Diberdayakan oleh Blogger.

Popular Posts Today

Sirap ubat batuk maut disiasat

Written By Unknown on Minggu, 30 Desember 2012 | 16.40

LAHORE: Pihak berkuasa sedang menyiasat sirap ubat batuk dipercayai membunuh 33 orang di timur Pakistan sejak tiga hari lalu, kata seorang pegawai kerajaan semalam, kali kedua sejak beberapa bulan kebelakangan ini ubatan disyaki itu menyebabkan banyak kematian.

Juga semalam, sebuah bas penumpang meletup ketika berada di sebuah terminal di bandar selatan Karachi, mengorbankan empat orang dan mencederakan 40 lain, kata polis dan pihak berkuasa hospital. Tidak jelas jika letupan disebabkan bom atau silinder gas.

Kematian akibat ubat batuk berlaku di Gujranwala dan perkampungan di sekitar bandar itu, kata Abdul Jabbar Shaheen, pegawai pentadbiran atasan di sana. Tambahan 54 orang dirawat di hospital di bandar itu yang dipercayai minum sirap terbabit. Mereka yang menjadi mangsa adalah buruh atau penagih dadah yang minum ubat itu untuk khayal, kata Shaheen. – AP
16.40 | 0 komentar | Read More

Mangsa rogol beramai-ramai meninggal

Mayat diterbangkan ke New Delhi hari ini

Singapura: Mangsa rogol beramai-ramai dari India yang menerima rawatan intensif di Singapura meninggal dunia akibat kecederaan dan kegagalan fungsi organ, di sebuah hospital di republik ini awal pagi semalam.

"Kami dengan rasa amat dukacita mengumumkan bahawa pesakit meninggal dunia dengan tenang kira-kira jam 4.45 pagi waktu tempatan pada 29 Disember. Keluarga dan pihak berkuasa dari Pesuruhjaya Tinggi India berada di sisinya ketika beliau menghembuskan nafas terakhir," kata Ketua Eksekutif Hospital Mount Elizabeth Kelvin Loh, dalam satu kenyataan.

Dapat liputan penuh

Kes berkenaan mendapat liputan penuh stesen televisyen India. Wanita itu tidak didedahkan identitinya namun beberapa saluran media India menggelarnya sebagai 'Amana', perkataan Urdu bermaksud 'abadi.'

"Kami amat sedih selepas mendapat tahu mangsa tidak dapat diselamatkan akibat kecederaannya dan mengucapkan takziah kepada keluarganya ketika keadaan dukacita ini," kata Kementerian Luar Singapura dalam satu kenyataan.

Hospital berkenaan sebelum ini melaporkan bahawa keadaan wanita itu semakin tenat manakala keluarganya sudah dimaklumkan dan sentiasa berada di sisinya.
Pesuruhjaya Tinggi India Singapura, TCA Raghavan, berkata selepas kematian anak mereka, keluarga itu melahirkan hasrat supaya mayatnya diterbangkan semula ke India.

Tidak lama kemudian mayat wanita pelajar berkenaan dimasukkan ke dalam sebuah van dan dibawa pergi.

Meredakan kecaman

Bercakap kepada media sebelum itu, Raghavan enggan mengulas laporan di India yang menuduh kerajaan menghantar mangsa ke Singapura untuk meredakan kecaman jika mangsa meninggal dunia.

Kebanyakan kes rogol dan jenayah seks lain di India tidak dilaporkan dan pesalah jarang dihukum, kata aktivis hak asasi wanita. Namun kekejaman serangan 16 Disember lalu mencetuskan kemarahan awam dan gesaan hukuman lebih keras ke atas perogol.

Sebilangan pakar perubatan India pula mempersoalkan keputusan memindahkan mangsa ke Singapura dan menyifatkannya sebagai tindakan berisiko berikutan keadaannya yang kritikal. Mereka berkata mangsa sudah menerima penjagaan terbaik di India. - REUTERS

Lagi berita kisah tragis mangsa rogol India. Dapatkan naskhah BH Ahad hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/


16.40 | 0 komentar | Read More

Bayar sara hidup RM12j

Written By Unknown on Sabtu, 29 Desember 2012 | 16.40

Rome: Bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi perlu membayar 3 juta euro (RM12 juta) sebulan kepada isteri keduanya, Veronica Lario, sebagai sara hidup.

Berlusconi diberi hak untuk terus memiliki kediaman mereka, lapor akhbar Itali yang melaporkan butir-butir persetujuan cerai antara dua personaliti berkenaan.

Lario mengumumkan perceraiannya pada 2009 selepas melihat Berlusconi menghadiri majlis hari jadi seorang gadis Naples selain kegemarannya bersosial dengan wanita muda.

Berlusconi dan Lario berkahwin pada 1990 dan mempunyai tiga anak. - AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Pelajar mangsa rogol beramai-ramai kritikal

Pasukan pakar perubatan berusaha beri rawatan, stabilkan mangsa

New Delhi: Mangsa rogol beramai-ramai di New Delhi kini bertarung nyawa dengan keadaannya dilaporkan sangat kritikal selepas mengalami serangan jantung dan kecederaan otak ketika menerima rawatan lanjut di Singapura.

Pada masa sama, negeri Punjab bertindak memecat dan menggantung tugas sekumpulan pegawai polis yang didakwa mengabaikan seorang lagi mangsa rogol sehingga menyebabkan dia membunuh diri.

Pemeriksaan pasukan perubatan kami menunjukkan dia juga mengalami serangan jantung dan kecederaan otak," Kelvin Loh, Ketua Eksekutif Hospital Mount Elizabeth


Sebuah buletin yang dikeluarkan pada hari ketibaan mangsa di Hospital Mount Elizabeth menyatakan, pelajar berusia 23 tahun itu mengalami jangkitan paru-paru dan keadaannya sangat kritikal.

"Ketika ini, pesakit bertarung nyawa, pemeriksaan pasukan perubatan kami menunjukkan dia juga mengalami serangan jantung dan kecederaan otak," kata Ketua Eksekutif Hospital Mount Elizabeth, Kelvin Loh.

Beliau berkata, pasukan pakar perubatan pelbagai bidang sedang berusaha sedaya upaya untuk memberi rawatan dan menstabilkan keadaannya dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Dirogol di belakang bas
Pelajar itu sebelum ini menerima rawatan di Hospital Safdarjung di Delhi dihumban keluar dari bas yang sedang bergerak selepas dirogol enam lelaki di belakang kenderaan itu.

Dia turut mengalami kecederaan parah di bahagian usus akibat dipukul dengan batang besi.

Pihak berkuasa India kerap kali dipersalahkan kerana memperlekeh mangsa rogol dan enggan memfailkan kes ke atas penyerang, menyebabkan mangsa terpaksa berdiam diri dan tidak melaporkan jenayah terbabit.

Bagaimanapun kejadian rogol beramai-ramai yang menimpa pelajar itu, membawa perubahan dan memberi fokus baru terhadap pihak polis serta sikap masyarakat kepada wanita di India.

Penunjuk perasaan mendesak perlindungan lebih baik kepada wanita selain hukuman lebih berat kepada perogol.

Desakan itu mendorong Jabatan polis Punjab menggantung tugas seorang pegawai polis dan memecat dua yang lain selepas didakwa sengaja melambatkan siasatan ke atas seorang gadis berusia 18 tahun yang mendakwa dia dirogol, menyebabkan dia bertindak membunuh diri dengan meminum racun. - AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Mubarak makin tenat

Written By Unknown on Jumat, 28 Desember 2012 | 16.40

Kaherah: Bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak, akan dipindahkan ke sebuah hospital tentera dari klinik penjara berikutan kesihatannya yang semakin merosot, kata sumber keselamatan dan media tempatan.

"Mubarak akan dipindahkan ke hospital tentera Maadi," kata satu sumber tentera tetapi tidak menyatakan mengapa dan bila bekas diktator itu akan dipindahkan.

Mubarak yang memerintah Mesir selama tiga dekad, digulingkan dalam satu pemberontakan rakyat Februari tahun lalu. Jun lalu beliau dijatuhi hukuman penjara seumur hidup berikutan peranannya dalam pembunuhan penunjuk perasaan sebelum dimasukkan ke hospital penjara akibat jatuh sakit. - Reuters
16.40 | 0 komentar | Read More

Mursi rombak Kabinet

Ikrar pulihkan ekonomi Mesir, pilih calon layak anggotai perlembagaan

Kaherah: Presiden Mesir, Mohamed Mursi berkata, beliau akan melakukan rombakan Kabinet selepas perlembagaan baru negara itu dikuatkuasakan, ketika kumpulan penentang menggesa tunjuk perasaan baru diadakan.

Mursi berkata, beliau sedang berunding dengan Perdana Menteri, Hisham Qandil untuk memilih calon yang layak menganggotai kabinet baru itu. Laporan menyatakan sekurang-kurangnya lapan orang menteri akan diganti.

Saya hanya mengambil keputusan kerana Allah dan demi kepentingan negara," Mohamed Mursi, Presiden Mesir


"Saya akan melakukan segala usaha untuk memulihkan ekonomi Mesir yang berdepan cabaran hebat, tetapi masih mempunyai peluang untuk berkembang. Saya akan melakukan segala perubahan yang diperlukan bagi tugas ini," katanya.

Dalam ucapan pertama menerusi televisyen sejak pungutan suara bagi pindaan perlembagaan diadakan pada 15 dan 22 Disember, Mursi berkata, beliau bersedia berbincang dengan pihak yang menentang perlembagaan baru itu.

Sedia adakan dialog

Beliau juga mengakui bahawa Mesir dilanda keadaan kacau-bilau sejak beberapa minggu lalu, tetapi menegaskan bersedia mengadakan dialog.
"Saya mengambil keputusan sukar untuk menguatkuasakan perlembagaan baru yang menerima sokongan 64 peratus rakyat. Bagaimanapun, perlembagaan ini penting untuk mewujudkan era baru yang lebih stabil untuk Mesir.

"Memang benar kedua-dua pihak melakukan kesilapan dalam tempoh ini, tetapi saya bersedia memikul tanggungjawab untuk anda semua. Saya hanya mengambil keputusan kerana Allah dan demi kepentingan negara," katanya.

Mursi menegaskan, keputusan pilihan raya akan mengakhiri keadaan tidak menentu di Mesir, sejak Presiden Hosni Mubarak digulingkan Februari tahun lalu dan akan menjadikan Mesir sebuah negara yang stabil dan selamat.

