11C. Empat daripada 10 hari paling panas di Australia direkodkan pada 2013.

Tidak diragukan lagi ini adalah suhu yang amat luar biasa panasnya, kata pengurus ramalan dan pemantau iklim biro meteorologi Australia, David Jones.

Jika anda lihat pada tahapnya, tempoh dan intensiti boleh dikatakan ia adalah paling panas dalam sejarah Australia, katanya.
Ketika suhu semakin berkurangan di selatan Australia semalam, ibu negara itu, Canberra mencatatkan penurunan daripada setinggi 36C pada Selasa kepada 28C manakala Sydney menurun daripada 43C kepada 23C.

Jones berkata, semalam juga adalah antara hari paling panas di Australia apabila suhu dihitung. Ini disebabkan keadaan terlampau panas berpindah dari kawasan berpenduduk padat di selatan ke utara dan tengah negara itu.

Biro berkenaan turut meramalkan purata suhu berlebihan sepanjang musim panas ini, meningkatkan kemungkinan bahawa kebakaran akibat kurangnya hujan di tengah dan selatan Australia sejak enam bulan lalu.

Ia akan menjadi amat mencabar, kata Jones mengenai kebakaran hutan yang mengundang bahaya.
AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Rakyat sedia terima presiden bukan Jawa

Jakarta: Bekas naib presiden Indonesia, Jusuf Kalla, percaya rakyat negara itu bersedia melantik presiden yang bukan berketurunan Jawa, ketika latar belakang etnik ahli politik tidak begitu diberi perhatian pada peringkat kebangsaan.

Ketika ditemubual akhbar The Straits Times kelmarin, beliau berkata penduduk Jakarta menerima timbalan gabenor daripada etnik China, apabila melantik gabenor baru, Joko Widodo dan timbalannya, Basuki Tjahaja Purnama, tahun lalu.

Walaupun kesediaan itu mungkin mengambil masa lebih panjang untuk bertukar di kalangan penduduk luar kota raya itu, Jusuf, 70, yang berketurunan Bugis dari Makasar, berpendapat cuma 30 peratus penduduk mahukan presiden berketurunan Jawa, kumpulan etnik terbesar negara itu.

Amerika Syarikat memerlukan kira-kira 250 tahun untuk menerima presiden kulit hitam, 200 tahun bermazhab Katolik. Saya yakin kita sudah bersedia menerima presiden bukan berketurunan Jawa. Saya tidak rasa kita perlukan lagi 70 tahun.

Tiga daripada lima anak saya mengahwini pasangan berketurunan Jawa. Isteri saya dari Padang. Ia bukan perkara penting lagi kerana kita semua rakyat Indonesia. Mentua presiden dari Sumatera, katanya.

Rakyat Indonesia akan melantik presiden tahun depan dan meraikan ulang tahun ke-70 kemerdekaan pada tahun 2015, manakala Jusuf ialah salah seorang rakyat bukan Jawa yang bertanding sebagai presiden.

Beliau dijadualkan bercakap di Singapura hari ini mengenai cabaran yang dihadapi rantau itu.
Jusuf juga bakal menjadi satu-satunya calon dilahirkan sebelum merdeka berkata usia bukan satu isu.

Anda sudah kurang mendengar pemimpin mesti di kalangan orang muda. Ia lebih kepada rekod dan penampilan serta karektor, katanya.

Beliau juga mengambil tahu mengenai perkembangan perkara itu sebagai pengerusi Palang Merah Indonesia dan Majlis Masjid Indonesia, menjelajah seluruh negara mentadbir bantuan kemanusiaan dan bercakap kepada penuntut dan penduduk.

AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Obama umum ketua baru Pentagon, CIA

Written By Unknown on Rabu, 09 Januari 2013 | 16.40

Washington: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, mencalonkan bekas Senator Republikan, Chuck Hagel untuk memimpin Pentagon (Jabatan Pertahanan) manakala pegawai kempen memerangi keganasan, John Brennan mengetuai Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Mereka dijangka mendapat kelulusan Senat meskipun Hagel dibidas pemimpin Republikan kerana pandangannya dalam isu Israel dan Iran.

Obama memberi penghargaan kepada Leon Panetta yang melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Pertahanan sebelum memuji Hagel dan Brennan serta menggesa Senat tidak melengahkan kelulusan mereka.