Mengenai keganasan yang berlaku Mursi menegaskan: "Malang sekali kerana ada sebilangan orang yang tidak menyedari perbezaan antara hak menyuarakan pendapat dengan menggunakan keganasan untuk memastikan pendapat mereka diterima."

Tolak berlaku penipuan

"Perbezaan pendapat di dalam sistem demokrasi adalah sesuatu yang sihat, tetapi kita semua mesti menolak keganasan," katanya.

Mursi juga menolak dakwaan berlakunya penipuan dan menegaskan beliau akan memenuhi hasrat rakyat untuk kemajuan, kejayaan dan keadilan sosial di negara itu. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Jadikan Taliban parti politik

Written By Unknown on Selasa, 25 Desember 2012 | 16.40

Kabul: Pakistan memberi kerjasama kepada Afghanistan untuk memulihkan keamanan di negara jirannya itu dengan memujuk pergerakan Taliban menjadi parti politik.

Pembabitan Pakistan adalah penting dalam usaha Afghanistan dan Amerika Syarikat mempromosi keamanan di Afghanistan menjelang pengunduran askar NATO pada akhir 2014.

Mereka beritahu bersetuju dengan pelan kami mengubah Taliban daripada satu entiti tentera kepada entiti politik bagi membolehkannya mengambil bahagian dalam proses politik Afghanistan dan mendapat berkuasa secara aman seperti mana parti politik lain, kata pegawai Kabul.

Pandangan pegawai itu dianggap optimis kerana Pakistan sudah lama dituduh menyokong pergerakan berkenaan tetapi kini sedia menyokong usaha mencapai perdamaian yang masih di peringkat awal.

Syak wasangka di antara Afghanistan dan Pakistan sudah lama menyekat usaha menangani jalan menamatkan ancaman militan.

Pergerakan Taliban berkata, mereka diwakili pemimpin kanan dalam rundingan dengan Pakistan dan Afghanistan termasuk Shahabuddin Delawar yang berpejabat di Qatar.

Sehingga kini, pihak berkuasa Taliban dan Afghanistan tidak ada hubungan secara langsung.
Kenyataan pegawai itu berkata, Afghanistan bahawa Pakistan, yang sekian lama dituduh menyokong kumpulan pemberontak Afghanistan, kini bersedia berusaha ke arah mewujudkan penyatuan, yang masih di peringkat awal dan terdedah kepada perpecahan.

Kami amat optimis. Kami percaya mereka benar-benar ikhlas dalam perbincangan dengan kami, kata pegawai kanan kerajaan.

Pakistan sudah lama mahu menyekat pengaruh jirannya, India di Afghanistan dan dipercayai menyokong pergerakan itu dalam senyap.

Secara jujur, bagi kami, kebanyakan pihak di Pakistan sudah membuat kesimpulan bahawa masa semakin singkat.

Ini bukan lagi soal ketidakstabilan atau kurangnya keselamatan di Afghanistan tetapi juga di Pakistan, kata pegawai itu lagi.
REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

Kempen usir pengacara CNN dilancar

Washington: Penyokong hak miliki senjata Amerika Syarikat melancarkan kempen mengusir pengacara rancangan temu bual Cable News Network (CNN), Piers Morgan kerana mengecam hak berkenaan.

Selepas dua hari petisyen mengusir itu dilancarkan, 28,500 orang sudah menandatanganinya, melepasi angka 25,000 yang diperlukan untuk diberi ulasan oleh Rumah Putih.

Morgan yang juga bekas pengarang akhbar tabloid Britain, dianggap melancarkan kempen peribadi supaya peraturan memiliki senjata api diperketatkan selepas pembunuhan 20 kanak-kanak di Connecticut, 14 Disember lalu.

Selasa lalu, Morgan mewawancara pengarah eksekutif 'Gun Owners of America,' Larry Pratt, dan kelihatan marah apabila Pratt mencadangkan lebih banyak senjata adalah penyelesaiannya.

"Kamu memang bodoh, bukan begitu?" kata Morgan ketika perbualan mereka agak panas.

"Kamu tiada hujah baik langsung. Kamu tidak peduli mengenai kadar mangsa bunuh senjata di Amerika."

Selepas temu bual itu, seorang wartawan Texas mengirim petisyen ke laman web Rumah Putih menuduh Morgan 'melakukan serangan' terhadap Perlembagaan Amerika dengan menyasarkan fasal Pindaan Ke-2.
Ramai penduduk Amerika memahami secara umum peruntukan itu yang merujuk kepada 'hak memiliki senjata.'

Morgan menegaskan, Amerika boleh mengharamkan senapang ala tentera dan senjata berat tanpa mencabul hak rakyatnya selain tidak mempertikai Pindaan ke-2.

Dibayangi keganasan "Mereka lancar kempen untuk mengusir saya kerana menyerang hak Pindaan ke-2? Tidakkah pandangan saya dilindungi oleh Pindaan Pertama? " katanya di Twitter, merujuk kepada peruntukan mengenai kebebasan berucap.

Ada juga di kalangan penduduk Amerika yang menyokong warga Britain itu. Lee Cox dari Arizona menulis: "Saya warga Amerika dan setuju 100 peratus dengan Morgan.

Jika dia pulang ke Britain, perlukah saya ikut sama?"

Amerika dibayangi keganasan senjata sejak tiga dekad lalu membabitkan 62 kejadian menembak sejak 1982, kebanyakannya membabitkan senjata yang dibeli penyerang secara sah.
AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Rakyat Mesir sokong Perlembagaan baru

Written By Unknown on Senin, 24 Desember 2012 | 16.40

Kaherah: Sebanyak 63.8 peratus penduduk Mesir menyokong Perlembagaan baru selepas pengundian diadakan dua kali, menurut laporan di sini semalam.

Pergerakan Ikhawanul Muslimin memberi angka itu manakala penentang dokumen berkenaan juga bersetuju.

Jawatankuasa Pungutan Suara hanya akan mengesahkan keputusan itu hari ini selepas mendengar mana-mana pihak mencabar keputusan.

Jika disahkan, pilihan raya Parlimen akan menyusul dalam tempoh dua bulan selepas itu.

Dalam tempoh menjelang undian, bantahan yang membawa pertumpahan darah meletus selepas Mursi mengeluarkan perintah khas memberinya kuasa tambahan sebelum menarik balik keputusan itu beberapa minggu kemudian.

Selain itu, beberapa jam sebelum undi ditutup, Naib Presiden Mahmoud Mekky mengumumkan peletakan jawatannya.

Penyokong Presiden Mohamed Mursi berkata, sokongan kepada Perlembagaan adalah penting bagi peralihan kepada demokrasi selepas Hosni Mubarak digulingkan.
Mereka juga berpendapat, sokongan itu bermakna negara akan menikmati kestabilan yang seterusnya dapat membantu ekonomi.

Kenyataan Ikhwan berbunyi: "Sokongan kepada Perlembagaan memberi peluang bersejarah kepada semua pihak saling menghormati dan jujur mengadakan dialog untuk kestabilan negara."

Tetapi, penentang Mursi pula menuduh Presiden Mesir itu memaksa teks pro kumpulan agama diluluskan selain mengetepikan hak penduduk Kristian yang meliputi 10 peratus penduduk, serta juga wanita.

"Berdasarkan kiraan kami, keputusan akhir pusingan kedua ialah 71 peratus mengundi 'ya' dan mengambil kira undian pusingan pertama, angkanya ialah 63.8 peratus," kata pegawai Ikhwan.

Angka itu kemudian disahkan oleh kenyataan pergerakan berkenaan di televisyen.
Tetapi, penentang berkata: "Mereka memerintah, menguruskan pengundian dan mempengaruhi penduduk, jadi kami tidak jangka keputusan lain," kata seorang pegawai kanan Barisan Penyelamat Kebangsaan (NSF).
REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

Russia tidak mahu lindungi Bashar lagi

Moscow: Russia menyambut baik langkah mana-mana negara untuk menyediakan laluan selamat kepada Presiden Bashar al-Assad tetapi ia sendiri tidak berhasrat memberi perlindungan kepada pemimpin Syria itu jika beliau meletak jawatan.

Di Syria, laporan terbaru menyatakan sekurang-kurangnya 200 askar Syria yang ditugaskan melindungi lapangan terbang antarabangsa Damsyik belot ketika pertempuran berlaku dekat istana presiden, kata pemberontak kepada stesen Al Arabiya.

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov memberitahu wartawan lewat Jumaat lalu bahawa ada negara serantau yang secara terbuka meminta Moscow menyampaikan tawaran mereka untuk melindungi Bashar.

Beliau berkata, Russia menyuruh mereka supaya menyatakan secara langsung tawaran itu kepada Bashar.

"Kami jawab – Apa kena mengena kami dengannya? Jika anda ada pelan itu, pergi jumpa dia terus. Jika ada negara yang sedia memberikan jaminan kepadanya, anda dialu-alukan!"

Lavrov memberitahu wartawan perkara itu dalam penerbangan pulang dari Brussels selepas menghadiri persidangan Russia-Kesatuan Eropah.

"Kami akan menjadi yang pertama berkata: Syukurlah pembunuhan beramai-ramai sudah berakhir! Jika ia benar-benar mengakhiri pertumpahan darah, itupun belum tentu lagi."
Ditanya sama ada Russia akan tawar perlindungan kepada Bashar, Lavrov berkata, Moscow tiada hasrat itu.

"Russia secara terbuka berkata ia tidak menjemput Presiden Bashar al-Assad ke sini," katanya.

Russia berulang kali menggunakan kuasa veto bersama-sama China dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melindungi sekutu lamanya itu daripada sekatan antarabangsa.

Bagaimanapun, ada tanda-tanda ia semakin berusaha menjauhkan diri daripada Bashar.
AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Pekerja seksi boleh dipecat

Written By Unknown on Minggu, 23 Desember 2012 | 16.40

Iowa: Mahkamah Iowa kelmarin membenarkan majikan di negeri itu memecat pekerja yang didapati terlalu mendedahkan anggota tubuh.

Dalam keputusan sebulat suara, hakim menyokong tindakan seorang doktor gigi memecat pembantunya selepas isterinya menganggap wanita itu menggugat perkahwinan mereka.

Pembantu pergigian berkenaan, Melissa Nelson, bekerja untuk James Knight selama lebih 10 tahun dan tidak pernah berfoya-foya dengannya menyebabkan Nelson memfailkan saman.

Ketika perbicaraan, Knight mendedahkan, dia ada memberitahu Nelson beberapa kali bahawa pakaiannya terlalu ketat, terlalu mendedahkan dan mengganggunya.

Kemudian, pada 2009, mereka mula bertukar-tukar mesej, kebanyakannya berkaitan kerja dan tidak mencurigakan tetapi ada mesej yang agak keterlaluan termasuk pertanyaan Knight berapa kerap Nelson mencapai klimaks. Nelson tidak menjawabnya.

Lewat 2009, isteri Knight mendapat tahu mengenai pertukaran mesej itu dan menuntut suaminya memecat Nelson. Knight memecat Nelson awal 2010.
REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

Dua lagi kejadian tembakan di Amerika

Philadelphia: Dua lagi kejadian tembakan berlaku di Amerika Syarikat menyebabkan enam kematian, menyusuli tragedi di Connecticut.

Di pedalaman barat Pennsylvania, seorang lelaki yang bersenjatakan pistol menembak mati tiga orang kelmarin, sebelum ditembak mati polis ketika cuba melarikan diri dengan trak pikap.

Di Birmingham, Alabama, dua orang mati ditembak dalam sebuah kelab malam, kata pegawai polis.

Kapten Jim Coker berkata, dua mangsa tembakan maut di tempat kejadian pada 11.30 malam waktu tempatan.

Sementara itu, dalam kejadian di Pennsylvania, tiga anggota polis turut cedera dalam pertembungan dengan penyerang di Frankstown, kira-kira 160 kilometer ke timur Pittsburgh, sejurus selepas jam 9.00 pagi waktu tempatan.

Kejadian di Pennsylvania berlaku ketika ramai rakyat Amerika mengingati 20 kanak-kanak dan enam dewasa yang ditembak mati oleh lelaki bersenjata di sekolah rendah di Newtown, Connecticut.

Penembak terbabit, Adam Lanza, 20, dipercayai menembak mati ibunya di rumah mereka sebelum mengamuk di sekolah itu yang berakhir selepas dia membunuh diri dan mencetuskan perbahasan berhubung kawalan senjata.
Pelobi pro senjata, Persatuan Raifal Kebangsaan menyambut kejadian kelmarin itu dan menggesa pengawal bersenjata ditempatkan di sekolah di seluruh negara.
Sehingga petang kelmarin, penyiasat masih mengumpul maklumat mengenai kejadian di Pennsylvania.

"Kami tidak percaya ia punca perbalahan domestik tetapi kami juga tidak tahu motifnya, kerana penembak tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mangsa," kata jurucakap polis negeri, David McGarvey, beberapa jam selepas kejadian itu.

Dalam kejadian itu, penyerang menembak mati seorang wanita di dalam gereja, kemudian menembak dua lelaki di rumah mangsa.

Semua mangsa tinggal berdekatan antara satu sama lain, sebelum suspek cuba lari dengan trak pikap.

Beliau melepaskan dua tembakan ke arah kereta peronda polis yang bergegas ke tempat kejadian ketika melepasi mereka di jalan raya dua laluan dan bertembung dengan kereta peronda ketiga.

Penyerang maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di tempat kemalangan, kata McGarvey.

Identiti penyerang dan mangsa dirahsiakan sehingga anggota keluarga mereka diberitahu, katanya.
REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

Pyongyang perlekeh Park

Written By Unknown on Sabtu, 22 Desember 2012 | 16.40

Korea Utara melaporkan kejayaan Park Geun-Hye dalam pilihan raya presiden Selatan, sehari lewat, tanpa menyebut namanya atau mengesahkannya sebagai kemenangan bersejarah.

Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), yang sebelum ini banyak mengecam Park dan parti konservatif hanya melaporkan berita dalam satu ayat saja.

"Calon dari Parti New Frontier menang tipis dalam pilihan raya presiden di Korea Selatan," kata laporan itu yang memetik media berita asing dan jiran. Tiada ulasan atau lidah pengarang membincangkan perkara itu.

Bagaimanapun, reaksi Korea Utara sebenarnya lebih pantas berbanding sebelum ini apabila ia mengambil masa dua atau tiga hari untuk menyiarkan keputusan.
AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Dunia seperti biasa

Riyadh: Penduduk di seluruh dunia akhirnya maklum bahawa pelbagai spekulasi tarikh 21.12.12 adalah detik kehancuran alam ternyata tidak benar.

Malah, bagi mereka yang percaya kiamat akan berlaku hari ini pula - 22.20.12 - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sudah menghantar video ke web YouTube bertajuk Why the World Didn't End Yesterday bagi menerangkan mengapa ia tidak akan berlaku.

Saintis berkata, khabar angin oleh media sosial dan internet mengenai hari kiamat berpunca daripada salah faham kalendar Maya yang berakhir pada 21 Disember tahun ini.

"Ia hanya menandakan berakhir satu pusingan tahun dan bermula tahun baru, seperti 31 Disember yang seterusnya disusuli dengan 1 Januari," kata Pegawai Kanan NASA, Don Yeomans.

"Sejak manusia mencatat peredaran masa, sudah ada beribu-ribu ramalan mengenai kiamat. Cuma, kita masih di sini," katanya lagi.

Cerita di internet menyatakan satu planet besar bernama Niburu atau planet X akan melanggar bumi pada Mei 2003.

Tetapi, apabila ia tidak berlaku, tarikhnya ditukar kepada 21 Disember 2012 yang kebetulan sama dengan kalendar Maya.
Ketua Jabatan Astronomi Bandar Sains dan Teknologi Raja Abdulaziz (KACST), Zaki Abdulrahman Al-Mostafa, berpusat di sini, berkata khabar angin mengenai kiamat jelas 'tidak berasas dan bertentangan dengan sains dan agama.'

"Tiada apa akan berlaku hari ini dan hari ini serta esok, keadaan sama seperti hari lain pada tahun baru, Insya-Allah," kata Abdulrahman.

Saintis Arab Saudi itu memberitahu Arab News bahawa ribuan artikel berita mengenai hari kiamat dimuat naik dalam internet mencetuskan kebimbangan bukan hanya di Barat, namun di Asia Barat.

Tidak percaya

"Sudah tentu 21 Disember akan menjadi malam paling panjang di Hemisfera Utara, namun tiada kejadian astronomi akan menyebabkan dunia musnah," tambahnya.

Katanya, Kutub Selatan akan condong ke arah matahari dalam mencapai kedudukan paling selatannya di langit dan akan berada secara langsung di atas tropik Capricorn pada 23.44 darjah selatan.

"Ini hari pertama musim sejuk atau musim sejuk solstis (paling jauh ke selatan) di Hemisfera Utara dan hari pertama musim panas atau musim panas solstis di hemisfera selatan," katanya.

Ia akan diikuti satu bulan penuh pada 28 Disember apabila bulan akan berada bertentangan secara langsung dengan bumi dan akan dipancar penuh oleh matahari. - AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Marah ibu jadi motif serangan

Written By Unknown on Kamis, 20 Desember 2012 | 16.40

Newtown: Rancangan ibu untuk menghantarnya ke pusat sakit jiwa mungkin punca Adam Lanza bertindak membunuh 20 kanak-kanak dan enam dewasa di sebuah sekolah rendah Connecticut.

Kemungkinan motif serangan itu didedahkan seorang penduduk tempatan yang mengenali keluarga Lanza dan beberapa keluarga mangsanya.

Adam, 20, mengamuk di Sekolah Rendah Sandy Hook di sini selepas membunuh ibunya, Nancy, awal Jumaat lalu.

"Dia bertindak begitu kerana percaya ibunya lebih sayangkan sekolah itu daripada anak sendiri," kata Joshua Flashman, 25, yang tinggal tidak jauh dari sekolah berkenaan.

Flashman, seorang Marin, adalah anak paderi di gereja yang sering dikunjungi penduduk.

"Daripada apa yang diberitahu kepada saya, Adam tahu ibunya memohon kepada hakim supaya dia dimasukkan ke pusat jagaan psikiatri.

Salah faham
"Adam mungkin marah dengan perkara itu. Dia anggap ibunya tidak mahu lagi bersamanya. Apa yang saya faham, dia memang amat berang. Mungkin perkara ini menyebabkan dia bertindak," kata Flashman.

Seorang pegawai penguatkuasa undang-undang yang terbabit dalam siasatan mengesahkan Adam marah dengan rancangan ibunya dan ia diteliti sebagai antara motif serangan.

Dokumen penjagaan

Flashman diberitahu Nancy sudah menghantar dokumen untuk tujuan penjagaan anaknya itu tetapi perkara ini tidak dapat disahkan lagi kerana ia biasanya rekod sulit.

Permohonan itu perlu dibuat bagi membolehkan Nancy mendapat hak menghantar anaknya sebagai orang dewasa ke pusat berkenaan meskipun tanpa kerelaan Adam.

Adam Lanza bersekolah di Sekolah Rendah Sandy Hook dan ibunya pernah menjadi petugas sukarela di sana selama beberapa tahun, kata Flashman.

Sementara itu, polis gagal mendapatkan semula data dalam komputer Adam kerana bahagian 'hard drive' dirosakkan penyerang itu, kata penyiasat. - Agensi


16.40 | 0 komentar | Read More

Abhisit hadapi 700 dakwaan cuba bunuh

Kes berpunca daripada pertumpahan darah protes 2010

Bangkok: Bekas Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban mungkin menghadapi lebih 700 tuduhan cubaan bunuh berhubung keganasan politik pada April dan Mei 2010.

Laporan lain mengatakan, Abhisit juga mungkin menghadapi tuduhan melakukan serangan fizikal membabitkan 800 orang lagi.

Ketua Jabatan Siasatan Khas (DSI), Tarit Pengdith berkata beliau mengarahkan penyiasat jabatan itu mempercepat pemeriksaan kes termasuk dua orang yang cedera ditembak dalam kejadian berkenaan.

Kaji semula kes

Tarit berkata, penyiasat akan mengkaji semula kes bersama pendakwa raya sebelum mengemukakan tuduhan cubaan membunuh terhadap Abhisit dan Suthep, lapor akhbar The Nation.

Tarit berkata, penyiasat diarah memisahkan kes 1,500 orang yang cedera, mereka yang parah dan yang cedera ringan.

Abhisit yang menjadi Perdana Menteri mulai 2008 hingga 2011 dan Suthep akan dituduh cuba membunuh dalam kes membabitkan orang yang parah selain dakwaan melakukan serangan fizikal dalam kes selebihnya.
Sumber DSI, berkata 700 orang parah dalam keganasan politik dua tahun lalu, jadi Abhisit dan Suthep dijangka menghadapi bilangan pendakwaan sama.