Chuck Hagel layak memimpin tentera. Beliau seorang wira Amerika, katanya, merujuk kepada dua anugerah pingat Purple Heart sebagai askar di Vietnam.

Apabila Chuck kena serpihan bom, adiknya menyelamatkan beliau. Apabila adiknya cedera kena letupan periuk api, Chuck bertaruh nyawa menyelamatkannya.

Sehingga hari ini, Chuck ada parut daripada serpihan bom itu dan pertempuran atas nama kita, kata Obama.

Hagel, 66, dikenali sebagai seorang yang tidak takut memberi pandangan dan mungkin banyak menghadapi soalan sebelum diluluskan kerana baru-baru ini mengkritik lobi Yahudi dan menentang sekatan tertentu terhadap Iran.
Dalam wawancara dengan akhbar Nebraska, The Lincoln Journal Star, Hagel membalas kecaman pengkritiknya.

Tiada bukti langsung menunjukkan saya anti-Israel, tiada undi saya pernah menjejaskan Israel, katanya.

Brennan, 57, mungkin lebih mudah mendapat kelulusan Senat meskipun menghadapi persoalan mengenai teknik soal siasat meragukan ketika pentadbiran Presiden George W Bush selain menguruskan program pesawat kawalan jauh.

Pakar Asia Barat yang fasih berbahasa Arab dan veteran CIA selama 25 tahun itu menggantikan

David Petraeus yang meletakkan jawatan November lalu selepas mengaku menjalin hubungan luar nikah dengan penulis bukunya, Paula Broadwell.
AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Bebaskan Sheikh Omar

Washington: Presiden Mesir, Mohamed Mursi akan menggesa Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama supaya membebaskan perancang serangan Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 1993, Sheikh Omar Abdel Rahman.

Mursi yang diwawancara Cable News Network (CNN) memberitahu rancangannya untuk membincangkan kes warga Mesir buta itu yang dihukum penjara seumur hidup di penjara Amerika.

Pemimpin Mesir itu bercadang untuk melawat Amerika lewat Mac depan, lapor CNN.Jika ia berjalan mengikut rancangan, itu akan menjadi lawatan pertamanya ke Amerika sejak beliau menang pilihan raya tahun lalu menggantikan Hosni Mubarak.

Hubungan di antara Amerika dan Mesir menjadi rumit selepas Mursi menang.
Washington dilihat berhati-hati memberi reaksi kepada langkah tertentu oleh Mursi, meskipun banyak pihak mengkritik pemimpin itu.

Menyentuh mengenai Sheikh Omar, Mursi sekali lagi berkata: Saya mahu dia dibebaskan.

Tetapi, beliau juga berkata: (Namun) Saya hormati undang-undang. Di Mesir dan Amerika.
Jika Sheikh Omar yang tidak sihat selain usia lanjut, Mursi menyarankan supaya Amerika membenarkan ahli keluarga dan anak lelaki itu menemuinya.

Adakah beliau berpeluang dibebaskan? Saya mendoakannya. Perkara ini patut dikaji semula kerana hubungan baik Mesir dan Amerika, jika boleh mengikut undang-undang.

Jika boleh dan saya harapkan begitu, aspek kemanusiaan patut diambil kira, supaya tempat penahanannya lebih baik, anggota keluarganya dibenarkan melawat dan beliau ada teman berbual.

Sheikh Omar yang memimpin kumpulan Jamaa Islamiya, didapati bersalah pada 1995 kerana peranannya dalam serangan itu yang menyebabkan enam orang maut dan beratus-ratus lagi cedera selepas sebutir bom meletup dalam garaj bangunan berkenaan.
AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Lima suspek rogol dengar pertuduhan

Written By Unknown on Selasa, 08 Januari 2013 | 16.40

New Delhi: Lima suspek rogol dan bunuh seorang penuntut perempuan India tiba di mahkamah semalam untuk mendengar tuduhan terhadap mereka, selepas dua tertuduh menawarkan kerjasama sebagai tukaran kepada hukuman lebih ringan.

Kelima-lima lelaki berkenaan, bersama seorang remaja, didakwa merogol beramai-ramai penuntut fisioterapi berusia 23 tahun ketika beliau menaiki bas selepas menonton wayang di New Delh16 Disember lalu. Mangsa meninggal dunia dua minggu di hospital di Singapura dua minggu kemudian.

Imej Reuters menunjukkan suspek keluar daripada van polis berwarna biru yang membawa mereka dari penjara di Tihar, dan berjalan melepasi pengesan logam ke mahkamah di Delhi Selatan, di seberang jalan lokasi terletaknya pawagam mangsa menonton filem sebelum menaiki bas dengan rakan lelakinya pada 16 Disember lalu.

Tertuduh dibawa ke bilik kurungan sementara menunggu arahan untuk hadir di depan majistret yang akan membacakan dakwaan sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan. Perbicaraan dijadual diadakan di mahkamah khas, yang ditubuhkan selepas kejadian itu.

Majistret, Namrita Aggarwal, berkata keterangan ditutup kepada media dan orang awam dan mengarahkan mahkamah dikosongkan demi keselamatan tertuduh.

Terdahulu, pertengkaran tercetus di mahkamah apabila seorang peguam menawarkan diri mempertahankan mereka. Beliau dimarahi rakannya yang berkata tertuduh tidak layak diwakili kerana kekejamannya.

Dua daripada tertuduh, Vinay Sharma dan Pawan Gupta, Sabtu lalu mengemukakan permohonan menjadi pemberi maklumat, terhadap tertuduh lain, kata pendakwa kes itu, Rajiv Mohan.
Sharma dan Gupta, bersama Mukesh Kumar, Ram Singh dan Akshay Thakur, sudah pun didakwa membunuh, rogol, culik dan kesalahan lain. Mohan memberitahu beliau memohon hukuman mati dikenakan kerana tahap kekejaman jenayah itu.

Kelima-lima mereka tidak sepatutnya menerima hukuman lebih ringan daripada hukuman mati, katanya.

Anggota persatuan peguam di daerah Saket, lokasi kes itu didengari, berikrar tidak akan mewakili tertuduh.

Polis menjalankan soal siasat menyeluruh dan berkata mereka sudah merekodkan pengakuan walaupun kelima-lima tertuduh tidak mempunyai peguam.

Semalam, peguam Mahkamah Agung, Manohar Lal Sharma, menawarkan diri untuk mewakili tertuduh. Beliau dipersendakan oleh peguam lain di mahkamah.
Reuters


16.40 | 0 komentar | Read More

41 negeri AS dilanda wabak influenza

Los Angeles: Wabak selesema yang membawa maut kini melanda Amerika Syarikat dengan 41 negeri dikesan terbabit.

Selain itu, 18 kanak-kanak maut dan 2,500 lagi mangsa selesema sedang dirawat di hospital.

Data yang dikumpul agensi Flu Near You menunjukkan kes selesema meningkat dengan pantas sejak beberapa minggu lalu dan antara petanda yang paling banyak dilaporkan ialah batuk (19 peratus), sakit tekak (16 peratus), keletihan (15 peratus), pening kepala (14 peratus), lenguh badan (10 peratus) dan demam (tujuh peratus).

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menyatakan ia sudah memperhebat langkah memantau selesema yang semakin aktif di seluruh dunia.

Menggunakan alat pengesan Flu Near You, sekurang-kurangnya 100 orang melaporkan mengalami petanda awal selesema.

Angka itu memang besar. Tahun lalu, ia tidak sampai angka itu, kata pembantu profesor pediatrik dan pakar epidemiologi, John Brownstein, di Kajian Perubatan Harvard dan Hospital Kanak-Kanak Boston kepada wartawan.

Brownstein adalah antara pengasas Flu Near You, dengan kerjasama Hospital Kanak-Kanak Boston, Yayasan Ancaman Global Skoll dan Persatuan Kesihatan Awam Amerika.
Turut membimbangkan ialah tiga daripada empat orang yang melaporkan tanda-tanda selesema belum lagi disuntik vaksin.
AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Orang ramai lambat bantu

Written By Unknown on Minggu, 06 Januari 2013 | 16.40

New Delhi: Derita seorang pelajar lelaki dan temannya yang diserang sebelum wanita berkenaan dirogol dan dipukul selama dua jam setengah, tidak berakhir selepas itu.

Selepas dibiarkan dalam keadaan bogel di tepi jalan, orang ramai yang lalu lalang tidak peduli manakala polis berbincang mengenai siapa yang patut menguruskan mereka sebelum menghantar mangsa ke hospital.

"Kawan saya parah dan luka teruk. Pemandu kereta dan motosikal memperlahankan kenderaan melihat kami sebelum berlalu.