Sumber berkata, Tarit juga mengarahkan penyiasat memisahkan kes kecederaan kepada empat kategori termasuk tarikh dan lokasi.

Kumpulan pertama mangsa yang cedera di persimpangan Khok Wua pada 10 April 2010.

Kumpulan kedua, ketiga dan keempat membabitkan mereka yang cedera pada 13 hingga 19 Mei 2010 di beberapa lokasi termasuk Ratchaprasong, Bon Kai, Din Daeng dan Phya Thai.

Tarit berkata, DSI mungkin menunggu sehingga sesi Parlimen seterusnya tamat pada 19 April sebelum mengemukakan dakwaan ke atas Abhisit dan Suthep dalam kes cubaan bunuh. - Agensi


16.40 | 0 komentar | Read More

Pendakwa Mesir letak jawatan

Written By Unknown on Rabu, 19 Desember 2012 | 16.40

Kaherah: Pendakwa awam baru Mesir, yang dilantik oleh Presiden Mohamed Morsi bulan lalu, Talaat Ibrahim Abdullah meletak jawatan kelmarin.

Ibrahim mengundurkan diri berikutan kekecohan hakim yang berkata keputusan Morsi November lalu untuk memecat pendakwa ketika itu Abdel Maguid Mahmoud satu serangan kepada kebebasan mereka.

Gantung mogok

Akhbar utama, Al-Ahram, melaporkan peletakan jawatan Ibrahim akan dibentangkan kepada Majlis Perundangan Agung Ahad ini. Hakim kanan yang menentang pelantikannya menggesa anggota kehakiman lain menggantung mogok yang dilancarkan ketika bantahan.

Ramai hakim menyuarakan kemarahan berhubung perintah khas Morsi yang dikeluarkan 22 November lalu untuk meluaskan kuasa dan secara sementara meletakkan beliau mengatasi undang-undang. Perintah khas itu mencetuskan bantahan di seluruh negara dan pertempuran membawa maut antara penyokong dan penentang Mursi.

Morsi memecat Mahmoud pada hari sama cuba untuk menenangkan penunjuk perasaan yang menuntut perbicaraan semula pegawai yang dikatakan terbabit melancarkan keganasan terhadap mereka ketika kebangkitan tahun lalu.

Morsi sudah cuba memecat Mahmoud Oktober lalu untuk menenangkan penunjuk perasaan yang marah dengan pembebasan beberapa pegawai kanan yang dibicarakan berhubung isu itu. Langkah itu mencetuskan bantahan hakim yang berkata presiden sudah melampaui batas dan mengancam kebebasan institusi kehakiman.
Badan perundangan, seperti rakyat Mesir, bercanggah pendapat berhubung undian mengenai Perlembagaan kontroversi dan cara ia dirangka, dengan ramai hakim memulaukan penyeliaan pungutan suara yang bermula 15 November lalu.

Berada dalam landasan

Sementara itu, bantahan baru diadakan di Kaherah semalam berhubung Perlembagaan yang dibentuk sekutu Islam Morsi yang kelihatan berada dalam landasan untuk diterima hujung minggu ini.

Kebanyakan tokoh perundangan juga meningkatkan cabaran terhadap kuasa Morsi dan piagam berkenaan. - Reuters/AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Rejim Bashar sukar tewaskan pemberontak

Naib Presiden Syria gesa rundingan damai

BEIRUT: Naib Presiden Syria mengaku tentera tidak dapat mengalahkan pejuang pembebasan yang cuba menjatuhkan rejim dan menggesa penyelesaian secara rundingan diadakan untuk menyelamatkan negara itu daripada kemusnahan.

Kenyataan spontan dan jarang dibuat oleh Farouk al-Sharaa, pembantu kanan keluarga Presiden Bashar al-Assad, berkata rejimnya mungkin mempertimbangkan strategi lain ketika pejuang semakin menghampiri Damsyik. Beliau bercakap ketika temubual yang disiarkan oleh akhbar Lubnan, Al-Akhbar, kelmarin.

"Saya tidak melihat apa yang dilakukan pasukan keselamatan dan unit tentera akan membawa kepada kemenangan mutlak. Pasukan pembangkang cuma boleh menggunakan pertempuran cara untuk menjatuhkan rejim jika matlamat mereka menolak negara ke arah kekacauan dan kitaran keganasan yang tiada akhir," al-Shaara dipetik sebagai berkata dalam temubual yang diadakan di Damsyik.

Kerajaan perpaduan

Al-Shaara menggesa supaya penyelesaian politik secara rundingan termasuk pembentukan kerajaan perpaduan dengan bidang kuasa luas.

"Di sebalik retoriknya, Assad kini mungkin mempertimbangkan strategi jalan keluar yang membolehkan beliau mendapatkan perlindungan di luar negara dengan lehernya masih kekal pada tubuh," kata penganalisis di syarikat analisis risiko Britain, Anthony Skinner.

Di Washington, jurucakap Jabatan Negara Amerika, Victoria Nuland, berkata kenyataan al-Shaara 'bercakap mengenai tekanan yang dialami rejim Syria.'
"Bagaimanapun, amat dikesali ia tidak mengubah tindak tanduk rejim termasuk kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat sendiri," katanya.

Al-Sharaa, 73, yang setia kepada keluarga Assad, menjadi tokoh kontroversi sejak permulaan kebangkitan rakyat.

Beliau tampil di khalayak ramai lewat Ogos lalu buat kali pertama dalam tempoh beberapa minggu, mematikan khabar angin beliau berpaling tadah. Ramai tokoh penting rejim berpaling tadah sejak beberapa bulan lalu walaupun puak yang rapat dengan Assad dan tentera kekal setia di belakangnya. - AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Rakyat Mesir lulus Perlembagaan baru

Written By Unknown on Senin, 17 Desember 2012 | 16.40

Kaherah: "Majoriti mudah rakyat Mesir meluluskan Perlembagaan kontroversi yang disokong Presiden Mohamed Morsi dan golongan Islam dalam pusingan pertama pungutan suara," kata kumpulan Islam dan pembangkang semalam, memetik keputusan tidak rasmi.

Undian kelmarin di 10 wilayah termasuk Kaherah dibuat selepas berminggu-minggu bantahan besar-besaran anjuran gabungan pembangkang yang pada awalnya bertujuan menyerang pungutan suara itu, sebelum sebaliknya menyuarakan supaya draf itu ditolak pada saat-saat akhir.

Keputusan tidak rasmi pusingan pertama berdasarkan kiraan yang diberikan oleh pegawai, tidak mencapai matlamat yang diharapkan golongan Islam untuk mendiamkan pembangkang dan memberi ganjaran kepada perjudian Morsi mempercepatkan piagam itu.

Menjelang pagi semalam, dengan kebanyakan undian dikira, Parti Kebebasan dan Keadilan pimpinan Morsi berkata di laman webnya bahawa 56.6 peratus mengundi menyokong Perlembagaan dalam pungutan suara yang diadakan secara tergesa-gesa itu, secara kasar sama dengan jumlah yang dilaporkan media Mesir.

Undian kedua Sabtu depan

Undian pusingan kedua diadakan Sabtu depan, dan selepas itu keputusan rasmi akan diketahui.

Gabungan pembangkang utama, Barisan Penyelamat Kebangsaan, selepas undian ditutup malam kelmarin mengumumkan hampir dua pertiga pengundi menolak Perlembagaan yang dirangka majlis dikuasai golongan Islam.
Namun salah satu kumpulan utama gabungan itu, Popular Current, melaporkan dalam laman Facebook rasmi pagi semalam anggaran 56 pengundi meluluskan piagam itu, dengan pengiraan hampir tamat.

Keganasan antara penyokong dan penentang piagam itu berlaku di dua bandar raya terbesar Mesir, Kaherah dan Iskandariah, dalam masa 48 jam, dengan polis menangkis serangan golongan Islam ke atas ibu pejabat parti Wafd yang liberal di Kaherah malam kelmarin.

Menurut keputusan awal, majoriti mengundi menentang piagam itu di ibu negara, kubu kuat pembangkang. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Setiap mangsa kena 3 hingga 11 das

Pemeriksa kesihatan sahkan suspek guna raifal Bushmaster 223 Caliber

Newtown, (Connecticut): Pemeriksa kesihatan Dr H Wayne Carver yang menyiasat pembunuhan di Sekolah Rendah Sandy Hook Jumaat lalu, berkata bedah siasat ke atas mayat 20 kanak-kanak dan enam dewasa menunjukkan mereka ditembak bertalu-talu dari jarak dekat.

"Siasatan menunjukkan mangsa maut akibat terkena tembakan berulang kali yang dilepaskan dari jarak dekat. Setiap mangsa ditembak antara tiga hingga 11 das," katanya.

Siasatan menunjukkan mangsa maut akibat terkena tembakan berulang kali yang dilepaskan dari jarak dekat," Dr H Wayne Carver, Pemeriksa kesihatan


Beliau berkata, semua mangsa ditembak dengan raifal Bushmaster .223 caliber, satu daripada sekurang-kurangnya dua senjata milik suspek Adam Lanza yang digunakan untuk melakukan pembunuhan paling dahsyat dalam sejarah Amerika Syarikat.

Lanza didakwa menembak mati ibunya, Nancy Lanza, di rumah mereka Jumaat lalu sebelum memandu ke Sandy Hook dan menceroboh masuk dan melepaskan tembakan rambang.

"Saya terbabit di bidang ini selama tiga dekad dan ini kejadian paling buruk dan paling teruk pernah saya lihat," kata Carver kepada wartawan yang berhimpun di Treadwell Park, tidak sampai satu kilometer dari Sekolah Rendah Sandy Hook, lokasi kejadian ngeri itu.

Salah seorang pegawai penyiasat, Leftenan Paul Vance, mengedarkan salinan senarai nama dan tarikh lahir mangsa, termasuk 12 kanak-kanak perempuan dan lapan lelaki, kebanyakannya lahir pada tahun 2006.
Mangsa termuda olah Noah Pozner, yang meraikan hari jadinya yang keenam November lalu. Josephine Gay, seorang lagi mangsa, genap berusia tujuh tahu 11 Disember lalu, tiga hari sebelum pembunuhan berlaku, manakala mangsa paling tua dikenali sebagai Mary Sherlach, 56.

Semua mangsa dewasa adalah wanita, berusia 27 hingga 56 tahun.