"Saya minta bantuan mereka. Orang yang berhenti sekadar melihat kami, bertanya apa yang berlaku. Tetapi, tiada yang cuba membantu," katanya kepada pemberita televisyen. - AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Nilai Barat punca perkosa

Pemimpin kanan Hindu dakwa banyak kejadian berlaku di bandar

New Delhi: Kontroversi baru meletus di India selepas seorang pemimpin konservatif mempersalahkan 'nilai Barat' sebagai punca rogol berlaku di India.

Selain itu, pemimpin Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS), Mohan Bhagwat juga menyatakan bahawa kejadian rogol banyak berlaku di kawasan bandar dan tidak di kawasan pedalaman.

Beliau hanya merujuk kepada tradisi India dan sikap menghormati wanita. Beliau juga menggesa hukuman berat dikenakan terhadap penjenayah itu termasuk hukuman mati," Ravi Shankar Prasad, Jurucakap BJP


"Jenayah seperti itu jarang berlaku di 'Bharat' (kawasan kampung) tetapi kerap berlaku di bandar," kata Bhagwat kepada pekerja RSS di Silchar, Assam.
"Kamu pergi ke kampung dan hutan di negara ini, tiada insiden seperti rogol ramai-ramai atau jenayah seks berlaku.

"Ia lebih berleluasa di kawasan tertentu bandar. Selain memperkenal undang-undang baru, kita patut nilai semula tabiat dan budaya berdasarkan nilai tempatan," katanya lagi.

Bagaimanapun, data mahkamah menunjukkan 75 peratus kes rogol yang membawa kepada hukuman terhadap tertuduh sejak 25 tahun lalu, berlaku di kawasan pedalaman India.
Data itu didedahkan oleh profesor Universiti Undang-Undang Kebangsaan di New Delhi, Mrinal Satish.

Dikecam Parti Kongres

Ulasan Bhagwat dikecam Parti Kongres, CPI-M dan pertubuhan wanita, lebih dua minggu selepas seorang wanita berusia 23 tahun diperkosa di ibu negara.

Kejadian itu menyebabkan pelbagai pihak mendesak pihak berkuasa mengenakan hukuman lebih berat terhadap perogol.

Pemimpin kanan Parti Kongres, Digvijaya Singh, berkata ulasan Bhagwat menunjukkan tahap pemikiran mereka yang sempit.

"Rogol boleh berlaku di mana-mana saja. Perbuatan itu sepatutnya dihalang dan pesalahnya wajar dikenakan hukuman setimpal," katanya.

Sekutu RSS, Parti Bharatiya Janata (BJP) meminta supaya ulasan Bhagwat dilihat dengan perspektif sewajarnya.

"Beliau hanya merujuk kepada tradisi India dan sikap menghormati wanita. Beliau juga menggesa hukuman berat dikenakan terhadap penjenayah itu termasuk hukuman mati," kata jurucakap BJP, Ravi Shankar Prasad. - Agensi


16.40 | 0 komentar | Read More

Australia larang sertai perang Syria

Written By Unknown on Sabtu, 05 Januari 2013 | 16.40

Sydney: Warga Australia yang mengambil bahagian dalam perang di Syria boleh dihukum penjara 20 tahun.

Jurucakap Menteri Luar, Bob Carr, memberi amaran itu selepas seorang lelaki dari Melbourne dilaporkan terbunuh dalam konflik berkenaan.

Australia sedar dengan laporan bahawa lebih 100 warga negaranya menyertai konflik itu sejak tahun lalu tetapi tidak ada bukti mengenainya ketika ini, kata jurucakap itu.

Di bawah Akta Jenayah (Pencerobohan Asing dan Merekrut) 1978: Seseorang tidak boleh masuk ke negara asing dengan niat terbabit dalam kegiatan bersenjata atau terbabit dalam kegiatan bersenjata.

Hukumannya ialah 20 tahun penjara. Sesiapa juga di Australia yang merekrut orang lain untuk berperang di negara asing boleh dipenjara tujuh tahun, kata jurucakap itu lagi.

Sekurang-kurangnya tiga warga Australia dilaporkan maut di Syria termasuk seorang buruh dikenali sebagai Abu al-Walid al-Australi yang terbunuh minggu lalu selepas menyertai pemberontak di medan perang.

Pengasas Majlis Arab Australia, Joseph Wakim berkata ramai orang yang pergi ke Syria mendakwa mereka memberi bantuan kemanusiaan di negara itu tetapi sebenarnya terbabit dalam perang.
Saya percaya, kebanyakan mereka melakukannya kerana ia keputusan peribadi dan bukan untuk mendapat untung, katanya kepada Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).

Beliau juga menggesa pihak berkuasa meningkatkan pemeriksaan terhadap orang yang mahu ke sana.

Tetapi, Carr berkata, sukar untuk mengikuti pergerakan seseorang di Syria.
Negara itu hampir musnah dan komunikasi dalamannya amat teruk, katanya kepada ABC.

Kami tahu, perang adalah antara militia dan militia tempatan menguasai sebahagian kawasan negara itu tetapi kami tiada keupayaan mengetahui kegiatan warga Australia di sana, katanya lagi.
AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Blogger minta maaf fitnah PM Singapura

Singapura: Seorang blogger Singapura meminta maaf dan sedia menarik balik sebahagian artikel dalam blognya selepas menerima surat tuntutan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

Peguam Lee dari Drew and Napier dilaporkan menghantar surat itu kepada penulis blog, Alex Au, berikutan dakwaan kiriman berbentuk fitnah dalam blognya, Yawning Bread.

Artikel itu bertajuk PAP mis-AIMed, faces blowback merujuk kepada jualan sistem komputer yang digunakan beberapa majlis perbandaran kepada firma Action Information Management (AIM).

Surat perunding kanan Drew and Napier, Davinder Singh menyifatkan blog terbabit menyiarkan kiriman membayangkan kesalahan serius mengenai jenayah pecah amanah.

Ia juga mendakwa rasuah berlaku dengan menuding jari kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah serta Jabatan Peguam Negara sebagai terbabit.

Kiriman terbabit disusuli komen bernada fitnah pembaca, ada dalam kalangan mereka merujuk kepada Lee, kata surat terbabit menyenaraikan 21 komen dalam kategori itu.

Komen itu apabila dibaca bersama kiriman asal atau dengan sendirinya, difahamkan menunjukkan Lee bersalah melakukan rasuah membabitkan transaksi AIM dan menyalah guna kuasa untuk menutup perkara itu atau menghalang siasatan terhadap rasuah dilakukannya.
Tuduhan ini palsu dan tidak berasas, kata surat itu lagi. Oleh itu, Lee memberi peluang kepada Au untuk memohon maaf dan menarik balik tuduhan terbabit tanpa menuntut sebarang ganti rugi dan kos lain.

Dalam satu kenyataan, Au menerima pandangan bahawa sebahagian artikel dan komen pembaca adalah fitnah dan akan menarik balik sebahagiannya termasuk oleh pembaca seperti diminta selain menyiarkan permohonan maaf kepada Lee.

Ini kali kedua dalam tempoh enam bulan Au diminta memohon maaf berhubung artikel dalam blognya.

Pada Julai tahun lalu, dia meminta maaf memberi komen kes denda kesalahan trafik terhadap Pakar Bedah Plastik, Woffles Wu, selepas pejabat Peguam Negara mengutus surat memaklumkannya bahawa pandangannya menghina keputusan mahkamah kerana menuduh hakim berlembut kepada golongan atasan.

AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Bekas ketua staf tentera Turki ditahan

Written By Unknown on Jumat, 04 Januari 2013 | 16.40

Istanbul: Bekas ketua staf tentera Turki Jeneral Ismail Hakki Karadayi ditahan semalam berikutan satu siasatan membabitkan peranan tentera menggulingkan kerajaan berteraskan Islam pertama negara itu pada 1997, lapor media.

Perdana Menteri Necmettin Erbakan yang merintis politik Islam di Turki meletak jawatan pada Jun 1997, selepas berbulan-bulan menerima amaran daripada Majlis Keselamatan Kebangsaan yang dikuasai tentera bahawa dasar beliau melemahkan perlembagaan sekular.

Peristiwa itu digelar sebagai 'rampasan kuasa era moden' apabila tentera mengenakan tekanan di belakang tabir untuk memaksa Erbakan meletak jawatan dan tidak merampas kuasa secara langsung seperti yang berlaku pada 1960, 1971 dan 1980.

Memalukan tentera

"Semalam, pendakwa raya yang menyiasat kes itu, mengarahkan Karadayi yang menjadi ketua staf tentera dari 1994 hingga 1998 ditahan untuk siasatan, satu lagi tindakan yang memalukan tentera," kata sebuah stesen televisyen tempatan.