Carver berkata, bedah siasat ke atas suspek yang menembak diri sendiri dan ibunya di kediaman mereka di Newtown dilakukan semalam. - Agensi


16.40 | 0 komentar | Read More

Wanita perokok cari penyakit

Written By Unknown on Minggu, 16 Desember 2012 | 16.40

Alberta: Wanita yang merokok walaupun sebatang sehari berisiko tinggi meninggal dunia secara tiba-tiba akibat serangan jantung dan masalah berkaitan jantung, kata penyelidik.

Risiko itu dua kali ganda berbanding wanita yang tidak merokok, dan lebih tinggi bagi perokok yang sudah lama mengamalkan tabiat buruk itu.

Satu kajian baru menunjukkan perokok wanita berdepan bahaya jantung lebih tinggi berbanding yang disangka sebelum ini, walaupun mereka kelihatan sihat. Namun ancaman itu boleh dikurangkan dalam masa lima tahun jika mereka berhenti merokok, kata penyelidik Kanada.

Ketua penulis kajian, Roopinder Sandhu, yang juga pakar elektrofisiologi kardiak di Institut Jantung Mazankowski, Universiti Alberta, berkata: "Kematian kardiak tiba-tiba selalunya menjadi petanda pertama sakit jantung dalam kalangan wanita, jadi, perubahan gaya hidup yang mengurangkan risiko amat penting. – Agensi


16.40 | 0 komentar | Read More

Warga Mesir undi draf Perlembagaan

Keputusan akan diketahui pertengahan minggu depan

Kaherah: Penduduk Mesir semalam mula mengundi draf Perlembagaan yang memecah-belahkan negara mereka.

Presiden Mohammed Morsi dan penyokongnya berkempen mendapatkan sokongan manakala golongan liberal, sekular Muslim dan Kristian menentangnya.

Negara itu dilanda krisis politik disaksikan menerusi bantahan dan keganasan membawa maut.

Kini, persoalan mengenai pengundian terbaru tertumpu kepada sama ada Mesir kini beralih kepada pemerintahan agama di bawah Morsi dan Ikhwanul Muslimin serta blok Salafi atau tradisi sekular dengan nilai Islam.

"Masa untuk berdiam diri sudah berakhir. Saya tidak sokong Perlembagaan baru. Morsi tidak wajar memecahbelahkan negara," kata pekerja bank, Essam el-Guindy yang mengundi di daerah Zamalek.

Beliau adalah antara 20 penduduk yang berbaris untuk mengundi manakala satu lagi barisan pengundi wanita berada tidak jauh dari situ.
Di tempat lain di Kaherah, beratus-ratus penduduk mula berbaris di luar pusat mengundi hampir dua jam sebelum undian bermula pada 8 pagi waktu tempatan.

"Saya baca sebahagian Perlembagaan dan tidak nampak sebarang alasan untuk tidak menyokongnya," kata Rania Wafik sambil meembawa anaknya yang baru lahir.

Menunjukkan ketegangan masih berterusan menjelang pengundian, hampir 120,000 askar berkawal di pusat mengundi.

Satu kumpulan radikal juga menyatakan mahu menghantar anggotanya bagi mengawal pusat mengundi bersama tentera dan polis.

10,000 maut, 1,000 cedera

Pertempuran antara penyokong Morsi dan penentangnya sejak tiga minggu lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang maut dan 1,000 lagi cedera.

"Undi tidak kepada Perlembagaan yang menumpahkan darah," menurut tajuk akhbar Al Masry Al Youm.

Pengkritik bimbang dengan kesahihan dokumen perundangan itu selepas kebanyakan hakim enggan menyelia undian.

Kumpulan hak asasi juga memberi amaran bahawa peluang agak terbuka untuk penipuan undi berlaku.

Mesir mempunyai 51 juta pengundi dan 26 juta dijangka mengundi minggu depan dan bakinya pada minggu selepas itu. - AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Amah Indonesia masuk Singapura merosot

Written By Unknown on Selasa, 11 Desember 2012 | 16.40

Singapura Agensi pembantu rumah menjangkakan kedatangan pembantu rumah Indonesia ke Singapura bakal merosot sehingga 30 peratus, sebaik saja gaji minimum untuk rakyat Indonesia berkuatkuasa tahun depan.

Gaji minimum bagi mereka yang bekerja di Indonesia boleh mencecah sehingga S$300 (RM750) sebulan.

Ini mungkin menyebabkan lebih ramai pembantu rumah memilih untuk bekerja di Jakarta berbanding Singapura.

Beberapa pembantu rumah dari Indonesia berkata mereka lebih suka menikmati faedah buruh yang lebih baik di negara sendiri.

Sanggup bayar lebih

Selain itu ia lebih dekat dengan kampung halaman manakala kos hidup di sana lebih murah berbanding di Singapura.

Agensi pembantu rumah berkata kebanyakan rakyat Singapura sanggup membayar lebih untuk pembantu rumah bagi menarik mereka untuk bekerja di republik ini.
"Majikan sendiri bekerja. Jadi kami tahu, berdasarkan beberapa maklum balas mereka mahu memiliki waktu rehat sendiri ketika hujung minggu," kata pengarah eksekutif Agensi Pembantu Rumah Homekeeper, Carene Chin.

"Jadi majikan tidak kisah membayar lebih sebagai pampasan kepada pembantu rumah mereka." - AGENSI


16.40 | 0 komentar | Read More

Askar Mesir dapat kuasa polis

Presiden Morsi benar tahan orang awam, arah semua pihak beri kerjasama

Kaherah: Presiden Mohamed Morsi semalam mengarahkan tentera Mesir diberi kuasa polis termasuk hak menahan orang awam menjelang pungutan suara yang akan diadakan hujung minggu ini, lapor satu perintah kerajaan.

Perintah berkenaan diterbitkan di dalam warta kerajaan, berkuat kuasa menjelang bantahan besar-besaran terhadap pungutan suara itu dan diikuti satu bantahan jalanan yang menyebabkan tujuh maut dan beratus-ratus lagi cedera.

Arah tentera kerjasama

"Ia mengarahkan tentera bekerjasama penuh dengan polis untuk mengekalkan keselamatan dan melindungi institusi penting negara bagi satu tempoh sementara, sehingga pengumuman keputusan pungutan suara berkenaan dibuat," lapor agensi berita AFP yang memperoleh salinan perintah itu.

Tentera yang memerintah Mesir selepas penyingkiran bekas presiden Hosni Mubarak pada Februari 2011 dan pemilihan Morsi Jun tahun ini, memilih untuk bersikap berkecuali ketika krisis politik.

Beri amaran
Ia kini memberi amaran 'tidak akan membenarkan' situasi bertambah buruk dan menggesa kedua-dua pihak mengadakan dialog.

Kereta kebal tentera bersama anggota tentera dikerahkan di sekitar istana presiden presiden sejak Khamis lalu namun mereka tidak berdepan dengan ribuan penunjuk perasaan yang berkumpul di sana setiap malam.

Pembangkang daripada kumpulan sekular, liberal, sayap kiri dan Kristian, berkata ia akan memperhebat bantahan untuk membuang pungutan suara itu.

Ia menganggap draf perlembagaan, sebahagian besarnya digubal sekutu puak Islam Morsi, sebagai menjejaskan hak asasi manusia, hak wanita, minoriti agama dan mengekang kebebasan perundangan.

Morsi, sebaliknya, tetap mempertahankan perlembagaan baru itu, melihatnya sebagai keperluan untuk melindungi pembaharuan demokratik selepas pemerintahan kuku besi 30 tahun Mubarak.

Lewat kelmarin, kumpulan pembangkang utama, Barisan Penyelamat Kebangsaan, menggesa bantahan besar-besaran bagi menolak pungutan suara 15 Disember ini.

Kumpulan itu juga menolak pembatalan perintah Morsi yang memberinya kuasa penuh sebelum ini sambil menyifatkan ia sudah terlewat kerana beliau sudah menggunakannya ke atas draf perlembagaan.

"Kami tidak mengiktiraf draf perlembagaan kerana ia tidak mewakili rakyat Mesir," kata jurucakap National Salvation Front, Sameh Ashour kepada satu sidang media," katanya. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Lelaki bunuh warga Malaysia kena penjara 23 tahun

Written By Unknown on Minggu, 09 Desember 2012 | 16.40

Melbourne: Gara-gara ingin menebus maruah keluarga, seorang lelaki dihukum penjara maksimum 23 tahun kerana didapati bersalah membunuh kekasih isterinya, dua tahun lalu.

Hakim David Davies mengenakan hukuman itu terhadap Hazairin Iskandar, 58, kerana membunuh Mohd Shah Saemin, yang berasal dari Melaka.

Hazairin diperintah menjalani hukuman penjara minimum 17 tahun, lapor Australian Associated Press (AAP), semalam. Mohd Shah meninggal dunia selepas diserang Hazairin dan anak lelakinya, Andrew, di luar rumah pangsa Leichhardt, tempat tinggal mangsa, di Sydney pada 21 Februari 2010.

Hazairin berasal dari Indonesia, menikam Mohd Shah sekurang-kurangnya empat kali dengan sebilah pisau, manakala anaknya pula memukul mangsa dengan tukul.

Pemandu pejabat konsul

Mahkamah diberitahu Mohd Shah yang bertugas sebagai pemandu di pejabat konsul Malaysia di Sydney, menjalin hubungan sulit dengan isteri Hazairin, Nita, yang bekerja di tempat sama.

Ketika memberi keterangan, Hazairin memberitahu mahkamah perbuatan Mohd Shah itu mengaibkan keluarganya.
Hazairin berkata, dia membunuh Mohd Shah untuk memelihara maruah keluarganya.
Pada Mac tahun ini, Andrew dihukum penjara 18 tahun kerana pembunuhan itu manakala Nita dikenakan ikat jamin berkelakuan baik selama dua tahun kerana ada kaitan dengan jenayah itu. Nita yang hadir di mahkamah, menangis apabila hakim menjatuhi hukuman itu.

Ketika menjatuhi hukuman, Hakim Davies berkata, Hazairin menunjukkan rasa insaf atas tindakannya dan akan 'mencapai usia lanjut' ketika mendapat parol kelak.
Katanya lagi: "Ini adalah pembunuhan kejam dan si mati tentu amat terseksa sebelum menemui ajal." - BERNAMA


16.40 | 0 komentar | Read More

Morsi beri isyarat sedia tolak ansur

Sanggup tunda pungutan suara, penentang terus berdegil

Kaherah: Presiden Mohamed Morsi, memberi isyarat sedia bertolak ansur dengan penentang dengan menawarkan untuk menangguhkan pungutan suara.