Perdana Menteri dan Pemimpin Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) Recep Tayyip Erdogan, diasaskan sebahagian anggota Parti Kebajikan pimpinan Erbakan selepas ia diharamkan, berjaya mengurangkan pengaruh tentera sejak berkuasa pada 2002.

Cubaan rampas kuasa
Sebelum ini ia juga melancarkan siasatan ke atas cubaan merampas kuasa oleh kelompok elit tentera yang mendakwa sebagai pengawal sistem sekular Turki yang diasaskan Kemal Ataturk.

Lebih 300 pegawai tentera dijatuhi hukuman penjara September lalu, kerana merancang menggulingkan Erdogan 10 tahun lalu, manakala hampir 300 yang lain termasuk ahli politik, ahli akademik, wartawan dan pegawai tentera bersara kini dibicarakan atas dakwaan mencetuskan keganasan politik. - Reuters


16.40 | 0 komentar | Read More

Lima perogol didakwa

Suspek keenam dijadual dihadapkan ke mahkamah juvana

New Delhi: Lima lelaki didakwa merogol seorang pelajar berusia 23 tahun secara berkumpulan dalam sebuah bas yang sedang bergerak di New Delhi didakwa secara rasmi di mahkamah semalam.

Pendakwa Rajiv Mohan memfailkan kes rogol, memalsukan bukti, menculik, bunuh dan beberapa kes lain di mahkamah di Saket di selatan ibu negara India itu yang dikawal ketat.

Kelima-lima lelaki ialah pemandu bas Ram Singh, 33, adiknya Mukesh Singh 26, yang bekerja sebagai pencuci bas dengan syarikat sama, penjual buah, Ram Gupta, 19, pencuci bas, Akshay Singh, 24 dan jurulatih kecergasan Vinay Sharma, 20.

Suspek keenam 17 tahun

Suspek keenam berusia 17 tahun, dijadual dibicarakan di mahkamah juvana dengan hukuman maksimum tiga tahun di pusat pemulihan akhlak.

Pendakwa mengemukakan bukti terhadap selepas mangsa meninggal dunia hujung minggu lalu berikutan kecederaan parah dalam kejadian 16 Disember, ketika jenayah seksual dilaporkan semakin meningkat di India.

"Lelaki terbabit, kebanyakannya adalah penduduk di kawasan setinggan di New Delhi berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan," kata Menteri Dalam Negeri India, Sushilkumar Shinde.
"Semua tertuduh berkenaan diwajibkan hadir sendiri di mahkamah di hadapan majistret," kata pegawai perundangan, Rana Dasgupta.

Majistret yang berada di sebuah bilik kecil dengan 30 kerusi memperakui kertas pertuduhan yang diserahkan polis dan menyerahkannya kepada semua tertuduh," kata Dasgupta.

Dokumen terbabit dilaporkan setebal 1,000 muka surat memperincikan bukti yang dikumpulkan, antara yang paling kuat adalah kenyataan dari mangsa selepas serangan dan pengakuan teman lelakinya yang bersama beliau ketika kejadian.

Teman lelaki kena pukul

Teman lelaki wanita itu dipukul ketika cuba menyelamatkannya selepas mereka menaiki bas persendirian yang dilaporkan turut dinaiki sekumpulan mabuk selepas mereka pulang daripada menonton filem tengah malam.

Peguam di mahkamah daerah di New Delhi itu juga memutuskan mereka tidak akan mempertahankan suspek, bermakna kerajaan perlu melantik peguam untuk mereka.

Penunjuk perasaan berhimpun di beberapa bandaraya India sejak serangan 16 Disember lalu menuntut kerajaan mengambil langkah untuk menangani jenayah terhadap wanita dengan memberikan penalti lebih berat terhadap pesalah malah termasuk juga mempertimbangkan pengasian secara kimia. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Kelab pengutip barang lusuh

Written By Unknown on Kamis, 03 Januari 2013 | 16.40

Bangkok: Sebuah kelab pengutip barang lusuh ditubuhkan di timur Bangkok bagi membolehkan pemungut mendapatkan barangan keperluan dan tukaran lebih baik.

Melalui kelab itu, pemungut yang menjadi ahli, boleh menyerahkan barang lusuh di kedai milik kelab itu untuk ditukarkan dengan pelbagai keperluan harian seperti beras, sardin, telur, mi segera, sabun atau ubat gigi.