Naib Presiden Mesir, Mahmoud Mekki, mengeluarkan kenyataan menyatakan tawaran Morsi itu.

Penentang tak cabar

Tetapi, Morsi menegaskan, beliau hanya akan menimbangnya jika penentang memberi jaminan tidak akan mencabar langkah itu kerana pungutan suara biasanya perlu diadakan dua minggu selepas ia dikemukakan kepada presiden, kata Mekki.

Cuma, tawaran itu tidak memenuhi tuntutan penentang yang juga mahu Morsi menarik balik perintah khas yang memberikan lebih kuasa kepadanya.

Penyelaras bersama gabungan pembangkang, Mohamed ElBaradei berkata, Morsi akan kembali menyatukan rakyat jika membatalkan perintah khas itu dan menangguhkan pungutan suara.
Tangguh undian

Agensi berita melaporkan jawatankuasa pilihan raya menangguhkan permulaan undian untuk rakyat Mesir di luar negara sehingga Rabu ini, berbanding semalam seperti dirancang.

Ia tidak menyebut sama ada tindakan itu akan menjejaskan pengundian di Mesir.

Ibu kota Mesir dan beberapa bandar raya lain digegarkan dengan bantahan sejak 22 November lalu, apabila Morsi mengeluarkan perintah khas memberikan lebih kuasa kepada presiden dan meletakkan beliau mengatasi undang-undang.

Lewat kelmarin, penunjuk perasaan mengepung bangunan pentadbiran di Dataran Tahrir ketika kemarahan berterusan berhubung cubaan Morsi menerima Perlembagaan baru.

Penunjuk perasaan berkumpul sekitar istana presiden, merempuh kawat duri dan memanjat kereta kebal yang mengawal kerusi presiden dipilih secara bebas pertama Mesir, yang memegang jawatan Jun lalu.

Halang laluan

Pengawal Republikan menghalang laluan ke istana presiden selepas keganasan tercetus antara penyokong dan pembangkang Morsi, menyebabkan tujuh maut dan sekurang-kurangnya 350 cedera.

Morsi dikatakan mahu memberi kebenaran kepada tentera bertindak mengawasi keadaan selain membantu polis mengawal suasana, lapor akhbar Al-Ahram.

Blok pembangkang utama, Barisan Penyelamat Kebangsaan, berkata ia tidak akan menyertai dialog itu.

Jurucakap Parti Kebebasan dan Keadilan, Murad Ali, berkata tindakan pembangkang itu amat mengecewakan. - Agensi


16.40 | 0 komentar | Read More

Penentang Morsi enggan berunding

Written By Unknown on Sabtu, 08 Desember 2012 | 16.40

Kaherah: Blok penentang semalam menolak cadangan Presiden Mesir, Mohamed Morsi supaya mengadakan dialog mengenai tindakan pemimpin itu membolot kuasa yang bakal diluluskan Perlembagaan baru.

Barisan Penyelamat Kebangsaan (NSF) menegaskan, ia enggan menyertai dialog dicadangkan bermula hari ini oleh Morsi.'

Ucapan bercanggah

NSF berkata, ucapan Morsi lewat kelmarin bercanggah dengan pelbagai rayuan kepada beliau supaya memberi penyelesaian daripada keadaan buruk kepada Mesir ketika ini.

Dalam ucapannya disiarkan secara langsung, Morsi tetap mempertahankan tindakannya tidak boleh dipertikaikan badan kehakiman.

Pungutan suara

Beliau juga akan meneruskan pungutan suara pada 15 Disember depan bagi menggantikan Perlembagaan Mesir mengikut panel golongan agama.
Morsi juga menawarkan untuk berunding dengan penentang hari ini tetapi tidak memberi sebarang tanda bertolak ansur.

Berikutan itu, NSF menggesa supaya bantahan disambung hari ini terhadap Morsi.
Draf Perlembagaan baru mencetuskan bantahan besar-besaran di Kaherah minggu ini. Protes itu menyebabkan pertumpahan darah apabila tujuh maut dan lebih 700 lagi cedera selepas penyokong dan penentang Morsi bertempur.

Presiden tak kisah

NSF menekankan, presiden sama sekali tidak kisah penyokongnya memulakan serangan terhadap penunjuk perasaan di depan Istana Presiden.

Ia menuduh Morsi memecah belahkan penduduk Mesir dengan menggelar penentang sebagai samseng.

Blok penentang mengeluarkan kenyataan menyifatkan Morsi mengesahkan beliau tidak bertindak sebagai presiden semua penduduk Mesir tetapi pemimpin untuk parti politik tunggal, merujuk kepada Ikhwanul Muslimin. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Gempa bumi berhampiran Fukushima

Gegaran magnitud 7.3 berpusat 10 kilometer di bawah dasar laut

Tokyo: Gempa bumi magnitud 7.3 melanda timur laut Jepun semalam menyebabkan bangunan di Tokyo bergoyang selain menyebabkan tsunami satu meter dan 40 sentimeter.

Amaran tsunami ditarik balik dua jam kemudian. Pusat gempa yang berdekatan dengan Fukushima menimbulkan kebimbangan.

Tetapi, pengusaha loji nuklear Fukushima, Tokyo Electric Power Co (TEPCO) menyatakan mereka tidak mengesan sebarang perubahan di situ.

Tsunami satu meter itu melanda Ishinomaki, daerah Miyagi, kawasan bencana utama gempa pada Mac tahun lalu.

Ia menyebabkan semua kereta api Miyagi dihentikan buat sementara termasuk lapangan terbang Sendai yang menutup landasannya manakala lima orang cedera ringan.

Beri amaran tsunami

Berikutan gempa terbaru, ramai penduduk memberi amaran tsunami dalam Facebook , mengesahkan mereka selamat dan di mana mereka berada.
"Bangunan bergoyang agak lama di Tokyo, kamu semua selamatkah?" kata Eriko Hamada kepada kawan-kawannya.

Selain itu, ramai yang membuat panggilan telefon menyebabkan talian sesak hingga sukar menghubungi penduduk Miyagi.

"Oleh kerana gempa itu, talian telefon sesak jadi buat panggilan kemudian," kata operator telefon.

Jepun adalah antara negara paling kerap dilanda gempa. Gegaran berlaku sekurang-kurangnya lima minit sekali.

Terletak di 'Lingkaran Api Pasifik' meliputi kawasan gunung berapi, 20 peratus daripada gempa yang berlaku adalah magnitud 6 atau lebih.

Tokyo yang mempunyai penduduk seramai 12 juta berada di persimpangan empat pelantan tektonik iaitu Eurasia, Amerika Utara, Filipina dan Pasifik.

Gempa boleh berlaku jika mana-mana pelantar itu membengkok atau pecah.

Gempa magnitud 9 pada Mac tahun lalu menyusuli tsunami menyebabkan hampir 20,000 orang dan mencetuskan krisis terburuk nuklear dalam tempoh 25 tahun apabila loji Fukushima-Daiichi dimusnahkan membocorkan radiasi ke dalam laut dan udara.

"Saya berada di tengah bandar ketika gempa melanda. Saya segera masuk ke dalam kereta dan menuju kawasan pergunungan. Saya masih ada dalam kereta," kata penduduk Ishinomaki, Chikako Iwai. - REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

Iran tawan pesawat kawalan jauh Amerika

Written By Unknown on Rabu, 05 Desember 2012 | 16.40

Tehran: Pengawal Revolusi Iran dilaporkan menawan pesawat kawalan jauh Amerika Syarikat selepas ia memasuki ruang udara negara itu di Teluk Parsi tetapi segera dinafikan oleh Washington.

Panglima tentera laut Pengawal Revolusi, Laksamana Madya Ali Fadavi, berkata askar Iran menawan pesawat kawalan jauh Scan Eagle yang menceroboh kawasan negaranya.

Pesawat Amerika yang melakukan penerbangan tinjauan dan mengumpul data di Teluk Parsi sejak beberapa hari lalu, ditawan unit pertahanan udara Pengawal Revolusi sebaik ia memasuki ruang udara Iran.

Pesawat kawalan jauh seumpama itu selalunya berlepas dari kapal perang, kata Fadavi.

Jurucakap tentera laut Amerika di Bahrain menolak dakwaan Iran itu dengan berkata tiada pesawat kawalan jauh Amerika yang hilang.

Tentera laut Amerika ada semua pesawat itu yang bergerak di Asia Barat. Operasi kami hanya di kawasan diiktiraf.

Kami tidak ada rekod menunjukkan kehilangan pesawat Scan Eagle, kata jurucakap itu.
Namun rangkaian berbahasa Arab, Al-Alam, menunjukkan dua komander Iran memeriksa apa yang kelihatan seperti pesawat Scan Eagle.

Dalam rakaman itu, dua lelaki berkenaan kemudian menunjukkan peta Teluk Parsi, menjelaskan jalan yang diambil pesawat kawalan jauh itu ketika memasuki ruang udara Iran.

Kami akan pijak Amerika, dicetak di atas peta itu.

Jika benar, rampasan itu adalah kejadian ketiga dilaporkan membabitkan pesawat kawalan jauh kedua-dua negara sejak dua tahun lalu.

Bulan lalu, Iran menuduh pesawat Amerika menceroboh ruang udaranya. Pentagon berkata, pesawat kawalan jauh itu ditembak sekurang-kurangnya dua kali tetapi tidak kena dan Predator berkenaan berada di perairan antarabangsa.
AP


16.40 | 0 komentar | Read More

Keganasan meledak lagi di selatan Thai

Bangkok: Keganasan baru meletus lagi di selatan Thailand selepas seorang guru wanita ditembak mati dan sebuah sekolah dibakar.

Guru berusia 32 tahun ini ditembak di daerah Cho Airong, Narathiwat, semalam meskipun kawalan keselamatan diperketatkan di seluruh selatan Thailand.

Chatsuda Nilsuwan yang mengajar di sekolah Ban Ta-ngo, ditembak empat kali seorang penunggang motosikal ketika dalam perjalanan pulang.

Saksi berkata, guru itu juga menaiki motosikal dan tidak diiringi askar kerana pulang lewat.

Sementara itu, perbuatan membakar sekolah di daerah Panare, Pattani, semalam juga menjejaskan pembukaan semula kelas di 332 sekolah selepas ditutup seminggu kerana pembunuhan seorang lagi guru pada 22 November lalu, lapor Bangkok Post.