"Kelab akan mengumpulkan barangan ini sebelum dijual semula dalam jumlah besar kepada pembeli. Kami mendapat harga yang lebih baik dan faedahnya dikembalikan kepada ahli dalam bentuk dividen, insuran dan faedah perubatan," kata pengasas kelab itu Peerathorn Seniwong.

Peerathorn, 45, berkata beliau bersama isterinya Buarin mendapat idea untuk menubuhkan kelab berkenaan selepas menjalani hidup sebagai gelandangan dan tinggal di bawah jejambat selama enam tahun.

"Kami terfikir untuk membantu orang yang senasib dan tiba-tiba kami terfikirkan sampah. Setiap orang mesti ada sampah dan barangan tidak berguna di rumah mereka. Sampah itu mungkin boleh dikitar semula dan dijual untuk membantu ahli," katanya.

Beliau berkata kelab itu kini mempunyai 800 ahli termasuk 35 isi rumah terdiri daripada pemungut, selain penduduk tempatan berhampiran yang sudah mengetahui mengenai kedai di kelab berkenaan.

"Kadang-kala kami perlu membeli sesuatu seperti kicap atau beras secara hutang. Bagaimanapun sebilangan pekedai memandang hina kepada kami dan bimbang jika kami tidak membayarnya. Atas sebab itulah kami menubuhkan kedai kami sendiri," katanya.
Seorang pengumpul yang hanya dikenali sebagai Rai berkata beliau mendapat kira-kira AS$10 (RM13.00) sehari hasil daripada memungut barang lusuh tetapi jumlah itu tidak mencukupi.

"Jika kami menghadapi kesulitan, kami akan ke kelab untuk menukar barang lusuh dengan beras, sabun dan apa saja barang keperluan harian," katanya.

Sementara itu Insitut Pengurusan dan Pembungkusan Barangan Lusuh Bagi Alam sekitar Lebih baik berkata, Thailand mempunyai ratusan ribu penduduk yang bergantung kepada sampah dan barangan lusuh untuk menyara hidup.

"Sebanyak 15 juta tan sampah dan barangan lusuh dikitar semula setiap tahun. Sumbangan pemungut membantu mewujudkan persekitaran lebih baik bagi negara ini,' kata jurucakap insitut itu. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

India kaji hukum ahli politik isu jenayah seks

Pemimpin dituduh lakukan kesalahan seksual mungkin digantung tugas

New Delhi: Mahkamah Agung India akan mengkaji sama ada meluluskan langkah menggantung tugas ahli perundangan yang menghadapi dakwaan melakukan serangan seksual.

Kes rogol 16 Disember lalu yang menjadi punca kematian seorang gadis berusia 23 tahun menyebabkan banyak pihak di India menuntut undang-undang diperketatkan.

Sehubungan itu, Ketua Hakim, Altamas Kabir bersetuju mendengar petisyen bekas pegawai kanan kerajaan, Promilla Shanker supaya setiap ahli perundangan kebangsaan dan negeri digantung tugas jika menghadapi pendakwaan melakukan jenayah terhadap wanita.

Beribu-ribu kes tertangguh

Shanker juga meminta mahkamah memaksa pihak berkuasa mempercepat penyelesaian beribu-ribu kes rogol yang tertangguh bertahun-tahun lamanya.

Ia berlaku ketika beribu-ribu wanita berhimpun di tugu peringatan pemimpin kemerdekaan Mohandas K Gandhi bagi menuntut keselamatan mereka dijamin.

Ketika ini, enam ahli perundangan negeri menghadapi tuduhan rogol manakala dua anggota Parlimen pula didakwa di bawah kategori bukan rogol, kata Jagdeep S Chhokar, pegawai Persatuan Pembaharuan Demokratik.
Sejak lima tahun lalu, parti politik India mencalonkan 260 orang yang sedang menunggu perbicaraan kes jenayah ke atas wanita, katanya. - AP


16.40 | 0 komentar | Read More

413 cedera sambut 2013

Written By Unknown on Rabu, 02 Januari 2013 | 16.40

Manila: Seramai 413 orang cedera kena percikan bunga api dan tembakan ketika menyambut Tahun Baru 2013 di Filipina, kelmarin.

Angka itu adalah penurunan 17 peratus daripada bilangan setahun lalu tetapi masih tinggi, menjadikan sambutan Tahun Baru di sini antara yang paling ganas di Asia.

Angka itu didedahkan oleh Setiausaha Kesihatan, Enrique Ona, termasuk kes seorang kanak-kanak kena tembakan peluru sesat penembak tidak dikenali di bandar Caloocan, Manila.

Kanak-kanak 7 tahun tenat

Kanak-kanak berusia tujuh tahun itu berada dalam keadaan tenat.
"Peluru itu masih ada dalam kepalanya. Sukar untuknya diselamatkan," kata Ona dalam sidang akhbar.

Polis berkata, seorang lagi kanak-kanak secara tidak sengaja kena tembakan ketika sambutan di bandar Mandaluyong, juga di Manila.
Tetapi, pegawai kesihatan belum menerima laporannya dan tidak memasukkannya dalam senarai kes kematian.

Ona berkata, penurunan 17 peratus dari segi kecederaan kena tembakan dan percikan bunga api 'masih tidak cukup.'

Sebagai contoh, katanya, seorang lelaki putus tangan percikan bunga api diberi nama 'Goodbye Philippines' manakala lapan lagi kena tembakan ketika sambutan Tahun Baru berlangsung.

Ramai penduduk Filipina yang terpengaruh dengan tradisi orang Cina, bahawa sambutan Tahun Baru boleh menghalau hantu dan membawa tuah.

Sementara itu, di ABIDJAN, sekurang-kurangnya 61 orang terbunuh awal semalam kerana dipijak selepas suasana panik meletus ketika pertunjukan bunga api berlangsung di kota perniagaan ini di Ivory Coast.

Seorang pekerja penyelamat berkata, ramai lagi cedera di daerah Plateau ketika majlis tamat pada 4 pagi waktu tempatan.

Katanya, beribu-ribu orang berhimpun di stadium Houphouet Boigny untuk melihat pertunjukan bunga api apabila ramai yang menyerbu masuk hingga memijak orang lain. - AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Misi cari harta Marcos tamat

Usaha dapatkan semula aset Filipina terlalu mahal: Penyiasat

Manila: Filipina akan menghentikan misi mencari kekayaan haram bekas diktator Ferdinand Marcos meskipun lebih separuh daripada aset bernilai AS$10 bilion (RM31 bilion) belum didapati.

Perkara itu didedahkan ketua penyiasat misi itu yang dilancarkan 26 tahun lalu, Andres Bautista.

Ia disebabkan kos misi berkenaan semakin mahal, kata Bautista yang mengetuai Suruhanjaya Presiden mengenai Pentadbiran Bersih.

"Semuanya tertumpu kepada apakah hasilnya. Usaha itu berjalan 26 tahun dan orang yang anda sasar kembali berkuasa.

"Ada ketikanya anda perlu berkata, kami sudah buat yang terbaik dan cukup setakat itu. Memang sukar mengambil langkah itu.

Perlu belanja besar

"Untuk dapat semula harta berkenaan kini memerlukan perbelanjaan besar," kata Bautista.
Beliau diwawancara di pejabatnya yang juga bangunan bekas tempat kerja anak sulung Marcos, Imee.

Bautista, 48, berhenti daripada kerjaya korporat dua tahun lalu untuk menyahut panggilan kerajaan pimpinan Presiden Benig-no Aquino yang berjanji menamatkan rasuah dan membantu memperbaiki kehidupan berjuta-juta penduduk miskin Filipina.

Anak Marcos, Ferdinand Marcos Junior, kini senator yang membayangkan hasrat bertanding dalam pilihan raya 2016.

Imelda pula dijangka bertanding buat penggal kedua dalam Dewan Perwakilan dan Imee juga dikatakan mahu mentadbir bagi penggal kedua sebagai gabenor Ilocos Norte.

Kembali berkuasa

"Masalah kami sekarang ialah pihak berkenaan sudah kembali berkuasa. Ia tidak membantu kami," katanya.

Sejak ditubuhkan, suruhanjaya itu sudah mendapat semula 164 bilion pesos (RM$12 bilion), sebahagiannya dalam bentuk pelaburan hartanah di New York, barang kemas dan kira-kira AS$600 juta (RM1.8 bilion) disimpan dalam akaun rahsia bank Switzerland. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More
techieblogger.com Techie Blogger Techie Blogger