Serangan itu dilakukan oleh 15 lelaki bertopeng dan menyebabkan bilik guru musnah.

Penyerang memasuki sekolah pada 1.20 pagi dan menahan kakitangan sekolah yang ada.
Mereka mengikat kakitangan terbabit di depan sekolah sebelum membakar bilik guru.

Mereka beritahu mahu membakar sekolah dan mengarahkan kami tidak menjerit meminta bantuan, kata seorang kakitangan sekolah, Dolo Hama.

Anggota bomba yang dipanggil berjaya memadamkan api sebelum ia merebak ke seluruh bangunan.

Antara yang rosak termasuk peralatan mengajar 18 komputer tablet dalam bilik guru itu.

Semua sekolah di Panare ditutup minggu lalu selepas seorang pengarah sekolah ditembak mati seorang penyerang di daerah Nong Chik.

Persekutuan Guru Wilayah Selatan bersetuju menyambung kelas selepas Kementerian Pendidikan menjamin kawalan keselamatan lebih baik.

Anggota keselamatan akan mengiringi guru pulang dari kelas.
Agensi


16.40 | 0 komentar | Read More

Lancar roket jarak jauh

Written By Unknown on Selasa, 04 Desember 2012 | 16.40

Seoul: Korea Utara mula memasang roket di tapak pelancaran Sohae yang dijangka akan dilancarkan pertengahan bulan ini, lapor agensi berita Korea Selatan, Yonhap.

Media rasmi Korea Utara melaporkan, pelancaran itu adalah cubaan meletakkan satelit pengawasan di angka lepas, antara 10 hingga 22 Disember depan.

Saintis negara itu dijangka mengambil masa beberapa hari memasang roket tiga fasa itu di Sohae.

Amerika Syarikat dan sekutunya pula menuduh pemasangan itu bertujuan melancarkan peluru berpandu baru dengan sasaran jarak jauh.

Sekutu Korea Utara, China dan Russia menggesa Pyongyang membatalkan rancangannya.

Jurucakap Kementerian Luar China berharap semua pihak terbabit akan mengambil langkah menjaga keamanan dan kestabilan Semenanjung Korea.

Ia juga meminta semua pihak tenang dan tidak menambahkan ketegangan. China, katanya, mengiktiraf hak Korea Utara untuk tujuan keamanan di angkasa lepas tetapi Pyongyang sepatutnya akur kepada pengharaman ujian peluru berpandu oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Yonghap memetik sumber kerajaan Korea Selatan sebagai berkata:
Korea Utara memasang roket fasa pertama di tapak pelancaran itu. Ini bermakna, Korea Selatan memulakan proses melancarkan peluru berpandu jarak jauh.

Bagaimanapun, media Korea Utara menekankan, pelancaran roket itu untuk tujuan keamanan iaitu meletakkan satelit pengawasan bumi di angka lepas.

Russia juga memberi amaran pelancaran itu akan mencabul larangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melarang mana-mana negara menguji peluru berpandu atau aktiviti berkaitan nuklear.

Kami gesa kerajaan Korea Utara menimbang semula keputusan untuk melancarkan roket, menurut kenyataan Kementerian Luar.

Ujian itu adalah yang kedua dilakukan di bawah teraju Kim Jong-un yang mengambil alih jawatan, selepas kematian bapanya, Kim Jong-il.

Korea Selatan pula bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya pada 19 November depan.

Agensi


16.40 | 0 komentar | Read More

Negara Barat marah Israel

London: Britain, Perancis dan Sweden semalam memanggil duta Israel untuk menyatakan bantahan ke atas keputusan Tel Aviv membina 3,000 lagi unit rumah di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Duta Israel ke Britain ialah Daniel Taub manakala rakan sejawatannya di Perancis ialah Yossi Gal yang diminta hadir ke Kementerian Luar bagi mendengar protes berkenaan.

Russia, Amerika Syarikat dan Jerman turut menyatakan tentangan terhadap rancangan pentadbiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam isu berkenaan.

Britain dan Perancis juga dilaporkan merancang untuk memanggil pulang duta masing-masing dari Israel.

Britain menyifatkan langkah itu menimbulkan keraguan terhadap komitmen Israel mencapai perdamaian dengan Palestin.

Kami mengecam keputusan terbaru kerajaan Israel membina 3,000 unit rumah baru dan menyambung pembinaan di E1. Ini mengancam pembentukan dua negara mengikut penyelesaian damai, kata Kementerian Luar Britain.

Kali ini ia bukan sekadar hanya satu kecaman tetapi tindakan tegas terhadap Israel, kata seorang diplomat kanan Eropah kepada akhbar Haaretz. Akhbar itu juga memetik diplomat lain sebagai berkata: London marah dengan keputusan E1 itu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon pula memberi amaran ia hampir memusnahkan usaha menggerakkan semula proses damai.

Israel mengarahkan pembinaan perumahan baru itu sehari selepas Perhimpunan Agung PBB (UNGA) menyokong status Palestin diubah di badan dunia itu.

Bantahan diplomatik itu disuarakan kerana keputusan untuk membina perumahan itu membabitkan lokasi dipanggil E1.

E1 adalah kawasan di Tebing Barat membabitkan kawasan timur Baitulmaqdis dan penempatan Yahudi, Maaleh Adumim.

Rakyat Palestin menentang keras projek E1 kerana ia akan membahagikan kawasan Tebing Barat kepada dua bahagian di utara dan selatan selain memutuskan laluan masuk keluar dari Baitulmaqdis sekali gus merumitkan usaha membentuk negara Palestin yang tidak terpecah wilayahnya.
AFP/Reuters


16.40 | 0 komentar | Read More

Hakim tangguh sidang

Written By Unknown on Senin, 03 Desember 2012 | 16.40

Tidak jadi batal panel perlembagaan selepas tunjuk perasaan

Kaherah: Beratus-ratus penyokong Presiden Mohamed Mursi membuat bantahan semalam di luar sebuah mahkamah tinggi Mesir, memaksa hakim menangguhkan pembatalan panel khas yang bertanggungjawab merangka perlembagaan baru negara itu.

Penyokong berkenaan, kebanyakannya membalut tubuh dengan selimut dan membawa poster Mursi, bermalam di luar Mahkamah Tinggi Perlembagaan dan menyekat sebatang jalan utama yang terletak di sepanjang Sungai Nil, cuba menghalang hakim daripada memasukinya.

Kehendak rakyat kuat

"Kehendak rakyat lebih kuat berbanding kehendak beberapa hakim," kata penunjuk perasaan Ismail Ahmed, 39, merujuk kepada badan perundangan di mana ramai hakim kekal daripada era Hosni Mubarak, yang disingkir dalam satu kebangkitan popular tahun lalu.

Mahkamah menggelarnya satu 'penangguhan pentadbiran' dalam sesi semalam dan kedua-dua pihak berkuasa perundangan dan televisyen tempatan tidak memberi tarikh untuk satu pertemuan baru.

Mahkamah akan memutuskan kesahihan perhimpunan perlembagaan dikuasai penyokong Islam, yang merangka satu perlembagaan baru yang diumumkan Morsi kelmarin akan menjalani pungutan suara 15 Disember ini.

Piagam baru itu menjadi titik utama krisis politik terbesar Mesir sejak Morsi dipilih Jun lalu, memaksa pasukan Islam menentang pembangkang berfahaman sekular.
Tingkat krisis

Sebarang keputusan oleh mahkamah mungkin meningkatkan krisis dengan Mursi, mengabaikan perintah presiden yang melarang mana-mana badan perundangan daripada membubarkan perhimpunan yang mengguna pakai draf perlembagaan di tengah satu boikot oleh golongan liberal dan Kristian.

Perintah 22 November lalu mencetuskan krisis terbaru apabila perlembagaan yang akan dibincangkan dengan lanjut, dipercepatkan beberapa hari selepas itu di tengah rusuhan popular. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Israel tahan dana cukai Palestin pula

Langkah dibuat selepas PBB umum peningkatan status negara terbabit

Baitulmaqdis: Israel tidak akan memindahkan dana cukai dan tarif yang dikutipnya daripada penduduk Palestin bulan ini berikutan kejayaan negara itu meningkatkan kedudukannya kepada status negara pemerhati bukan anggota taraf di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Menteri Kewangan Yuval Steinitz, semalam.

"Kami katakan sejak awal bahawa peningkatan status Palestin di PBB tidak akan memberi sebarang kesan kepada Israel," kata Steinitz pada permulaan mesyuarat kabinet mingguan.

"Saya tidak berhasrat untuk memindahkan cukai kepada Palestin bulan ini. Ia akan digunakan untuk membayar hutang Palestin kepada syarikat elektrik Israel," katanya.

Akhbar Haaretz berkata sejumlah 460 juta shekels (RM365.8 juta) tidak akan diserahkan kepada Palestin.

Langkah berkenaan dibuat selepas Palestin memperoleh status negara pemerhati bukan anggota pada Perhimpunan Agung PBB minggu lalu, dengan mendapat 138 sokongan negara anggota, walaupun ditentang keras Israel dan Amerika Syarikat.

Israel sudah mengumumkan pembinaan penempatan baru selepas undian berkenaan dalam apa yang disifatkan sebagai tindak balas kepada keputusan itu.

Beri amaran
Menjelang undian, kerajaan Israel memberi amaran kepada Palestin dan masyarakat antarabangsa bahawa mereka akan memberi tindak balas keras terhadap peningkatan status Palestin mendakwa mereka mengabaikan rundingan dan mengenepikan rundingan damai.

Palestin berkata peningkatan status itu tidak sepatutnya menghalang usaha damai yang ditangguhkan sejak September 2010.

Proses rundingan damai terhenti sejak bermulanya isu pembinaan penempatan Yahudi di kawasan yang ditakluk Israel. Palestin mahukan pembekuan aktiviti penempatan sebelum rundingan diteruskan semula tetapi Israel mahukan rundingan tanpa syarat. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Suri rumah berisiko HIV

Written By Unknown on Minggu, 02 Desember 2012 | 16.40

Jumlah penghidap Aids di Indonesia semakin meningkat

Surabaya: Suri rumah dan kanak-kanak kini menjadi kumpulan berisiko tinggi dijangkiti HIV di Indonesia berbanding pekerja seks di negara itu.

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan AIDS Surabaya (KPA) Emi Yuliana, berkata bahawa sejak dua tahun lalu ada kecenderungan meningkatnya bilangan suri rumah yang dijangkiti dengan HIV/AIDS.

"Berbanding PSK (pekerja seks komersial), aliran ini bertambah dengan cepat. Ini adalah disebabkan adanya campur tangan sehingga menjadikan pemindahan HIV di kalangan PSK ini semakin terkawal," kata Emi di Surabaya.

Dr. Kartika dari Agensi Kesihatan Surabaya berkata, pusat kesihatan masyarakat tidak mempunyai program yang menekankan pengesanan HIV/AIDS di kalangan suri rumah kerana kebanyakan program di pusat kesihatan di Surabaya lebih memfokuskan kepada ibu hamil.

Kartika mencadangkan penggunaan alat baru untuk mengesan HIV/AIDS di kalangan suri rumah seperti kad skor yang akan diedarkan kepada ibu hamil yang datang mendapat rawatan. Kad terbabit akan dapat mengesan sama ada wanita terbabit berisiko tinggi.

Beri kaunseling

"Misalnya kad terbabit antara lain menyoal mengenai tingkah laku seksual mereka dan pekerjaan suami. Jika misalnya suami bekerja sebagai pemandu di luar wilayah dan jarang berada di rumah ia mungkin disifatkan sebagai berisiko. Dari situ kita akan menilai dan memberikan kaunseling supaya mereka akan mengambil ujian HIV/AIDS," katanya.

Sementara itu di Bogor, Jawa Barat, sebanyak 60 peratus kes HIV/AIDS adalah membabitkan suri rumah. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 12 peratus dan menunjukkan kadar pertumbuhan yang cepat di kalangan kumpulan berisiko tinggi yang melebihi daripada kadar di kalangan pekerja seks komersial.

Data 2012 menunjukkan bahawa 1,542 penduduk di Bogor menghidap HIV manakala 949 adalah didapati positif AIDS. Bandaraya itu juga merekodkan 65 kematian akibat penyakit itu tahun ini. - Agensi


16.40 | 0 komentar | Read More

Israel balas dendam

Luluskan pembinaan 3,000 rumah baru di Tebing Barat

Washington: Beberapa jam selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengundi untuk memberikan pengiktirafan negara kepada Palestin, Israel kelmarin bertindak balas dengan mengumumkan ia membenarkan pembinaan 3,000 rumah baru peneroka haram Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Pegawai, yang enggan dikenali, berkata kerajaan juga memutuskan untuk mempercepatkan kerja untuk beribu lagi rumah di kawasan sensitif dari segi geografi berhampiran Baitulmaqdis yang disifatkan pengkritik akan membunuh harapan Palestin untuk menubuhkan negara berdaulat.

Amerika Syarikat mengkritik tindakan itu dan menyifatkan ia sebagai halangan kepada usaha damai.

"Berikutan pengumuman hari ini, saya ingin menegaskan pentadbiran ini seperti pentadbiran terdahulu, menjelaskan kepada Israel aktiviti ini menjadi penghalang kepada rundingan damai," kata Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton.

Beliau bercakap di forum di Washington yang dihoskan oleh Pusat Saban bagi Dasar Asia Barat, kepada penonton termasuk Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman dan Menteri Pertahanan rejim, Ehud Barak.

Perdamaian menyeluruh

"Penyelesaian paling baik bagi kebuntuan di Gaza adalah perdamaian menyeluruh antara Israel dan Palestin, diketuai wakil sah mereka, Pihak Berkuasa Palestin," katanya.
Pentadbiran Presiden Barack Obama cuba menghentikan usaha Palestin mendapatkan pengiktirafan di PBB, berkata ia cuma meletakkan satu lagi halangan dalam laluan mencapai keamanan dan negara cuma boleh wujud menerusi rundingan dengan Israel.

"Undian minggu ini memberikan kita masa berhenti sekejap. Semua pihak perlu mempertimbangkan dengan hati-hati laluan di depan. Kita perlu bekerjasama mencari jalan seterusnya dalam rundingan yang boleh mencapai matlamat penubuhan dua negara. Ia matlamat utama kita.

"Jika kedua-dua pihak bersedia memulakan rundingan secara langsung untuk menyelesaikan konflik, Presiden Obama akan menjadi rakan mereka," katanya.
Dalam sesi soal jawab yang menyusul kenyataannya, Clinton berkata beliau mahu Israel mencapai kedudukan moral yang tinggi.

"Saya rasa jika seseorang tidak boleh mencapai perjanjian yang menyelesaikan semua isu sukar ini, Israel perlu mencuba. Ia memberikan Israel kedudukan moral tinggi yang saya mahu ia capai," katanya. - AFP


16.40 | 0 komentar | Read More

Tiada pesawat mendarat di Damsyik

Written By Unknown on Sabtu, 01 Desember 2012 | 16.40

Damsyik: Lapangan terbang di sini tidak menerima kemasukan penerbangan semalam, kata seorang pegawai syarikat penerbangan di Teluk, sehari selepas pertempuran berhampiran lapangan terbang memutuskan hubungan dengan jalan utama ke ibu kota Syria ini.

"Syarikat penerbangan tidak beroperasi ke Damsyik hari ini berikutan lapangan terbang tidak menerima sebarang penerbangan," kata pegawai syarikat penerbangan berpusat di Dubai yang enggan dikenali.

Perjalanan selamat

Laluan lapangan terbang dibuka semula namun tentera Assad dan pemberontak masih bertempur" Rami Abdelrahman, Pengarah kumpulan aktivis Pemerhati Hak Asasi Syria


Jadual penerbangan di dalam laman web menunjukkan dua syarikat penerbangan berpusat di Teluk, Air Arabia dan flydubai, biasanya mengendalikan penerbangan ke sini semalam.

Kementerian penerangan Syria, berkata kelmarin jalan ke lapangan terbang selamat selepas pasukan keselamatan membersihkannya daripada 'pengganas' label yang biasa Damsyik gunakan untuk menggambarkan pemberontak yang berjuang menggulingkan Bashar al-Assad dan lapangan terbang beroperasi seperti biasa.

Konflik 20 bulan di Syria itu menyebabkan beberapa syarikat penerbangan membatal atau mengurangkan penerbangan ke Damsyik dan hanya sebilangan kecil pesawat komersial mendarat dan berlepas sehari dari lapangan terbang itu, menurut jadual penerbangan.

Pengarah kumpulan aktivis Pemerhati Hak Asasi Syria beribu pejabat di Britain, Rami Abdelrahman, berkata laluan lapangan terbang dibuka semula namun tentera Assad dan pemberontak masih bertempur berhampiran dan lalu lintas di lebuh raya.
Katanya ada laporan pertempuran dan pengeboman meriam berterusan sepanjang malam di selatan Damsyik, namun hubungan dengan sumber di dalam negara agak sukar kerana internet dan kebanyakan jaringan telefon masih rosak. - AFP/REUTERS


16.40 | 0 komentar | Read More

Rakyat Palestin berpesta rai kejayaan

Kejayaan menjadi negara bukan anggota PBB tingkat imej Abbas

Ramallah: Penduduk Palestin berpesta sehingga malam selepas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi undian luar biasa untuk mengiktiraf wilayah itu sebagai negara bukan anggota.

Perhimpunan dengan 193 negara anggota mengundi 138 untuk menyokong berbanding sembilan yang menentang dan 41 lagi berkecuali untuk resolusi yang membolehkan Palestin menyertai agensi PBB dan menandatangani perjanjian antarabangsa.Bendera Palestin segera dikibarkan di tingkat perhimpunan diadakan, di belakang delegasi Palestin.

Dengan statusnya sekarang, Palestin boleh meneruskan misi untuk diiktiraf sebagai negara anggota PBB" Ahmet Davutoglu, Menteri Luar Turki

Israel dan Amerika Syarikat disertai Kanada, Republik Czech, Panama, Kepulauan Marshall, Micronesia, Nauru dan Palau mengundi menentang dengan duta Amerika ke PBB, Susan Rice, berkata penduduk Palestin akan bangun dan mendapati tiada apa yang berubah.

Disambut dengan perayaan

Undian itu disambut dengan perayaan di wilayah Palestin. Di Ramallah, penduduk memenuhi dataran utama sambil mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan Allah Maha Besar.
Beberapa negara termasuk kuasa dunia turut memberikan reaksi positif berikutan kedudukan baru Palestin itu.

Jurucakap Menteri Luar China semalam berkata kejayaan Palestin berusaha untuk diiktiraf oleh negara pemerhati bukan anggota di PBB satu langkah positif ke arah membangunkan ia sebagai negara merdeka.

Hong Lei membuat kenyataan itu dalam siaran media yang dikeluarkan pagi semalam beberapa jam selepas Perhimpunan Agung PBB mengumumkan kenaikan status Palestin, lapor agensi berita Xinhua.

Duta Russia ke PBB, Vitaly Churkin, memberitahu langkah badan dunia itu menaikkan status diplomatik Palestin adalah tanda sokongan kuat kepada wilayah berkenaan yang dapat membantu menamatkan kebuntuan dalam konflik Israel-Palestin.

"Ini satu langkah besar kepada penduduk Palestin, kejayaan hebat kepada Presiden Mahmoud Abbas," katanya.

Turki sambut baik kejayaan

Turki turut menyambut baik kejayaan itu dan berkata tindakan dramatik itu akan mengukuhkan proses damai Israel-Palestin yang hampir menemui ajal.

"Dengan statusnya sekarang, Palestin boleh meneruskan misi untuk diiktiraf sebagai negara anggota PBB," kata Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu.

Menteri Luar New Zealand, Murray McCully, berkata alasan utama untuk mengundi menyokong resolusi itu mencerminkan dasar sekian lama kerajaannya.

"New Zealand ialah penyokong kepada penyelesaian dua negara. Kami percaya negara Israel dan Palestin perlu wujud bersebelahan, menghormati hak masing-masing untuk hidup aman," katanya.

Australia menyifatkan tindakan PBB itu sebagai positif tetapi memberi amaran supaya ia tidak digunakan untuk berpatah balik daripada cubaan mewujudkan penyelesaian dua negara.

Menteri Luar Australia, Bob Carr, berkata negara itu memilih untuk berkecuali kerana mahu memberikan harapan kepada Palestin tetapi kekal sebagai rakan Israel. - Agensi

INFO: PBB iktiraf Palestin
Negara yang mengundi menentang peningkatan status Palestin sebagai negara pemerhati bukan anggota Israel dan Amerika Syarikat disertai Kanada, Republik Czech, Panama, Kepulauan Marshall, Micronesia, Nauru dan Palau


16.40 | 0 komentar | Read More
techieblogger.com Techie Blogger Techie Blogger